Kredit foto: Twitter Amirulhakim Lokman & Facebook Buletin TV3
Gara-gara aksi penyampaian seorang wartawan TV3 iaitu Amirulhakim Lokman yang dikatakan terlalu santai, ia menjadi tular di laman Twitter sekaligus mengundang kritikan sesetengah netizen.
Momen itu menyaksikan Amirulhakim melaporkan suasana orang ramai pulang ke kampung halaman dari Terminal Bersepadu Selatan untuk siaran Buletin 1.30 pada Sabtu.
Namun apa yang menjadi perhatian adalah aksi selambanya menyanyikan lagu Indahnya Beraya Di Desa dendangan asal Azlina Aziz sebagai intro laporan tinjauan itu.
Pengguna Twitter, @ezhar_ehsan sempat mengabadikan aksi itu dalam bentuk rakaman video lalu memuat naiknya di media sosial dengan kapsyen bertanya sama ada wartawan itu 'okey' atau tidak?
“Wartawan TV3, kau OK tak bro?” tulisnya.
Lantas status itu mencatatkan 8,000 perkongsian dan 5,000 tanda suka daripada netizen.
Secara keseluruhannya rata-rata pengguna media sosial terhibur kerana menganggap Amirulhakim cuba untuk mengenengahkan pendekatan baharu dalam laporan siaran langsung.
Sebagai respon balas, Amirulhakim menerusi laman sama merakamkan penghargaan kepada penonton yang berpuas hati dengan cara penyampaiannya.
“Saya okay sahaja bro @ezhar_ehsan , terima kasih. Alhamdulillah, dapat juga saya hiburkan penonton dengan suasana gembira perantau pulang untuk menyambut lebaran yang saya selitkan dengan laporan berita berkonsepkan santai dan padat dengan informasi semasa,” tulisnya.
Kredit foto: Twitter Amirulhakim Lokman
Begitupun, ia mencetuskan rasa tidak senang bekas penyampai berita TV3, Saiful Nizam Ismail yang mengkritik gaya Amirulhakim sebagai pelik dan kurang bersesuaian.
“Wartawan sekarang sudah boleh sertakan nyanyian dalam stand upper. Tak tau nak suka atau rasa pelik,” tulisnya di Instagram.
Amirulhakim bagaimanapun tidak berdiam diri, sebaliknya mempertahankan teknik penyampaiannya, selain menganggap cara teguran Saiful itu bagai sengaja mencalarkan maruah beliau.
Kredit foto: Twitter Amirulhakim Lokman
“Dia kurang faham dengan pengisian laporan serta konsep yang saya bawakan. Santai, padat dan bersahaja dengan suasana kemeriahan pulang beraya.
“Jika dia bertindak secara pro dan bijak, dia seharusnya tegur saya secara peribadi, bukan mengaibkan. Semoga dia dirahmati, Amin,” katanya.