Empangan memainkan peranan yang tersangat penting dalam membekalkan saluran berstruktur yang sesuai untuk air yang mengalir keluar dengan tekanan kuat di sekitar air terjun dan sungai-sungai utama. Selain daripada mengelakkan bandar-bandar sekitar daripada banjir, ia juga penting dalam menghantar sumber air dan menjana elektrik ke banyak bandar.

Tanpa kewujudan empangan, hidup kita mungkin menjadi sukar kerana bekalan air dan elektrik akan terganggu. Empangan terbesar dari segi keluasan dan kapasiti simpanan di Malaysia adalah Empangan Bakun, sebuah empangan hidroelektrik yang dibina merentasi Sungai Balui di Sarawak. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

empangan terbesar di dunia

Empangan milik mutlak kerajaan Sarawak ini mempunyai saiz keluasan lebih besar daripada Singapura. iluminasi.com ingin kongsikan 10 empangan paling besar di dunia dari segi kapasiti simpanan air. 

10. Empangan Robert-Bourassa - Kanada

empangan robert bourassa empangan terbesar di dunia

Empangan ini dimiliki oleh Hydro-Quebec di bawah kerajaan Kanada yang dibina di antara tahun 1974 hingga 1981. Empangan Robert Bourassa mendapat sumber air daripada Sungai La Grande di utara Quebec dan menghasilkan takungan Robert-Bourassa.

Jumlah kapasiti takungan empangan ini adalah sebanyak 61.7 bilion kubik meter yang merangkumi kawasan seluas 2,815 kilometer persegi, menjadikannya sebagai empangan ke-10 terbesar di dunia.

9. Empangan Zeya - Rusia

empangan zeya empangan terbesar di dunia

Empangan Zeya yang dibina di atas Sungai Zeya di Amur Oblast, Rusia yang juga merupakan sempadan China di bahagian utara, menghasilkan takungan Zeya dengan kapasiti simpanan sebayak 68.42 bilion kubik meter, yang ke-9 terbesar di dunia.

Takungan ini meliputi kawasan seluas 2,419 kilometer persegi. Empangan graviti kongkrit ini mempunyai ketinggian 112 meter, berkelebaran 714.2 meter dan dibina menggunakan kongkrit sebanyak 2.067 juta meter padu.

Ia dimiliki oleh RusHydro, sebuah syarikat hidroelektrik Rusia dan dibina dari tahun 1964 hingga 1975. Loji jana kuasa empangan ini terdiri daripada 6 unit penjanaan dengan kapasiti kesluruhan sebanyak 1,290MW.

Loji kuasa ini juga mempunyai turbin aliran air diagonal yang boleh diselaraskan yang pertama di dunia.

8. Empangan Krasnoyarsk - Rusia

empangan krasnoyarsk empangan terbesar di dunia

Empangan ke-8 terbesar di dunia adalah Empangan Krasnoyarsk, juga di Rusia yang mendapat sumber daripada Sungai Yenisey dan menghasilkan takungan Krasnoyarkskoye dengan kapasiti penyimpanan sebanyak 73.3 bilion meter padu.

Takungan ini meliputi kawasan seluas 2,000 kilometer persegi dan mempunyai garis pantai kira-kira 1,560 kilometer. Empangan graviti kongkrit ini berketinggian 124 meter dan berkelebaran 1,065 meter yang dibina selamat 16 tahun dari tahun 1956 hingga 1972.

Ia direka dengan kapasiti pelepasan sebanyak 20,400 kubik meter bagi setiap saat.

7. Empangan W.A.C Bennett - Kanada

empangan wac bennett empangan terbesar di dunia

Empangan W.A.C Bennett yang dibina di atas Sungai Peace di British Columbia Canada, menghasilkan Tasik Williston. Empangan ini berada di kedudukan ke-7 terbesar dunia dengan kapasiti simpanan kira-kira 74 bilion kubik meter yang meliputi kawasan seluas 1,774 kilometer persegi.

Empangan tambak ini dikendalikan oleh B.C Hydro dan mempunyai ketinggian 183 meter dengan lebar 2,068 meter. Pembinaan empangan ini hanya mengambil masa 6 tahun bermula pada tahun 1961 dan sipat pada 1967.

6. Empangan Aswan High - Mesir

empangan aswan high empangan terbesar di dunia

Empangan Aswan High yang disalirkan oleh Sungai Nil dan menghasilkan Tasik Nasser adalah empangan ke-6 terbesar di dunia berdasarkan kapasiti simpanan air. Takungan empangan ini iaitu Tasik Nasser mempunyai kapasiti simpanan air sebanyak 132 bilion kubik meter.

Empangan isi-batu ini direka oleh Institute Hydroproject dari Rusia dengan kerjasama beberapa orang jurutera Mesir. Ia mula dibina pada tahun 1960 dan tamat pada tahun 1968 dengan kos hampir RM4 billion.

Empangan sebaguna ini memenuhi keperluan pengairan kedua-dua negara iaitu Mesir dan Sudan, mengawal banjir, menjana kuasa dan membantu meningkatkan navigasi di seluruh Sungai Nil.

5. Empangan Guri - Venezuela

empangan guri empangan terbesar di dunia

Dengan kapasiti simpanan sebanyak 135 bilion kubik meter, Empangan Guri yang menghasilkan Tasik Guri seluas 4,000 kilometer persegi adalah empangan ke-5 terbesar di dunia. Empangan ini merupakan gabungan dua jenis empangan iaitu empangan graviti kongkrit dan empangan tambak dengan lebar 1,300 meter dan tinggi 16 meter.

Empangan ini membekalkan 70% daripada keperluan elektrik Venezuela dan dikendalikan oleh CVG Electrification del Caroni CA (Edelca).

4. Empangan Daniel Johnson - Canada

empangan daniel johnson empangan terbesar di dunia

Juga dikenali sebagai Empangan Manic 5, Empangan Daniel Johnson disalirkan oleh Sungai Manicouagan dan menghasilkan Takungan Manivouagan dengan kapasiti simpanan sebanyak 139.8 bilion kubik meter. Takungan yang meliputi kawasan seluas 1,973 meter persegi ini adalah yang ke-4 terbesar di dunia.

Empangan ini juga dikenali sebagai empangan berbilang gerbang dan lengkungan yang terbesar di dunia. Ia mempunyai lebar 1310.6 meter, setinggi 213.97 meter, dilengkapi dengan 14 tiang dan 13 gerbang serta dibina menggunakan 2.2 juta kubik meter kongkrit.

Sama seperti Empangan Robert Bourassa, empangan ini dimiliki oleh Hydro-Québec dan dibina dari tahun 1959 hingga 1968.

3. Empangan Akosombo - Ghana

empangan akosombo empangan terbesar di dunia

Terletak di Ghana, Empangan Akosombo adalah yang ketika terbesar di dunia. Dibina di atas Sungai Volta, empangan ini menghasilkan Tasik Volta berkeluasan 8,500 kilometer persegi yang juga merupakan takungan terbesar di dunia dari segi luas kawasan.

Kapasiti simpanan air bagi empangan isi-batu ini adalah sebanyak 144 bilion kubik meter dan mempunyai panjang 700 meter dengan tinggi 134 meter. Ia dibina dari tahun 1961 hingga 1966 dengan tujuan utama sebagai penjana elektrik di samping menjadi sumber makanan kepada 300,000 penduduk setempat melalui penangkapan ikan di tasik ini.

2. Empangan Bratsk - Rusia

empangan bratsk empangan terbesar di dunia

Empangan Bratsk yang terletak di Siberia, Rusia adalah empangan kedua terbesar dengan kapasiti simpanan sebanyak 169.27 bilion kubik meter. Ia disalirkan oleh Sungai Angara dan takungan yang dihasilkan meliputi kawasan seluas 5,540 kilometer persegi.

Empangan graviti kongkrit ini adalah milik Irkutskenergo, sebuah syarikat kuasa di Rusia dan dibina dari tahun 1954 hingga 1964.

1. Empangan Kariba - Zimbabwe

empangan kariba empangan terbesar di dunia

Dan empangan yang terbesar di dunia dari segi kapasiti simpanan air terletak di Kariba Gorge, Zimbabwe. Empangan Kariba menghasilkan Tasik Kariba dengan kapasiti simpanan sebanyak 185 bilion kubik meter dengan keluasan kawasan 5,580 kilometer persegi.

Tasik mempunyai panjang maksimum 280 kilometer dan lebar maksimum 32 kilometer. Empangan lengkungan kongkrit ini dimiliki oleh Zambezi River Authority, sebuah perbadanan bersama dimiliki oleh kerajaan Zambia dan Zimbabwe. yang dibina di antara tahun 1955 hingga 1959.

Empangan Kariba direka bentuk untuk mengelakkan kejadian banjir selama sekali dalam 10,000 tahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)