Istilah 'patient zero' seringkali dirujuk, apabila kita membicarakan tentang individu yang dipercayai menjadi mangsa pertama jangkitan sesuatu wabak.
Walaupun begitu, pernahkah anda terfikir dari mana datangnya istilah ini? Pengenalan istilah ini sebenarnya berkait dengan kisah seorang lelaki bernama Gaetan Dugas, seorang peramugara Air Canada yang lahir pada 20 Februari 1953.
BESARKAN TEKS A- A+
Dugas merupakan individu yang dikatakan bertanggungjawab menyebarkan penyakit AIDS kepada ramai individu lain, sehingga dilabelkan sebagai seorang 'penyebar supra' (superspreader) dan istilah 'patient zero' bermula daripada beliau.
'Tifoid Mary' versi moden
Sudah banyak kisah berkenaan individu bernama Gaetan Dugas diceritakan. Dia digambarkan sama seperti Mary Mallon versi moden, seorang wanita tukang masak yang lebih dikenali dengan nama 'Typhoid Mary' kerana telah menyebabkan kematian 51 orang.
Bezanya, Mallon tidak menyedari apa yang dia lakukan kerana pada dirinya langsung tidak pernah nampak petunjuk dia sebenarnya dijangkiti. Dugas pula seorang yang degil, enggan menghentikan tabiat homoseksualnya walaupun berulang kali diberikan amaran.
Ya, Dugas adalah seorang gay yang sangat aktif menjalinkan hubungan dengan lelaki lain, dikatakan meniduri hampir 250 orang lelaki setiap tahun. Lahir di Quebec City, Kanada, Dugas berhijrah ke Vancouver pada usia 20 tahun bagi mempelajari bahasa Inggeris bagi membolehkan dia memulakan karier dan cita-citanya sebagai seorang peramugara.
Semasa dia tiba ke Amerika Syarikat kali pertama, Dugas berkenalan dengan Ray Redford, pasangannya yang pertama dan hubungan ini berkekalan selama beberapa tahun. Bagaimanapun, tugas Dugas sebagai peramugara mula meretakkan hubungan mereka terputus.
Ini menyebabkan Dugas mula mencari lelaki-lelaki lain bagi melampiaskan nafsu songsangnya. Kerjaya sebagai peramugara membawa Dugas ke serata Kanada, tetapi bagi Dugas - hanya dua bandar dapat memenuhi keinginan homoseksualnya; New York dan San Fransisco. Dugas memilih untuk menetap di New York pada awal era 1980-an bagi merawat penyakit 'kaposi's sarcoma' sejenis kanser kulit yang dihadapinya.
Masyarakat Amerika Syarikat ketika itu hangat membincangkan tentang satu wabak yang dikenali sebagai 'kanser gay,' tetapi belum ada petunjuk mengaitkan kanser tersebut dengan 'kaposi's sarcoma' pada zaman tersebut.
Pencarian individu pembawa wabak kanser gay
Pada tahun 1982, Centre of Disease Control Amerika Syarikat (CDC) menjalankan kajian terawal mereka tentang wabak kanser gay yang melanda. Penyiasatan yang dijalankan menemui hubungan di antara pesakit-pesakit kaposi's sarcoma dengan komuniti gay yang menjalankan aktiviti mereka di sekitar Los Angeles dan Orange Counties.
Kajian yang diketuai oleh seorang penyiasat CDC bernama William Darrow mendapati kluster jangkitan wabak yang ada mempunyai dua persamaan; pesakit mempunyai masalah sama ada pneumonia, kaposi's sarcoma atau kedua-duanya sekali.
Hasil penemuan itu. Darrow berjaya menghubungkan lebih 40 kes melibatkan pesakit dari negeri Florida, Georgia, New Jersey, Pennsylvania dan Texas di mana setiap seorang individu yang dijangkiti, didapati mempunyai hubungan atau berkait rapat dengan individu lain.
Kluster pesakit ini bagaimanapun ketiadaan satu maklumat utama - individu yang dipercayai punca utama jangkitan.
Darrow percaya individu yang menjadi punca utama ini merupakan seorang individu yang berada luar dari California tetapi mempunyai hubungan dengan kluster yang tinggal di negeri-negeri tersebut. Jadi Darrow melabelkan individu itu sebagai 'patient O.'
Bukan 'zero' atau 'kosong' tetapi 'O.' Huruf O - menandakan pesakit itu 'Outside of California' atau 'dari luar California.'
Pencarian 'Patient O' yang mustahak
Pencarian 'patient O' dijadikan kepentingan utama CDC dalam memahami bagaimana jangkitan berlaku, kerana 'patient O' merupakan penghubung utama di antara kes-kes yang berlaku melibatkan individu yang tinggal di bahagian barat dan timur Amerika Syarikat.
Darrow dalam laporannya sejak mula lagi menamakan 'patient O' dengan huruf, tetapi pegawai-pegawai di CDC melakukan ralat menggelarkan individu itu sebagai 'patient zero' dan akhirnya, gelaran itu melekat. Darrow percaya ramai menyalah anggap gelaran itu kerana pada waktu tersebut, kanser gay yang melanda menyebabkan CDC mula berjaga-jaga dengan epidemik yang melanda.
Kawasan di mana dipercayai punca jangkitan dilabelkan sebagai 'ground zero' jadi pesakit yang dipercayai menjadi penghubung utama wabak - automatik dilabelkan sebagai 'patient zero.'
Istilah itu mula dipopularkan oleh media dengan tajuk-tajuk akhbar menyebut tentang pencarian 'patient zero' menjadi ikutan. Orang ramai mula percaya 'patient zero' merujuk kepada individu yang bertanggungjawab membawa wabak itu ke Amerika Syarikat dan CDC sedang berusaha mengenalpasti individu tersebut.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Darrow, sebaliknya Darrow berulang kali mengingatkan bahawa CDC sedang giat mencari 'patient zero' bukan kerana dia adalah pembawa pertama wabak, sebaliknya dia adalah penghubung kepada kluster-kluster kes yang berlaku.
Bagaimanapun, masyarakat gemarkan sesuatu yang sensasi dan 'patient zero' mula diburu, kerana dipercayai menjadi orang pertama menyebarkan wabak itu ke Amerika Syarikat.
Usaha mencari penawar kanser gay
Uzur diserang kaposi's sarcoma, Dugas cuba mendapatkan rawatan bagi meredakan kanser yang dihadapinya. Bagaimanapun, apa yang kita tahu tentang Dugas - dia agak skeptikal dengan teknik rawatan yang ada pada ketika itu.
Tetapi disebabkan tiada jalan keluar, Dugas mula menjalani rawatan dalam sebuah hospital di New York, walaupun kaedah rawatan yang ada pada ketika itu masih lagi dalam proses percubaan.
Ini kerana belum ada lagi prosedur rasmi dalam melawan kanser gay tersebut bagi melawan wabak yang masih baru pada pihak penyelidikan. Bagi mendapatkan informasi lebih lanjut, Dugas kerap didatangi oleh penyiasat CDC dalam usaha CDC mengenalpasti hubungkait antara kanser tersebut dengan komuniti gay yang ada.
Pada tahun 1982, Dugas secara sukarela menyenaraikan 72 orang bekas pasangan atau individu yang pernah ditiduri kepada CDC, memudahkan CDC mengkaji hubungan di antara Dugas kepada individu-individu gay lain dalam skop yang belum pernah mereka perolehi sebelum itu.
Malangnya, identiti Dugas terdedah kepada awam selepas siasatan mula dijalankan dan masyarakat mula mempunyai kambing hitam untuk dipersalahkan.
Meninggal dunia tetapi terus dikecam
Gaetan Dugas berpindah kembali ke Vancouver pada tahun 1983 tetapi keadaannya yang terlalu uzur memaksa dia kembali ke rumah kelahirannya, di Quebec City. Dia meninggal dunia pada 30 Mac 1984 selepas hampir 4 tahun melawan kanser yang menyerangnya.
Bagaimanapun, kisah berkenaan Dugas belum tamat lagi.
Idenititnya yang telah tersebar dengan namanya tidak lagi menjadi rahsia menyebabkan orang ramai menyalahkan beliau, atas wabak kanser yang berlaku.
Kisah Dugas mendapat perhatian seorang penulis bernama Randy Shilts, seorang wartawan yang berpengalaman luas ditugaskan menyiasat wabak kanser yang pada ketika itu mula dikenali dengan nama AIDS. Shilts juga seorang lelaki gay yang menyalahkan Dugas atas wabak yang melanda komuniti gay di Amerika Syarikat.
Hasil siasatan yang dijalankan oleh beliau dikumpulkan dalam sebuah penerbitan berjudul 'And the Band Played On: Politics, People, and the AIDS Epidemic', diterbitkan pada tahun 1987.
Shilts meletakkan Gaetan Dugas sebagai pelaku utama penyebaran wabak yang dilabelkan sebagai 'patient zero,' bertanggungjawab ke atas apa yang telah berlaku serta menyifatkan Dugas enggan memberikan kerjasama kepada pakar perubatan, walaupun berdepan kanser yang kritikal.
Isu-isu sensasi yang terkandung dalam buku itu menjadi topik utama untuk diangkat sebagai bahan publisiti. Tidak lama untuk pihak media mula merujuk isi kandungan buku tersebut dalam artikel-artikel mereka.
New York Post dalam muka depan akhbarnya yang bertarikh 6 Oktober 1987 meletakkan tajuk 'The Man Who Gave US AIDS!' dan mendiang Dugas dipersalahkan atas semuanya. New York Times 'menyalahkan seorang lelaki Kanada kerana menyebarkan AIDS ke Amerika Syarikat'. National Review secara sinis menyifatkan kejayaan Dugas membawa AIDS ke Amerika Syarikat ibarat seperti kejayaan Christopher Colombus mengembara ke empat benua.
Shilts mungkin mendapat habuan lumayan daripada penjualan bukunya, tetapi itu tetap tidak menghalang dia dijangkiti AIDS selepas didapati positif pada tahun 1987. Dia meninggal dunia pada tahun 1994 ketika berusia, menderita sakit yang sama dilalui Dugas iaitu Kaposi's Sarcoma selama 2 tahun.
Persoalan selama ini terungkai
Berkat kemajuan sains dan teknologi, tamadun manusia semakin lama semakin memahami tentang penyakit AIDS, yang dulu dikenali sebagai kanser gay. Didakwa membawa virus HIV ke Amerika Syarikat - hanya pada tahun 2016 nama Dugas berjaya dibersihkan.
Sekumpulan penyelidik dari University of Arizona berjaya mendapatkan sampel virus dari darah 'patient zero' dan mendapati virus yang ada pada Dugas, bukanlah virus terawal didapati ada di Amerika Syarikat. Sebaliknya, 8 orang lelaki lain telahpun dijangkiti HIV lebih awal sekitar bermulanya era 1970-an.
Ini menandakan Dugas bukanlah individu pertama seperti yang dipercayai, sebaliknya mendapat jangkitan daripada orang lain yang tidak dapat dikenalpasti.
Berdasarkan kajian yang dijalankan, virus HIV tiba di Amerika Syarikat khususnya di New York pada tahun 1970 atau 1971, dari kepulauan Caribbean melalui benua Afrika sekitar tahun 1967.
Istilah 'patient zero' yang sinonim dengan Dugas terus kekal digunakan sehingga ke hari ini dalam istilah popular, walaupun hakikatnya Gaetan Dugas bukanlah pesakit pertama yang dicari-cari.
Dan 'patient zero' bukanlah sebutan yang sebenar.
Rujukan
“Patient Zero” : The Absence of a Patient’s View of the Early North American AIDS Epidemic