40 tahun yang lalu pada 11 Mei 1981, bintang reggae Bob Marley meninggal dunia akibat melanoma lentiginous akral iaitu sejenis kanser kulit yang dikesan pada kuku kakinya empat tahun sebelum itu.

Kematian mengejut bintang berusia 36 tahun yang popular dengan lagu seperti Redemption Song, No Woman No Cry dan Buffalo Soldier itu juga sebenarnya diselubungi pelbagai teori konspirasi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun secara rasminya Bob Marley meninggal dunia akibat barah, ramai percaya ada pihak cuba membunuh penyanyi itu. Bahkan, ada yang berpendapat barah yang dihidapi Bob Marley adalah berpunca daripada salah satu rancangan untuk membunuhnya.

Sejarah ringkas Bob Marley

Bob Marley dilahirkan pada 6 Februari 1945 kepada wanita kulit hitam Jamaica dan lelaki British di St. Ann Parish, Jamaica. Sejak kecil lagi, dia yang berkulit cerah berbanding rakan-rakan lain sering diejek.

Pada asalnya, dia dinamakan sebagai Nesta Norman Marley tetapi menukarnya kepada Norman Nesta Marley kerana panggilan Nesta itu kedengaran "feminin". Selepas meningkat dewasa, dia sekali lagi menukar namanya kepada Robert Nesta Marley.

bob marley muda

Ketika membesar, Bob Marley meminati bidang muzik dan bertekad untuk menyatukan kedua-dua kaum dengan muziknya. Apabila dewasa, dia menjadi ikon anti-perang dengan muzik raggae yang dibawanya.

Bob Marley dan ibunya berpindah ke Kingston setelah dua tahun bapanya meninggal dunia. Pada usia 14 tahun, dia berhenti bersekolah kerana ingin mengejar karier muziknya dan membentuk kumpulan The Wailers pada awal 60-an.

The Wailers menjadi agak terkenal di peringkat global pada tahun 70-an. Walaupun dua ahli asal telah meninggalkan kumpulan itu pada 1974, Bob Marley masih meneruskan dan menghasilkan beberapa lagu popular seperti Exodus dan Kaya.

Ketika itu juga, Bob Marley dihimpit masalah dari kesihatan dan tekanan politik. Dia didiagnos oleh kanser di bawah jari kakinya pada 1977 tetapi menolak untuk jarinya dipotong kerana kepercayaan agamanya.

Teori konspirasi kematian Bob Marley

Ada pihak percaya bahawa CIA adalah dalang yang membunuh Bob Marley atau sekurang-kurangnya terlibat dalam rancangan pembunuhan itu. Dakwaan ini sebenarnya bukanlah tidak berasas.

bob marley dan michael manley

Bob Marley dan Michael Manley (kanan)

Pada tahun 1976, Bob Marley dijadualkan untuk membuat persembahan di konsert keamanan yang diadakan oleh calon Perdana Menteri Jamaica iaitu Michael Manley. Parti politik yang dipimpin Manley menolak campur tangan Amerika Syarikat untuk mengawal polisi Jamaica ketika itu.

Ada pihak percaya CIA telah mengupah pembunuh untuk menembak mati Bob Marley sebelum konsert itu. Namun, cubaan itu tidak berjaya dan penyanyi itu selamat.

Apabila rancangan itu gagal, terdapat pula teori mengatakan bahawa penerbit filem dokumentari Carl Colby menghadiahkan Bob Marley dengan sepasang kasut yang diletakkan bahan radioaktif. Bahan itu yang menjadi punca kepada barah pada jari kaki penyanyi itu.

Pada tahun 1976, Colby telah melakukan dokumentari mengenai Bob Marley. Ironiknya, Carl Colby merupakan anak kepada pengarah CIA ketika itu iaitu William Colby. Walaupun ia sekadar teori konspirasi tetapi mempunyai asas yang meyakinkan.

Tekanan politik ke atas Bob Marley

Bob Marley bersetuju untuk mengadakan konsert percuma di Kingston bernama "Smile Jamaica" pada 5 Disember 1976. Secara kebetulan ia hampir dengan pilihanraya umum Jamaica dan ia merupakan masa yang bergolak.

bob marley ditembak

Bob Marley bersetuju dengan Michael Manley, seorang calon sosialis demokratik yang berhaluan kiri. Sebelum berlangsungnya konsert itu, ketegangan semakin meningkat sehingga penyanyi itu terpaksa mengupah pengawal di rumahnya.

Pada 3 Disember, tiga orang lelaki tidak dikenali berjaya meluru masuk ke dalam rumah Bob Marley dan melepaskan tembakan ke arah dapur. Pengurus Bob Marley ketika itu iaitu Don Taylor berjaya menarik penyanyi itu sehingga terkena tembakan di tangannya sendiri.

Menurut rakan Bob Marley iaitu Michael Smith, cubaan bunuh itu datangnya daripada politik. Ini kerana penyanyi itu bersetuju melakukan konsert untuk parti Manley tetapi menolak undangan Parti Buruh Jamaica yang merupakan penyokong kuat Amerika.

Ketika beberapa penembak itu dibicarakan di mahkamah, Don Taylor mendakwa penembak itu sendiri mengaku bahawa CIA menjanjikan pertukaran dadah dan senjata jika berjaya membunuh Bob Marley.

Saat akhir Bob Marley

Bob Marley tetap meneruskan persembahannya di konsert Smile Jamaica tetapi meninggalkan negara itu beberapa minggu kemudian. Pada kemuncak popularitinya pada 1980, penyanyi itu rebah ketika berjoging di Central Park, New York.

Pengurusnya pada waktu itu iaitu Danny Sims berkata, doktor memberitahu bahawa Bob Marley mempunyai banyak kanser berbanding pesakit yang pernah diperiksanya. Doktor itu menjangkakan bahawa penyanyi itu mempunyai masa beberapa bulan sahaja untuk hidup.

bob marley sakit

Setelah mengadakan konsert terakhirnya pada 23 September 1980 di Pittsburgh, penyanyi itu mendapatkan rawatan di beberapa tempat seperti Miami, New York dan Jerman. 

Namun, rawatannya itu tidak membuahkan hasil dan Bob Marley semakin lemah walaupun untuk membawa beban rambut dreadlock yang digayakannya. Isterinya terpaksa memotong rambutnya pada penghujung kehidupan penyanyi itu.

Bob Marley meminta untuk kembali ke Jamaica apabila kesihatannya semakin merosot tetapi meninggal dunia di University of Miami Hospital pada 11 Mei 1981.

Walau apa pun punca sebenar kematian penyanyi itu, wajahnya menjadi ikon popular selepas kematiannya dan begitu juga dengan mesej keamanan yang dibawanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)