Kredit foto: Malay Mail Online & Instagram Ahya Rosli
Penyampai radio Zulin Aziz memilih untuk berhenti mengikuti kawan rapatnya, Ahya Rosli di Instagram dek kerana tidak tahan tekanan yang diberikan orang luar terhadap hubungan mereka.
Bagaimanapun Zulin menegaskan mereka masih berkawan seperti dahulu.
Tindakan itu hanyalah untuk memuaskan hati pihak lain yang tidak menyenangi hubungan yang terjalin.
"Kami tidak bergaduh, malah masih berkawan baik walaupun masing-masing tidak lagi saling mengikuti di laman Instagram.
"Saya sendiri sudah lama sebenarnya tidak menjadi pengikut Ahya di laman sosial bergambar itu. Cuma dia saja yang baru menyedarinya dan bertindak melakukan perkara sama.
"Saya berbuat demikian sebagai jalan selamat daripada memeningkan diri untuk memikirkan segala kata-kata nista dan persepsi orang luar terhadap hubungan kami," katanya menurut laporan portal Berita Harian Online.
Tambah Zulin, apa yang merimaskan apabila orang luar menghentam seolah-olah mereka lebih arif tentang persahabatan tersebut.
Malah selebriti serba boleh ini turut mendapat kiriman mesej oleh individu yang menggesa supaya perhubungan itu diputuskan.
"Malah, ada yang sakit hati dan tidak suka kami berkawan baik. Jadi, mereka memburuk-burukkan keakraban saya dengan Ahya. Dalam soal kecaman pula, ia sudah menjadi perkara biasa.
"Lebih daripada itu, saya pernah mendapat mesej peribadi di laman berkenaan, yang meminta supaya saya tidak lagi berkawan dengannya," dedahnya.
Apapun Zulin enggan peminat bimbang kerana hakikatnya tiada sebarang permusuhan antara dirinya dan anak lelaki aktres Normah Damanhuri itu.
Keputusan yang diambil hanya untuk menenangkan pihak yang tidak gembira melihat kebahagiaannya.
"Usah risau mengenai persahabatan kami. Saya dan Ahya masih lagi baik. Mungkin dengan cara saya tidak lagi mengikutinya di laman sosial, ia boleh memuaskan hati mereka di luar sana itu," katanya lagi.
Sumber berita: BH Online