Kami ada satu soalan.
Bagaimana anda menyebut perkataan singkatan 'unidentified flying objects' atau UFO? Pasti ramai di antara kita menyebut perkata UFO sebagai 'Yu-Ef-Oh' mengikut abjad-abjad yang ada dalam singkatan perkataan tersebut.
Tahukah anda, cara kita menyebut perkataan itu selama ini tidak benar? Bagaimana pula hendak menyebutnya? Sebelum kami jawab soalan itu, mari kita baca dulu sejarah seorang individu yang memperkenalkan terma unidentified flying objects terlebih dahulu.
BESARKAN TEKS A- A+
SEJARAH EDWARD J.RUPPELT
Edward J.Ruppelt adalah nama yang asing bagi kita, tetapi bukan bagi peminat dan pengkaji kajian makhluk ekstraterrestial. Edward adalah penulis kepada buku yang mempunyai pengaruh besar dalam bidang kajian ini The Report on Unidentified Flying Objects.
Edward adalah individu yang memperkenalkan frasa Unidentified Flying Objects yang kerap kita gunakan sekarang, berbanding frasa 'flying saucer' yang digunakan sebelum itu. Lahir pada tahun 1923, Edward seorang juruterbang yang terpuji. Dia mempunyai beberapa pingat anugerah tentera ekoran sumbangannya semasa perang dunia kedua.
Selepas tamat perang, Edward menyambung pendidikannya di kolej dan mendapatkan ijazah dalam bidang kejuruteraan aeronautikal, serta masih kekal menjalani latihan penerbangan dengan tentera udara.
Semasa perang dengan Korea, Edward kembali bertugas namun dia hanya bertugas dalam pengkalan sebagai Air Technical Intelligence Center atau ATIC.
Tugasnya adalah untuk merekodkan kelengkapan udara dan senjata yang digunakan semasa perang oleh musuh dalam laporan ATIC. Dalam laporan yang disiapkan oleh Edward, terdapat beberapa kali perkataan 'objek UFO' dicatatkan, kerana Edward mendapati wujud beberapa objek tidak dikenali dikesan radar.
PROJEK 'BLUE BOOK'
Dengan kemajuan teknologi, radar pengesan pada tahun 1950 mula dapat mengesan beberapa objek aneh di udara dengan lebih baik - membuktikan wujud objek-objek yang tidak diketahui melayang di udara. Beberapa pihak dalam tentera Amerika Syarikat pada ketika itu menafikan kewujudan objek-objek ini dan mengatakan ini semua dongeng yang dicipta, walaupun bukti secara teknikal serta data radar ada.
Bagi menjawab persoalan-persoalan ini dan mendapatkan kesahihan, Edward dipilih sebagai pengarah kepada projek yang dinamakan Project Blue Book, bertujuan untuk menyiasat serta mengetahui dakwaan-dakwaan kewujudan objek-objek aneh ini.
Edward terpilih berikutan kualiti kerjanya yang cemerlang dan dia adalah antara pegawai tinggi yang mempunyai pemikiran terbuka terhadap kemungkinan-kemungkinan ini, ekoran pengalamannya ketika menjadi ATIC.
Diberikan kuasa mengarahkan penyelidikan, Edward hanya membenarkan mereka yang mampu menerima konsep kewujudan UFO ini dengan terbuka. Sekiranya mana-mana pegawai terlibat didapati menidakkan atau menolak dakwaan kemungkinan wujudnya UFO dari awal, mereka tidak akan dibenarkan terlibat dengan projek ini.
Untuk memudahkan komunikasi, antara perkara paling awal yang dilakukan Edward adalah untuk menyelarikan gelaran yang akan digunakan bagi objek-objek tidak dikenali. Edward meminta mereka yang terlibat tidak lagi menggunakan terma 'flying saucer' berikutan kesukaran terma itu untuk menggambarkan objek yang berbentuk selain daripada piring.
PENGENALAN TERMA TENTERA SEBAGAI STANDARD TETAP
Bagi mewujudkan standard tetap, semua objek tidak dikenali yang dikesan di udara akan dipanggil sebagai 'unidentified flying object' atau singkatannya - UFO. Bagaimana hendak menyebut singkatan itu? 'Yoo-foe.'
Dalam ayat Edward sendiri
Obviously the term “flying saucer” is misleading when applied to objects of every conceivable shape and performance. For this reason the military prefers the more general, if less colorful, name: unidentified flying objects. UFO (pronounced Yoo-fo) for short.
Edward menjelaskan, singkatannya patut dipanggil sebagai sebuah akronim. Sama seperti kita menyebut RADAR untuk 'Radio detecting and ranging' atau SCUBA yang membawa maksud 'Self-contained underwater breathing apparatus' - bukan sebagai sebuah singkatan initial seperti JPJ, PDRM, FBI atau KPDNKK.
Namun penjelasan Edward seolah masuk telinga kiri keluar telinga kanan apabila terma UFO mula popular di kalangan orang awam. Berikutan pengumuman kerajaan berkenaan kajian yang sedang dijalankan dan laporan dalam media, orang ramai ketika itu mula menggunakan singkatan 'U-F-O' untuk menggantikan terma 'flying saucer', tanpa mengetahui arahan asal Edward.
Sehingga kinilah, kita masih lagi menggunakan singkatan UFO dalam bentuk yang salah. Rasanya sudah terlalu lambat untuk kita betulkan cara sebutan kita pada hari ini.