Oleh pada 20 Jan 2018 kategori

Sumber foto: Kosmo Online

Jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee berkata bahawa pemain negara tidak perlu malu setelah tewas 1-2 terhadap Korea Selatan dalam perlawanan aksi suku akhir di Stadium Kunshan, China hari ini.

Meskipun hasrat untuk melakar satu lagi sejarah tidak tercapai, Kim Swee memuji skuad negara kerana telah menunjukkan ketekunan dan semangat tinggi untuk bersaing secara sengit.

Menurutnya lagi, anak buahnya itu diharap mampu mengambil iktibar khususnya kesilapan yang membenarkan finalis 2016 berkenaan mendahului seawal 12 saat dengan tendangan Cho Jae Wan.

"Keseluruhan pemain sudah melakukan yang terbaik tapi Korea Selatan tetap pasukan bagus. Mereka tidak panik bila kita menyamakan kedudukan sebelum menghukum kita di penghujung permainan.

"Gol awal itu berpunca kesilapan pemain yang tidak memberi sepenuh tumpuan. Saya harap pemain dapat belajar daripada kekalahan ini. Secara keseluruhan kita bermain baik berbanding ketika menentang Arab Saudi di mana kita mengawal permainan pada babak pertama.

"Namun, malangnya apabila menyamakan kedudukan, pemain gagal meneruskan penguasaan itu," jelasnya semasa sidang media yang diadakan setelah perlawanan tamat.

Walaupun menerima kejutan gol terpantas kejohanan, skuad negara tidak mengaku kalah setelah menjadikan kedudukan seri dengan tandukan pemain gantian, N Thanabalan pada minit ke-67.

Tetapi, Malaysia yang membuat kemunculan sulung di pusingan akhir terpaksa akur dengan gol kemenangan oleh Han Seung Gyu dari pihak lawan, 5 minit sebelum perlawanan berakhir.

Biarpun berada di peringkat suku akhir adalah satu prestasi yang tidak diduga, Kim Swee menasihatkan anak buahnya agar tidak cepat berpuas hati.

"Ia satu pencapaian baik tapi kita tidak boleh bergembira, apabila kita balik ke Malaysia nanti, kita kena lihat semula semua perlawanan yang diharungi di sini. Kita kena lebih konsisten.

"Bagaimanapun, saya percaya dengan kemampuan pemain sekarang. Mereka semakin yakin dan dalam aksi tadi mereka seperti lupa bermain dengan Korea Selatan, sebaliknya seperti beraksi menentang pasukan dari negara Asia Tenggara saja," tegasnya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)