Kredit foto: Instagram Zizi Kirana
Penyanyi Zizi Kirana menyambut baik pujian yang dilontarkan netizen terhadap fotonya mengenakan tudung dalam sebuah kiriman yang dimuatnaik di akaun Instagram peribadinya.
"Terima kasih kepada yang memberikan komen positif. Itu bukanlah penampilan baru saya atau apa tetapi ia adalah apa yang saya pakai pada majlis perkahwinan adik saya baru-baru ini," katanya kepada Harian Metro.
Sebelum ini, Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah @ Zizi Mohd Tahil dikenali dengan imej 'berani mati' kerana sering menggayakan fesyen mencolok mata.
Sementara itu, penyanyi berusia 33 tahun ini merakamkan penghargaan kepada para peminat yang mendoakan agar imej bertudungnya itu berkekalan.
"Kepada yang mendoakan supaya saya menutup aurat, saya ucapkan terima kasih. Doakan yang baik-baik untuk saya ya," katanya.
Biarpun begitu, Zizi mengingatkan netizen supaya tidak menganggap kata-kata pujian mereka akan membuatkan beliau menurut apa yang dimahukan.
"Saya tak mahu kalau saya pakai tudung, kerana mengikut kehendak netizen dan bukan kerana saya sendiri yang ikhlas," katanya.
Akuinya, beliau akan terus berpakaian seperti kebiasaan kerana itulah yang dirasakan selesa buat masa ini.
“Jadi, buat masa sekarang saya selesa dengan penampilan saya sebegini," katanya lagi.
Untuk rekod, Zizi yang pernah menganggotai kumpulan The Fabulous Cats (TFC), dikesan bakatnya menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh, seangkatan dengan penyanyi terkenal, Hafiz Suip dan Akim Ahmad.