Serangan Komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor, pada 23 Februari 1950 merupakan satu sejarah hitam yang dikenang dan diberikan publisiti meluas sebagai satu sejarah kepahlawanan anggota polis dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Serangan itu telah mengorbankan 14 orang anggota polis, lima orang polis bantuan, empat ahli keluarga anggota polis dan dua orang awam menjadikan kesemuanya 25 mangsa.
BESARKAN TEKS A- A+
Serangan yang diketuai oleh Komander Goh Peng Sun dengan kekuatan 180 orang ahli itu berlaku selepas 7 bulan 6 hari kerajaan mengisytiharkan darurat. Ia merupakan antara beberapa siri serangan Komunis terhadap balai-balai polis di seluruh negara.
Dato Onn Jaafar melawat tapak Balai Polis Bukit Kepong yang terbakar. Kredit foto arkib.gov.my
Anggota Polis Bukit Kepong yang terlibat dalam serangan 1950
Sebenarnya banyak lagi kisah serangan Komunis ke atas balai-balai polis lain ketika negara berada dalam Ordinan Darurat tetapi tidak diketahui ramai. Salah satunya ialah serangan yang berlaku ke atas Balai Polis Kuala Krau, Temerloh, Pahang.
Serangan ke atas balai polis ini berlaku lebih awal sebelum peristiwa yang menimpa Balai Polis Bukit Kepong. Malah, Balai Polis Kuala Krau telah diserang sebanyak dua kali dalam kejadian yang berbeza.
Serangan Pertama Balai Polis Kuala Krau
Lukisan Balai Polis lama Kuala Krau
Kejadian serangan pertama berlaku pada 26 Jun 1948. Anak kepada salah seorang anggota polis yang terlibat dalam peristiwa itu, Osman bin Mohd Yusof, yang kini di usia 70-an menceritakan pengalaman pahitnya ketika kejadian berlaku.
Osman memberitahu, dia yang ketika itu baru berusia tiga tahun sedang makan malam bersama keluarganya sebelum terdengar bunyi tembak menembak yang datang dari arah balai polis.
Tanpa membuang masa, bapanya Mohd Yusof terus mencapai senjata jenis Bren Gun dan bergegas menuju ke balai tempatnya bertugas. Ibunya, Mahani Konel, yang ketika itu sedang mengandung segera menyembunyikan Osman dan abangnya sambil menyuruh mereka diam.
Lakonan semula serangan Balai Polis Kuala Krau. Credit : konflik&militer
Suasana ketika itu amat tegang. Berdasarkan jumlah tembakan yang didengarinya, dia mengandaikan pengganas komunis datang dalam jumlah yang besar. Menyedari pihak polis kekurangan anggota, ibunya lantas mencapai sepucuk senapang dan cuba mencari bapanya, Mohd Yusof untuk membantu.
Malangnya, semasa dalam perjalanan ke balai ibunya telah terserempak dengan pengganas komunis lalu ditembak mati. Setelah menunggu buat seketika waktu, Osman dan abangnya keluar mencari ibunya yang tidak pulang tetapi hanya menemui mayat wanita itu terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
Serangan Kedua Balai Polis Kuala Krau
Komunis Bintang Tiga
Keganasan komunis di Kuala Krau tidak hanya terhenti setakat itu. Balai Polis Kuala Krau diserang lagi buat kali kedua pada 11 September 1949. Kejadian itu berlaku sekitar jam 4.00 pagi.
Kisah serangan kedua ini diceritakan oleh Penghulu Mukim Jenderak 1, Zainal Azman kepada Utusan Malaysia. Zainal memperoleh kisah ini daripada dua orang anggota polis yang berada di Balai Polis Kuala Krau ketika kejadian berlaku.
Kedua-dua anggota polis itu ialah Allahyarham Koperal Wok Zainal dan Baharin Md. Duhun yang bertarung nyawa mempertahankan balai mereka apabila pengganas Komunis menyerang dari segenap penjuru balai dan Pekan Kuala Krau.
Balai Polis Kuala Krau sekarang
Menurut apa yang diceritakan kepadanya, kira-kira 250 orang pengganas Komunis telah mengepung Balai Polis Kuala Krau sehingga menyebabkan kira-kira 30 orang anggota polis yang berada di dalamnya tidak boleh keluar. Serangan ke atas Balai Polis Kuala Krau itu disedari oleh Baharin yang ketika itu sedang membuat rutin rondaan.
Bayangkan dengan jumlah anggota yang sedikit dan kelengkapan senjata yang terhad, mereka bertarung dan mempertahankan balai polis itu dengan mempertaruhkan nyawa sendiri. Masing-masing tidak berganjak dari kedudukan bertahan biarpun sehingga ke titisan darah yang terakhir.
Komunis lumpuhkan perhubungan dan bantuan
Sebelum serangan berlaku, pihak Komunis terlebih dahulu telah menawan dan menutup jalan-jalan utama di pekan itu untuk melumpuhkan sistem perhubungan dengan polis dari kawasan lain.
Mereka juga turut menyerang dan menterbalikkan sebuah kereta api yang membawa pasukan bantuan dari Balai Polis Mentakab di Tanjong Kubu kerana sudah dapat meramalkan bahawa bantuan akan tiba menggunakan kereta api.
Pengganas komunis juga masuk ke pekan dan merampas semua ubat-ubatan dari sebuah kedah menjual ubat. Mereka juga menembak mati dua orang wanita, seorang berbangsa Cina dan seorang lagi berbangsa Melayu yang kebetulan berada berdekatan kedai ubat berkenaan.
Kira-kira 30 pengganas Komunis lagi masuk ke jalan besar dan menemui dua anggota polis tetapi tidak diapa-apakan, hanya merampas dua pucuk Rifle dan peluru. Selepas itu, stesen kereta api pula menjadi sasaran mereka di mana dua pegawai British telah dibunuh dengan kejam.
Subuh Berdarah
Credit : konflik&militer
Serangan yang bermula sekitar jam 4.00 pagi itu berlanjutan sehingga hampir dua jam lamanya. Ketika azam Subuh berkumandang, barulah pengganas Komunis berhenti menyerang dan berundur. Serangan ini dikenali sebagai 'Subuh Berdarah'
Tragisnya, seorang anggota polis bernama Hamzah yang hanya menghitung hari untuk bergelar 'Raja Sehari' telah terkorban. Dia sepatutnya pulang ke kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan, sehari selepas kejadian serangan itu untuk membuat persiapan perkahwinan.
Serangan itu mungkin dapat dijangka oleh polis berikutan kelibat ketua komunis ketika itu yang dikenali dengan nama Ah Kit mula kelihatan beberapa hari sebelum serangan.
Apa yang berbeza tentang serangan ke atas Balai Polis Kuala Krau ialah anggotanya berjaya mempertahankan balai mereka, manakala serangan di Balai Polis Bukit Kepong pula telah mengorbankan semua anggota yang mempertahankannya.
Selepas kejadian berdarah itu, kekuatan di Balai Polis Kuala Krau telah ditambah kepada 60 anggota polis dan 120 orang polis tambahan berserta seorang Penolong Pegawai Penyiasat Polis berbangsa Inggeris. Kuala Krau kemudian diisytiharkan sebagai Kawasan Putih pada 18 April 1956.
Rujukan :