Anda mungkin biasa mendengar istilah "hoarder" atau pernah menonton kisah tentang pengumpul yang gemar mengumpul terlalu banyak barang - sama ada berharga atau sekadar sampah - sehingga rumah menjadi sarat dan sesak. Sebenarnya, ramai orang yang mempunyai masalah sedemikian. Namun, kisah The Collyer Brothers ini mungkin adalah yang paling kronik dalam sejarah.
BESARKAN TEKS A- A+
Di tengah-tengah bandar Harlem di New York, terletak sebuah taman mini di antara 128th Street dan 5th Avenue. Papan tandanya tertulis "Collyer Brothers Park" dan merupakan salah satu taman terkecil di New York dengan dua buah bangku, beberapa pasu bunga dan pokok yang redup. Bandar New York memang mempunyai banyak 'taman poket' sebegini di seluruh bandar, jadi ia bukanlah sesuatu yang aneh.
Apa yang menganehkan adalah kisah adik-beradik Collyer bersempena pemberian nama taman itu.
Homer dan Langley Collyer dilahirkan pada tahun 1880-an dalam sebuah keluarga yang sangat dihormati penduduk New York. Bapa mereka merupakan seorang ahli ginekologi manakala ibu mereka pula merupakan seorang bekas penyanyi opera dan anak kepada Robert Livingston, iaitu salah seorang "Bapa Pengasas Amerika Syarikat" di samping George Washington.
Homer dan Langley tinggal bersama keluarga mereka di 2078 Fifth Avenue iaitu sebuah rumah lot tepi di mana kini terletaknya taman mini Collyer Brothers Park.
Ayah mereka, Dr. Collyer merupakan seorang yang berperangai ganjil. Dia kebiasaannya pergi ke hospital tempat dia bekerja di Pulau Roosevelt dengan mengayuh kanu. Namun, apabila pulang ke rumah, dia akan berjalan kaki melalui jalan bandar sambil memegang kanunya. Kedua-dua anak lelakinya mewarisi perangai pelik ini apabila meningkat dewasa.
Dr. Collyer meninggal dunia pada tahun 1923. Isterinya mengikut jejak langkahnya menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1929. Rumah peninggalan Harlem itu kemudian dipindah hak milik kepada Homer dan Langley.
Semakin Menjauhi Masyarakat
Empat tahun berikutnya, kedua-dua beradik ini masih hidup normal dengan bersosial bersama jiran tetangga dan mengajar di sekolah Gereja Trinity setiap hari Ahad. Homer merupakan seorang peguam manakala Langley pula adalah seorang jurutera bertauliah. Walaupun begitu, Langley tidak pernah menjayakan kerjayanya sebagai jurutera dan memilih minatnya yang mendalam terhadap muzik dan menjadi seorang pemain piano konsert profesional.
Pada tahun 1933, Homer menjadi hilang upaya dan buta penglihatan akibat pendarahan di bahagian belakang matanya. Langley kemudian terpaksa berhenti kerja untuk menjaga abangnya. Sejak itu, mereka berdua mula menyisihkan diri daripada masyarakat.
Lama-kelamaan, mereka menjadi paranoid dan takut dengan perubahan yang berlaku di kawasan kejiranan itu. Zaman Meleset juga telah mengubah keadaan ekonomi masyarakat selain menyebabkan lambakan warga Afrika-Amerika berpindah ke kawasan itu.
Dianggap Pelik Dan Diganggu Kejiranan
Keadaan semakin tidak terkawal apabila ramai remaja yang suka mengganggu mereka dengan membaling batu ke arah tingkap rumah. Mereka akan menutup tingkap serta langsir dan terus hidup bersendirian. Namun, semakin mereka menjauhkan diri, orang sekeliling semakin ingin tahu tentang adik-beradik ini. Malah, ada desas-desus yang mengatakan mereka menyembunyikan harta karun dan kemewahan yang dibawa dari Timur.
Sebenarnya, mereka semakin tenggelam dalam kehuru-haraan.
Langley banyak menghabiskan masa menggodek-godek pelbagai ciptaan seperti alat untuk memvakum bahagian dalam piano dan juga kereta Model T Ford yang diubah suai untuk menjana kuasa elektrik. Dia juga telah memasang banyak jerangkap samar di seluruh rumah andai diceroboh.
Terjebak Dengan Aktiviti Mengumpul Barang Dan Sampah
Selepas waktu tengah malam, barulah Langley akan keluar dari rumah dan berjalan berbatu-batu jauhnya untuk mencari makanan. Kebiasaannya, ini bermakna menyelongkar tong sampah di luar kedai runcit dan kedai menjual daging. Selain itu, dia juga mula membawa pulang pelbagai barangan yang sudah tidak boleh digunakan. Apa sahaja barang yang menarik perhatiannya, dia akan bawa bersama.
Hari demi hari, rumah mereka semakin dipenuhi pelbagai barang. Pergerakan di dalam rumah menjadi terbatas seolah-olah ia sebuah pagar sesat dengan longgokan kotak dan 'terowong' berselirat hasil pengumpulan sampah dan wayar. Rumah itu tidak mempunyai bekalan gas, elektrik dan air kerana kesemua perkhidmatan telah dihentikan akibat tidak pernah menjelaskan bil.
Langley juga mengumpulkan beribu-ribu naskhah surat khabar dan mengikatnya menjadi berkas-berkas dengan harapan supaya 'mudah' abangnya membaca dan mengetahui berita semasa apabila penglihatannya pulih. Langley yakin yang abangnya akan boleh melihat semula kerana dia telah membuat ramuan 'ubat' sendiri sebagai rawatan mengandungi 100 biji oren setiap minggu, roti hitam dan mentega kacang.
Apa yang pasti, rawatan itu tidak berjaya. Kesihatan Homer menjadi semakin tidak stabil dan dia akhirnya menjadi lumpuh akibat reumatisme inflamatori. Namun demikian, kedua-dua beradik ini masih enggan mendapatkan rawatan sewajarnya di hospital.
Mula Mendapat Perhatian Lebih Luas
Hidup pelik Homer dan Langley semakin menjadi tanda tanya kepada penduduk di Harlem. Ada satu ketika, pekerja majlis perbandaran terpaksa memecah masuk untuk menanggalkan dua meter gas yang lama dan kejadian ini telah menyebabkan hampir seribu orang berkumpul di hadapan rumah mereka untuk melihat.
Keadaan mental Homer dan Langley mula diberikan perhatian pada bulan Mac 1947 apabila terdapat satu aduan mengenai bau busuk seperti bangkai di rumah mereka. Apabila pasukan polis tiba, mereka tidak dapat masuk kerana terdapat sampah yang memenuhi rumah sehingga pintu tidak dapat dibuka. Longgokan akhbar, katil, kerusi dan kotak telah menyekat laluan masuk ke rumah.
Mayat Homer Membusuk
Pihak polis akhirnya terpaksa memecahkan tingkap di tingkat atas rumah dan selepas lima jam memanjat dan mengorek laluan melalui jutaan barangan yang dilonggok, mereka menemui mayat Homer Collyer di bawah timbunan sampah dan dikelilingi kotak-kotak berisi sampah dan surat khabar yang disusun tinggi sehingga ke siling.
Rupa-rupanya Homer telah mati kebuluran. Walau bagaimanapun, Langley tidak dapat ditemui. Pihak polis membuat spekulasi bahawa Langley telah melarikan diri dan menyebabkan dia diburu secara besar-besaran sehingga ke kawasan Atlantic City.
Operasi Penggeledahan Dan Mencari Langley
Dalam masa yang sama, segala sampah-sarap dari rumah mereka mula dikeluarkan dan pelbagai benda ganjil dijumpai termasuklah tulang rahang seekor kuda, mesin X-ray dari zaman dahulu, kereta sorong bayi, pelbagai jenis senjata api, lebih 25,000 buah buku, organ manusia yang diawet dalam balang, lapan ekor kucing hidup, 14 buah piano dan bilangan majalah serta akhbar yang tidak terkira banyaknya.
Secara keseluruhannya, sebanyak 120 tan sampah dibuang dari rumah adik-beradik ini. Lebih dua ribu orang berkumpul di hadapan rumah mereka setiap hari untuk menyaksikan sendiri kerja-kerja pembersihan dijalankan.
Dua minggu kemudian, barulah tubuh kejung Langley dijumpai. Apa yang menarik, mayatnya sebenarnya berada tidak sampai 10 kaki dari tempat abangnya mati. Langley meninggal dunia akibat tersalah mencetuskan salah satu jerangkap samar yang dipasang dan akhirnya mati ditimpa kotak-kotak besi dan longgokan surat khabar. Ketika itu Langley sedang membawa makanan kepada abangnya melalui terowong yang dibina sebelum terowong itu runtuh dan menyebabkan dia kesesakan nafas. Dipercayai Homer mati beberapa hari selepas Langley.
Pada bulan Julai tahun yang sama, rumah itu dirobohkan kerana ia tidak boleh dibaiki lagi. Pada tahun 1965, tapak seluas 140 meter persegi itu menjadi antara taman poket terawal di bandar New York.
Hoarding Adalah Satu Masalah Mental
Walaupun kejadian menyayat hati ini telah berlaku berpuluh tahun lamanya, compulsive hoarding atau pengumpul kompulsif hanya mula dikenali sebagai gangguan mental secara rasmi sekitar tahun 2013. Namun, pakar psikologi masih belum dapat mengenal pasti sama ada ia adalah manifestasi daripada kondisi lain seperti kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) atau merupakan gangguan mental berlainan.
Dianggarkan sekitar 2-5% orang dewasa di seluruh dunia mengalami masalah gangguan mental ini. Jika ada ahli keluarga atau kenalan anda yang mempunyai tanda-tanda suka mengumpul sampah-sarap seperti ini, bantulah mereka mendapatkan nasihat pakar sewajarnya. Jangan biar ia parah sehingga menjadi seperti Homer dan Langley.