Kredit foto: Instagram Stacy
Muzik video Cakap Ke Tangan nyanyian Stacy mendapat perhatian ramai kerana dikatakan setaraf artis antarabangsa.
Malah Stacy dalam kenyataan terbarunya bersetuju dengan pendapat itu, di samping melahirkan rasa puas hati dengan kreativiti pengarah Casper.
"Syukur apabila ramai beri maklum balas positif. Secara peribadi, saya sangat berpuas hati. Tak sia-sia saya menjalani latihan selama sebulan.
"Idea muzik video ini adalah hasil perbincangan bersama saya dan pengarah. Memandangkan saya sudah lama tidak muncul, jadi kami sengaja ketengahkan banyak eleman tarian," katanya menurut laporan portal Harian Metro.
Luah Stacy atau nama penuhnya Ummu Syaikhah Stacy binti Anam, dia terkejut dengan hasil luar biasa muzik video itu walhal penggambarannya hanya dijalankan di sebuah gudang.
Beliau berpendapat kerja kreatif pihak produksi merupakan penyebab utama kenapa video itu nampak mahal.
Kredit foto: Instagram Stacy
"Saya sangat kagum dengan hasilnya. Apabila ada peminat mengatakan ia nampak mahal, saya bersetuju. Sentuhan kreatif Casper, kesan lampu dan suntingan memberikan hasil memukau,” ujarnya.
Untuk info, Casper adalah pemegang trofi kategori Muzik Video Terbaik menerusi lagu Not For Sale (juga nyanyian Stacy) di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2016.
Sehingga kini muzik video Cakap Ke Tangan itu telah meraih lebih 140 ribu tontonan di laman Youtube sejak dimuat naik Jumaat lalu.
Single terbaru ini hasil ciptaan suaminya sendiri, Akim Ahmad bersama Laq.
Sumber berita: Harian Metro