Bagi umat Islam, setiap manusia melalui satu kehidupan sahaja di dunia dan hanya akan dibangkitkan semula pada Hari Kiamat untuk ditimbang segala amalan serta perbuatan mereka semasa hayat. Begitu juga dengan penganut Kristian yang mempercayai konsep resurrection (kebangkitan semula) dan ini sudah semestinya bercanggah dengan fahaman reincarnation di mana roh manusia yang sudah meninggal dunia memasuki jasad lain yang masih hidup.
Kebanyakan orang yang mempercayai penjelmaan semula wujud di kalangan penganut Hindu, Sikh, Jainisme dan Buddha.
Banyak kisah yang kita dengar tentang orang yang mendakwa diri mereka merupakan jelmaan semula orang lain. Ada beberapa daripadanya jelas menipu dan hanya inginkan populariti namun ada beberapa yang lain mampu memberikan maklumat terperinci tentang 'kehidupan silam' mereka dengan tepat. Kami kongsikan 10 kisah manusia yang mendakwa mereka dijelmakan semula dalam tubuh manusia lain:
BESARKAN TEKS A- A+
10. Ryan
Ryan merupakan seorang kanak-kanak lelaki yang dilahirkan pada tahun 2005 dan mendakwa dirinya merupakan jelmaan Marty Martyn yang telah mati 50 tahun sebelumnya.
Ryan mengenali Martyn melalui sekeping gambar dan mengatakan yang Martyn seorang yang amat kaya. Kebiasaannya, seorang pelakon tambahan seperti Martyn tidak mampu menjadi kaya seperti itu. Walau bagaimanapun, sememangnya Martyn berjaya menaik taraf hidupnya selepas menjadi seorang ejen pencarian bakat.
Menurut Ryan lagi, Martyn mengembara mengelilingi dunia menaiki bot besar dan membeli sebuah rumah agam yang mempunyai sebuah kolam renang dan piano. Selain itu, Martyn mempunyai dua adik-beradik perempuan di mana salah seorangnya bekerja sebagai penari. Ibu Martyn diceritakan mempunyai rambut keriting berwarna perang. Kulit Martyn juga mudah terkena selaran matahari dan mempunyai seorang pembantu rumah warga Afrika-Amerika.
Kesemua maklumat yang diceritakan Ryan adalah benar-benar berlaku kecuali satu fakta mengenai alamat kediaman Martyn yang dikatakan mempunyai perkataan sama ada "Rock" ataupun "Mount." Alamat rumahnya tidak mengandungi sebarang perkataan ini. Walau bagaimanapun, rumah yang terletak di "Roxbury" itu dilaporkan mempunyai bunyi seakan-akan "Rock." (sumber)
9. Helene Smith
Helene Smith dilahirkan dengan nama asalnya Catherine Muller pada tahun 1861. Dia mendakwa dirinya merupakan jelmaan Permaisuri Perancis terkenal iaitu Marie Antoinette, anak perempuan kepada seorang sheikh Arab serta isteri kepada seorang putera Hindu.
Dia yang bekerja sebagai perantara alam roh dikhabarkan boleh menerima mesej daripada makhluk ghaib. Dia selalu menurun untuk berkomunikasi dengan makhluk asing. Menurut Helene, dia boleh memahami bahasa di Planet Marikh dan boleh menulis dan bercakap dalam bahasa makhluk di sana. Malah, Helene pernah menghasilkan lukisan persekitaran planet itu yang mempunyai bot, rumah, tanaman, jambatan dan tasik. (sumber)
8. Emin Gjinovci
Emin Gjinovci ialah seorang warga Kosovo yang mengatakan dirinya merupakan jelmaan Adolf Hitler. Dia yang pernah bertugas sebagai anggota tentera bagi Pasukan Pembebasan Kosovo (KLA) menceritakan rakan-rakan sepasukan sering memberitahu yang wajahnya mirip Hitler. Mereka juga sering mengangkat tangan sambil menjerit "Heil Hitler!" pada Emin.
Emin menjana pendapatan dengan berlagak seperti kembar Hitler di tempat tinggalnya iaitu di Mitrovica. Setiap keping gambar yang ingin diambil bersama Emin berharga sekitar €20 (RM96) hingga €80 (RM382). Dia juga sering dijemput menghadiri pelbagai acara sebagai Hitler. Jika di majlis pengebumian, pelawat yang datang boleh berhenti menangis secara tiba-tiba untuk berborak bersamanya.
Untuk lebih nampak benar-benar seperti Hitler, Emin sentiasa berjalan bersama swastika Nazi dan juga buku garapan Hitler iaitu "Mein Kampf." Dia juga mencetak simbol swastika pada kad perniagaannya.
Persamaan antara Emin dan Hitler bukan hanya dari segi fizikal. Sama seperti Hitler, Emin juga benci merokok dan sentiasa tiba awal dalam mesyuarat. Dia juga tidak menyukai pihak Serbia dan pernah menentang mereka semasa bertugas dengan KLA pada tahun 1990-an.
Sehingga kini banyak pihak yang masih berdebat sama ada Emin adalah sememangnya jelmaan Hitler ataupun hanya berlakon untuk mengaut keuntungan. (sumber)
7. Shanti Devi
Pada tahun 1930-an, seorang gadis India bernama Shanti Devi mengatakan yang dia adalah jelmaan seorang wanita India lain bernama Lugdi Bai.
Lugdi dilahirkan pada 18 Januari 1902 dan berkahwin pada usia 10 tahun. Dia keguguran semasa mengandung anak pertama dan selamat melahirkan anak kedua pada 25 September 1925. Walau bagaimanapun, Lugdi meninggal dunia pada 4 Oktober akibat komplikasi semasa melahirkan.
Shanti pula lahir hampir setahun selepas itu iaitu pada 11 Disember 1926. Sepanjang Shanti membesar, dia sangat jarang berbicara. Namun, setiap kali dia membuka mulut, dia akan bercerita mengenai 'suami' dan 'anak lelakinya'. Menurut Shanti, suaminya bernama Kedarnath tinggal di Mathura dan mereka mempunyai seorang anak lelaki. Dia juga memberi gambaran terperinci mengenai suaminya, kedai dan rumah mereka.
Selain itu, dia juga menjelaskan bagaimana dia akan berpakaian setiap kali bersama suami dan juga perkara yang sering dilakukan dalam kehidupannya yang lampau.
Keluarga Shanti mula mempercayai kisahnya apabila dia mula bercerita bagaimana dia boleh mati. Pendedahan itu memeranjatkan seorang pakar perubatan kerana Shanti terlalu muda untuk memahami setiap prosedur pembedahan yang diceritakan itu.
Tidak lama selepas itu, keluarganya mengatur sebuah pertemuan antara Shanti dan sepupu Kedarnath. Shanti serta-merta mengenali sepupu 'suaminya' itu. Dia juga mengenali Kedarnath walaupun mereka cuba mengujinya dengan memperkenalkannya sebagai abang Kedarnath.
Kisah penjelmaan semula Lugdi ini tersebar ke seluruh India sehinggakan Mahatma Gandhi mengarahkan 15 pegawainya untuk menyiasat kesahihan cerita Shanti. Pasukan penyiasat itu mengikut Shanti ke Mathura di mana dia mengenali beberapa penduduk di situ, menjelaskan perubahan yang berlaku selepas kematiannya dan membawa pasukan itu ke 'rumahnya' walaupun Shanti sendiri tidak pernah menjejakkan kaki ke situ.
Berita ini mendapat liputas meluas dari seluruh dunia selepas pasukan penyiasat Gandhi mendedahkan laporan mereka. Seorang lelaki dari Sweden, Sture Lonnerstand, mengembara ke India untuk membuktikan penipuan Shanti namun akhirnya membuat kesimpulan bahawa ia adalah benar belaka. (sumber)
6. King Arthur Pendragon
King Arthur Pendragon mengaku bahawa dia adalah jelmaan King Arthur Pendragon. Lelaki yang dilahirkan sebagai John Rothwell ini telah menukar namanya secara rasmi kepada King Arthur Pendragon bersempena nama legenda dongeng tersebut.
John pada awalnya hanyalah seorang lelaki biasa yang sukakan motosikal. Pada tahun 1986, dia mula mengetahui tentang King Arthur. Dia mula merasakan yang kehidupannya adalah saling tak tumpah seperti kehidupan King Arthur dan ia bukanlah sekadar suatu kebetulan. Sejak itulah dia mengatakan yang dia adalah jelmaan King Arthur.
Untuk menguatkan lagi kenyataannya, dia membentuk the Loyal Arthurian Warband yang mempunyai pengikutnya tersendiri. Malah, dia juga menganugerahkan pingat kesatria kepada beberapa pengikut terpilih.
Walau bagaimanapun, menjadi King Arthur pada abad ke-21 bukanlah suatu perkara yang mudah. Dia mengadakan segala adat istiadat pemujaannya di Stonehenge dan pihak pengurusan English Heritage mengenakan bayaran kepada kumpulan itu untuk meletakkan kenderaan. Menurut King Arthur, dalam kehidupannya yang lalu, tiada sesiapapun yang mengenakan bayaran apabila dia meletakkan kuda di Stonehenge. Dia berang dengan peraturan ini sehingga membawa kes ke mahkamah dengan mendakwa yang ia melanggar hak asasinya untuk membuat pemujaan. Hakim telah menolak permohonannya dengan mengatakan caj letak kereta tersebut adalah munasabah dan mengikut undang-undang. Namun, 'raja' ini mendesak kerana ia dikatakan tidak adil dan menafikan haknya kerana perlu membayar untuk beribadat. (sumber)
5. Serge Benhayon
Warga Australia bernama Serge Benhayon mengaku yang dia adalah jelmaan artis, saintis, jurutera dan arkitek terkenal Itali iaitu Leonardo da Vinci. Serge merupakan pengasas Universal Medicine, iaitu sebuah kumpulan perubatan alternatif kontroversi yang sering dikritik kerana amalan tidak ortodoks. Misalnya, Serge membuat dakwaan yang "urutan esoterik buah dada" yang ditawarkan mampu memulihkan penyakit kanser.
"Bengkel perhubungan" yang dianjurkan Serge juga menjana pendapatan sehingga AUD36,000 (RM107,000) namun dilaporkan telah menyebabkan sehingga 42 perceraian dan perpisahan pasangan.
Anak perempuan Serge, Natalie, yang bekerja dengannya mengatakan yang dia boleh berkomunikasi dengan ovari wanita. Ahli keluarga pesakit Serge dan Natalie akhirnya menyalahkan Universal Medicine kerana dikatakan telah mengawal kehidupan mereka. Malah, ada yang membandingkan kumpulan perubatan alternatif ini dengan sebuah kultus. Walau bagaimanapun, Serge tidak menghiraukan tuduhan-tuduhan ini dan masih meneruskan perniagaannya sehingga memperolehi lebih AUD1 juta setahun. (sumber)
4. James Gibson
Ini adalah seorang lagi jelmaan Adolf Hitler. Penagih dadah dan pembunuh bernama James Gibson ini mula menghisap ganja pada tahun 2009 ketika hanya berusia 12 tahun setelah kematian ayahnya dalam kebakaran hutan "Black Saturday" yang mengganas di keseluruhan Victoria, Australia. Kemudian, dia mula mencuba syabu semasa usianya 14 tahun diikuti dengan LSD pada tahun berikutnya.
Pada 3 April 2015, remaja ini telah menyerang seorang lelaki iaitu Glen Sullivan dengan pukulan kuat menggunakan kayu besbol di kepala. Glen rebah ke lantai sebelum dipukul sekali lagi oleh James. Glen mati seminggu kemudian akibat kecederaan otak dan retak di bahagian tengkorak.
Apabila ditanya apa alasannya memukul Glen, James menjawab, "Dia membunuh ayah saya. Saya nampak dalam kepulan asap."
Setelah itu, James membuat pengakuan kepada pakar psikiatrik bahawa dia adalah jelmaan Adolf Hitler. Disebabkan itulah mindanya dikawal oleh Nazi dan diarahkan untuk membunuh seseorang supaya dikenali dan diterima oleh kumpulan tersebut. 'Adolf Hitler' ini akhirnya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun. (sumber)
3. Rajesh
Pada tahun 2005, seorang budak lelaki berumur 12 tahun dari Uttar Pradesh, India bernama Rajesh dan adiknya sedang membina rumah daripada lumpur. Ketika itu, ayahnya yang menghidapi penyakit mental telah memusnahkan binaan tersebut setiap kali mereka membinanya. Ia telah menyebabkan Rajesh marah dan membaling seketul bata ke arah ayahnya. Bata itu terkena kepala ayahnya dan menyebabkan kecederaan serius.
Selepas kejadian itu, Rajesh banyak berkurung di dalam bilik. Dia juga berhenti bercakap dan tidak pernah mengeluarkan walau sepatah kata selama lebih dua bulan.
Apabila Rajesh akhirnya bercakap semula, dia berbicara dalam Bahasa Inggeris dengan loghat Amerika. Walhal sebelum itu Rajesh hanya faham bahasa Hindi dan tidak pernah memahami Bahasa Inggeris langsung. Dia juga dikatakan telah lupa bagaimana bercakap dalam Hindi.
Rajesh mendakwa yang dia telah dijelmakan semula sebagai seorang saintis dari Amerika Syarikat. Pihak Zee News kemudian telah membongkarkan kisah sebenarnya dengan mengatakan Rajesh sebenarnya masih memahami Hindi. Dia faham soalan-soalan yang diajukan dalam Hindi dan hanya membalas dalam Bahasa Inggeris. Penguasaan Bahasa Inggerisnya juga adalah lemah dan loghatnya jelas dibuat-buat. Rajesh dilaporkan mempelajari bahasa itu melalui filem Hollywood terkenal iaitu Total Recall. (sumber)
2. Boriska Kipriyanovich
Kebiasaannya orang hanya mengaku mereka dijelmakan semula dengan roh orang lain. Namun, seorang remaja lelaki dari Rusia iaitu Boriska Kipriyanovich mendakwa dirinya merupakan jelmaan makhluk asing yang sudah mati.
Menurut Boriska, dia biasa tinggal di planet Marikh sebelum terbunuh dalam perang nuklear. Sebelum peperangan tersebut, dia adalah sebahagian kumpulan makhluk asing yang sudah biasa melawat Bumi. Dia juga menceritakan kisah bertemu dengan warga Mesir purba dalam salah satu lawatannya.
Selain itu, Boris mengatakan yang spesies itu sudah menemui rahsia untuk hidup selamanya. Mereka mempunyai teknologi untuk menghentikan penuaan apabila usia menjangkau 35 tahun.
Kapal angkasa dari Bumi tidak dapat mengesan kehadiran sebarang kehidupan di Marikh kerana dikatakan keseluruhan kawasan planet tersebut menjadi kawasan tandus akibat peperangan dan para makhluk asing melarikan diri untuk tinggal di bawah tanah. Menurut Boriska lagi, ketiadaan oksigen di planet itu juga bukan suatu masalah kerana makhluk asing bernafas menggunakan karbon dioksida. (sumber)
1. Luke Ruehlman
Luke Ruehlman hanya berusia dua tahun semasa dia dilaporkan menjelma sebagai seorang wanita dari Chicago bernama Pam. Luke tinggal di Ohio bersama ibunya, Erica, yang sering mendengar Luke bercerita tentang Pam. Erica sering tidak mengendahkan cerita Luke dan hanya menyangka Pam merupakan rakan rekaan imaginasi Luke sahaja.
Suatu hari Erica bertanya lebih lanjut mengenai Pam. Luke kemudian mengatakan yang dia bernama Pam dalam kehidupan lampaunya. Dia meninggal dunia akibat sebuah kebakaran dan masuk syurga sebelum dihantar kembali ke Bumi sebagai seorang bayi oleh Tuhan.
Selepas itu, Erica membuat carian di Internet dan mendapat tahu kisah seorang wanita bernama Pam Robinson yang mati dalam kejadian kebakaran di sebuah hotel di Chicago pada tahun 1993.
Erica mula mempercayai Luke, apatah lagi kerana dia tidak pernah menyebut atau mengajar Luke tentang Chicago. Walaupun ramai yang mempertikaikan dan mengatakan Luke belajar tentang Chicago dari gajet atau televisyen, namun Luke telah membuktikan bahawa dia benar-benar mengenali Pam kerana boleh mengenal pasti identiti wanita itu melalui beberapa keping gambar. (sumber)