Tanda dagangan/cap dagangan atau trademark adalah sesuatu yang unik. Namun, disebabkan tiada panduan atau peraturan yang memberikan definisi 'unik', ramai orang dan perniagaan telah cuba mendaftar tanda dagangan bagi pelbagai benda pelik. Ada yang cuba mendaftarkan tanda dagangan bagi warna dan bau. Malah, ada yang cuba memberi trademark kepada bentuk dan bunyi sebuah motosikal.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun kedengaran lucu, ia membuktikan yang mungkin wujud ramai usahawan dan organisasi yang tidak akan teragak-agak untuk memberikan tanda dagangan kepada seorang manusia (jika diberikan peluang). Kami kongsikan 10 kes pelik permohonan cap dagangan yang pernah dilaporkan:
10. "SEAL Team Six"
Pada 2 Mei 2011, pasukan daripada Tentera Laut Amerika Syarikat iaitu SEAL Team Six telah membuat serbuan di Abottabad, Pakistan yang membawa kepada kematian Osama bin Laden. Dua hari kemudian, Disney telah membuat permohonan untuk tanda dagangan bagi nama pasukan tersebut. Organisasi gergasi tersebut bercadang untuk menggunakan nama itu bagi sebuah rancangan TV yang memaparkan kisah Angkatan Tentera Laut SEAL Amerika Syarikat.
Masyarakat berasa berang dan ramai membantah apabila mendapat tahu mengenai perbuatan Disney yang dianggap tidak wajar. Walaupun permohonan mereka menyelitkan pelbagai perkara lain seperti stoking Krismas dan glob salji, iatidak membantu meredakan keadaan. Akhirnya pihak Tentera Laut AS sendiri menghantar permohonan untuk menggunakan tanda dagangan "Navy Seals" dan "Seal Team" hingga membuatkan Disney terpaksa menarik diri. (Sumber)
9. Bunyi enjin motosikal
Anda mungkin menyangka yang cap dagangan hanya boleh dipohon untuk logo dan slogan sahaja, namun tahukah anda yang bunyi juga boleh di-trademark-kan? Antara dua bunyi popular yang telah berjaya didaftarkan adalah bunyi singa syarikat produksi Metro-Goldwyn-Mayer serta bunyi nafas Darth Vader.
Walau bagaimanapun, ada juga kes permohonan ditolak seperti bunyi enjin V-twin yang dihasilkan oleh motosikal. Pengeluar motosikal terkenal iaitu Harley-Davidson Inc. mungkin fikir bahawa bunyi enjin motosikal yang terhasil oleh enjin V-twin keluaran syarikat itu adalah begitu unik. Selain bunyinya, Harley-Davidson juga cuba memohon cap dagangan untuk bentuk keseluruhan motosikal serta beberapa lengkungan bahagian motosikalnya.
Sepanjang penantian kelulusan cap dagangan yang dipohon, Harley-Davidson telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menentang penghasilan motosikal oleh syarikat pengeluar yang lain dan cuba membawa kes-kes bentuk dan bunyi motosikal ini ke mahkamah.
Akhirnya, pada bulan Jun 2000, mereka telah bertindak bijak dengan menarik balik kesemua permohonan cap dagangan sebelum pihak US Patent and Trademark Office (USPTO) sempat meluluskan atau menolak permohonan tersebut. Menurut salah seorang jurucakap Harley-Davidson, syarikat itu tidak lagi berminat untuk menghabiskan wang yang banyak di mahkamah sedangkan mereka tidak pasti sama ada permohonan cap dagangan mereka akan diluluskan atau tidak. (Sumber)
8. Bau buah strawberi
Pada tahun 2005, sebuah syarikat Perancis iaitu Eden Sarl gagal dalam percubaannya untuk mendaftarkan cap dagangan bagi bau buah strawberi. Ia bercadang untuk menggunakan bau tersebut secara eksklusif bagi produk-produk yang dihasilkan seperti sabun, krim, pakaian dan lain-lain.
Permohonan trademark yang dihantar kepada Agensi Tanda Dagangan Kesatuan Eropah itu telah ditolak bulat-bulat namun pihak syarikat telah bertindak membawa kes itu ke mahkamah. Eden Sarl mendakwa yang mereka boleh mempunyai tanda dagangan tersebut secara sah kerana kesemua strawberi mempunyai bau yang sama walaupun daripada jenis yang berlainan. Dakwaan ini disangkal oleh pihak mahkamah yang menyimpulkan bahawa strawberi mempunyai lima bauan yang berbeza.
Bau buah strawberi ini bukanlah kes pertama yang diterima agensi tersebut. Banyak lagi syarikat lain yang pernah cuba memohon untuk cap dagangan bau-bauan lain seperti raspberi, lemon dan vanila namun tidak ada satu pun yang diluluskan. Walau bagaimanapun, sebuah syarikat pengeluar wangian Belanda pernah mendapat kelulusan cap dagangan untuk bau segar rumput yang baru sahaja dipotong. (Sumber)
7. "You're Fired"
Donald Trump yang kini merupakan Presiden Amerika Syarikat pernah cuba memohon tanda dagang bagi frasa kegemarannya iaitu "You're fired" (terjemahan: anda dipecat) pada tahun 2005. Walaupun dia bukanlah pencipta asal frasa terbabit, dia telah berjaya mempopularkannya melalui pemecatan ramai peserta rancangan TV terkenal, "The Apprentice."
Rancangan itu sangat diminati ramai sehingga lebih 20 juta penonton menyaksikannya setiap minggu. Ketika itu, Trump bercadang untuk menggunakan frasa tersebut pada pelbagai barang niaga, permainan serta perniagaan kasinonya.
Semasa Trump membuat permohonan, tiga individu lain juga telah cuba mendaftarkan tanda dagang frasa itu pada masa yang sama. Namun, USPTO tidak memberikan kelulusan kepada sesiapapun kerana frasa itu didapati berbunyi seakan-akan "You're hired" yang mana telahpun mempunyai tanda dagang sah oleh Franklin Learning bagi mainan berpapan keluarannya. Penolakan itu juga melegakan seorang usahawan bernama Susan Brenner yang menjalankan perniagaan tembikar diberi nama "You're Fired." (Sumber)
6. "SEO"
Sesiapa yang mempunyai sebuah blog atau laman web pasti mengetahui tentang search engine optimization (SEO). Jika ya, anda perlu berterima kasih kepada Sarah Bird kerana disebabkan dialah anda tidak perlu membuat bayaran bagi sebarang penggunaan ungkapan tersebut.
Pada bulan April 2008, Bird sedang membuat permohonan tanda dagang bagi beberapa logo dan simbol. Ketika itulah dia menyedari bahawa seorang pemasar Internet bernama Jason Gambert sedang mendaftarkan singkatan "SEO." Bird mendapat tahu tentang isu itu tepat pada masanya kerana Gambert mula memfailkan permohonan pada bulan Mei 2007 dan sudahpun melepasi peringkat ulasan. Dia sedang dalam tempoh menunggu dan dalam tempoh ini, mana-mana individu atau syarikat boleh membuat bantahan sekiranya ia boleh menjejaskan perniagaan mereka. Jika tiada sesiapa membangkang, maka pemohon boleh mendapat kelulusan dengan mudah.
Bird kemudian telah menulis sebuah artikel berkenaan masalah ini yang menjadi tular. Ramai pemasar internet dan pemilik laman web lain mula menyaman dan memfailkan bantahan kepada USPTO untuk menghentikan Gambert daripada meneruskan pendaftaran tanda dagang bagi "SEO." Gambert akhirnya kalah pada bulan Mac 2010 apabila USPTO menolak permohonannya. (Sumber)
5. "React"
Dua orang adik-beradik iaitu Benny dan Rafi Fine merupakan bintang YouTube yang terkenal dengan penghasilan video reaksi. Video reaksi adalah sebuah video yang memaparkan bagaimana seseorang memberikan respons atau tindak balas apabila menonton video lain.
Kedua-dua Benny dan Rafi amat terkenal dengan saluran YouTube mereka sehingga mereka memilih untuk mendaftarkan tanda dagang bagi perkataan "react" walaupun terdapat ramai individu lain yang menghasilkan video yang sama jauh lebih lama daripada mereka.
Sekiranya adik-beradik ini berjaya mendapat kelulusan bagi tanda dagang perkataan tersebut, mereka boleh menghentikan pembuat video lain daripada menggunakan frasa "reaction video." Malah, mereka juga boleh memohon untuk memadamkan kesemua video reaksi lain kerana menggunakan perkataan itu.
Berita mengenai permohonan mereka telah menimbulkan kontroversi dan tidak puas hati orang ramai sehingga menyebabkan mereka kehilangan 200,000 followers. Banyak artikel membantah tindakan mereka menjadi tular dan mereka tidak henti-henti menerima kecaman daripada netizen. Tidak tahan dengan kontroversi hangat yang melanda, akhirnya kedua-dua beradik ini menarik balik permohonan pendaftaran itu pada bulan Februari 2016. (Sumber)
4. Warna ungu
Pengeluar konfeksi terbesar iaitu Cadbury bukan cuba untuk mempunyai hak milik eksklusif kepada kesemua variasi warna dalam kategori ungu. Mereka hanya berminat dengan ton ungu "pantone 2865c" yang digunakan pada pembungkus bar coklat Dairy Milk keluarannya. Mereka telah menggunakan warna tersebut sejak awal kurun ke-20 dan ingin mengelakkan mana-mana pesaing untuk cuba menggunakan warna bungkusan yang sama.
Oleh itu, mereka membuat permohonan tanda dagangan bagi warna tersebut pada tahun 2008 namun percubaan mereka dibantah oleh Nestle. Kes itu membawa kedua-dua pihak ke mahkamah dan selepas dibicarakan, Cadbury diberikan hak eksklusif untuk menggunakan warna tersebut. Namun begitu, Cadbury kalah semula apabila Nestle memfailkan rayuan. Pihak mahkamah kemudian menjelaskan yang Cadbury tidak boleh mendaftarkan tanda dagang bagi warna tersebut kerana ia tidak mematuhi syarat-syarat minimum untuk pendaftaran. (Sumber)
3. "Stealth"
Leo Stoller dikenali sebagai seorang "trademark troll" kerana kecenderungannya untuk mendaftar cap dagangan bagi hampir kesemua benda. Dia suka membuat dakwaan mempunyai hak milik eksklusif kepada perkataan popular yang diketahui boleh menjana pendapatan menguntungkan melalui bayaran lesen. Antara dua perkataan yang didakwa dimiliki olehnya adalah "google" dan "stealth."
Pada tahun 2005, Stoller mengugut untuk menyaman mana-mana perniagaan atau organisasi yang menggunakan perkataan "stealth" dalam nama produk dan mengarahkan mereka membuat bayaran fi lesen. Dia menyasarkan syarikat-syarikat gergasi termasuklah Columbia Pictures yang menghasilkan filem "Stealth," perbadanan aeroangkasa dan pertahanan Northrup Grumman yang mempunyai pesawat "Stealth Bomber" serta Pure Fishing iaitu pengeluar produk perikanan yang mempunyai pelbagai produk menggunakan perkataan tersebut.
Pure Fishing membawa kes Stoller ke mahkamah dan nasib tidak begitu menyebelahi Stoller. Setelah menyedari yang dia bakal kalah dalam kes itu, Stoller terus mengisytiharkan dirinya bankrap. Hakim yang menilai kenyataan muflisnya mendapati dia telah mengisi dokumen dengan pelbagai penipuan lalu mengarahkan pembubaran kesemua aset peribadi dan perniagaan Stoller. Tidak cukup dengan itu, dia juga kehilangan segala hak milik kesemua tanda dagangan dan terus diharamkan daripada membuat sebarang permohonan baru.
Stoller tidak mudah putus asa. Pada tahun 2010, dia kembali untuk mendaftarkan "stealth" menggunakan sebuah perniagaan palsu dipanggil Christopher Stoller Pension and Profit Sharing Plan. Syarikat itu menafikan sebarang hubungan dengan Leo Stoller walaupun mengiyakan kenyataan bahawa mereka berkongsi sebuah pejabat yang sama.
Walau bagaimanapun, Stoller didapati telah menggunakan alamat e-mel mengandungi namanya untuk membuat permohonan baru itu. Permohonannya juga mendakwa yang perniagaan itu telah menggunakan "stealth" sejak tahun 1981 lagi (walaupun syarikat itu hanya diasaskan pada tahun 2007.) Muslihat Stoller terbongkar apabila cek bayaran permohonan ditendang dan akhirnya permohonan itu ditolak. (Sumber)
2. Burger sandwic ayam
Norberto Colon Lorenzana pernah bekerja dengan Church's Chicken (dikenali sebagai Texas Chicken di Malaysia) di Puerto Rico di mana dia mendakwa telah mencipta resipi sandwich ayam goreng pada tahun 1987. Dia menggelarkan burger tersebut "Pechu Sandwich" yang bermakna "sandwic dada ayam." Church's Chicken memasukkan Pechu Sandwich ke dalam menunya pada tahun 1991.
Selepas berpuluh tahun, Lorenzana menyaman Church's Chicken sebanyak $10 juta. Dia mendakwa mempunyai hak milik eksklusif bagi resipi burger tersebut dan memfailkan saman kerana syarikat itu tidak pernah membayar sebarang royalti kepadanya.
Hakim akhirnya menggugurkan kes tersebut pada tahun 2015 atas alasan bahawa hak milik tanda dagangan bagi sebuah resipi atau kaedah memasak adalah hampir mustahil untuk dilakukan. Ini bermakna Lorenzana tidak dapat memiliki hak ke atas burger tersebut. Walaupun mahkamah telah membuat dakwaan sedemikian, sebenarnya banyak perniagaan lain yang telah berjaya mendaftarkan tanda dagang bagi resipi-resipi mereka. Ia dilaporkan boleh dilakukan dengan mengeksploitasi beberapa kelemahan dalam sistem permohonan walaupun menelan kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang. (Sumber)
1. "Candy"
Pengeluar produk permainan King sangat terkenal dengan aplikasi permainan "Candy Crush Saga." Disebabkan ia terlalu popular dan bakal menyebabkan banyak penghasilkan aplikasi tiruan, maka tidak hairanlah jika King cuba memohon tanda dagang bagi perkataan "candy," "crush" dan "saga."
King berjaya mendapat kelulusan bagi "candy" di Eropah namun nasib tidak menyebelahi mereka di Amerika Syarikat apabila membuat permohonan pada Februari 2013. Pengeluar-pengeluar permainan lain membuat bantahan terus-menerus sehingga King menjadi letih untuk meneruskan permohonan. Pada masa yang sama, syarikat itu juga bertungkus-lumus membanteras permainan lain yang menggunakan perkataan "candy" sehingga ada satu aplikasi yang digugurkan dari stor aplikasi Apple. Kejadian ini telah disedari pengeluar game yang lain dan mereka dengan sengaja mula mencipta banyak aplikasi permainan menggunakan nama "candy," "crush" dan "saga."
King menerima pelbagai reaksi negatif di Amerika Syarikat dan akhirnya mengalah daripada meneruskan permohonan tanda dagang tersebut. Namun begitu, ia berjaya memiliki hak ke atas nama yang seakan-akan sama iaitu "Candy Crusher." (Sumber)