Bahasa Inggeris sememangnya penting di zaman tanpa sempadan. Bukan mahu mengangkat bahasa asing, namun kita tak dapat menafikan manfaat yang diperoleh daripada penguasaan Bahasa Inggeris yang baik.
Kredit gambar: Engrish Funny
Namun, ada segelintir pihak yang seolah-olah menafikan kebenaran ini, dengan memberi komen seperti, "Korea Selatan dan Jepun boleh maju, walaupun tak guna Bahasa Inggeris. Kenapa kita Malaysia nak mengangkat bahasa asing? Guna sahaja Bahasa Kebangsaan,".
BESARKAN TEKS A- A+
Sejauh mana kebenaran pendapat ini? Adakah ia berasas, atau hanya menggunakan emosi semata-mata?
Perlu diketahui, antara salah satu faktor yang menyumbang kepada pengangguran yang berleluasa ketika adalah penguasaan Bahasa Inggeris oleh graduan yang lemah. Malah, ada yang langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa ini.
Di saat dunia semakin berkembang dan Bahasa Inggeris menjadi medium utama perantaraan, masih ramai yang tidak mengendahkannya. Kita sepatutnya berusaha mengikut arus semasa, bukan hanya berpegang kepada prinsip. Jika ia membawa kepada kebaikan, tak salah untuk berubah.
Perkara ini perlu diterapkan sejak kecil lagi, terutamanya di sekolah. Sejauh mana penguasaan di tahap sekolah? Jom kita lihat video ini:
Menurut pendapat anda, apakah yang membuatkan kita malas, atau segan untuk mempelajari dan menggunakan Bahasa Inggeris? Adakah disebabkan tidak pandai? Itu boleh dipelajari. Adakah sebab malas? Itu boleh dipupuk? Adakah sebab sikap bencikan bahasa asing? Barangkali tidak. Adakah disebabkan pengaruh persekitaran? Mungkin juga.
Jadi benarkah Jepun dan Korea mampu maju tanpa Bahasa Inggeris. Sebagai contoh, jom kita lihat dari segi industri automotif.
Penulis tertarik dengan perkongsian oleh saudara Hans dalam artikelnya mengenai pengalamannya menghadiri Beijing International Auto Show, dua kali berturut-turut. Ikuti kisahnya:
Terdengar anak-anak muda China berbual dengan rakan sekerja dalam bahasa Jerman ketika singgah di kawasan pameran BMW. Dan ketika melawat kawasan Peugeot, terdengar pertuturan dalam bahasa Perancis. Bahasa Jepun pula boleh didengari ketika melalui kawasan pameran Toyota. Dan terdapat ramai staf antarabangsa dari Jerman, Jepun dan Perancis yang boleh bertutur dalam Bahasa Cina.
Dari sini boleh disimpulkan bahawa bagi graduan dari China, kemahiran tambahan seperti penguasaan bahasa asing boleh membawa mereka setapak ke hadapan dan lebih banyak peluang akan terbuka. Ini adalah kerana persaingan yang terlalu sengit di China, yang mana graduan di Malaysia tak akan pernah faham.
Bayangkan apa yang mereka perlu lakukan untuk kelihatan menyerlah, di dalam negara yang mempunyai hampir 1.4 billion penduduk hampir 50 kali ganda penduduk Malaysia. Kita tidak lagi berada di tahun 1950 dan British bukanlah lagi satu empayar. Ini tahun 2017, di mana ekonomi sedang pesat membangun. Jadi, anda perlu buka minda anda, bahawa bahasa Inggeris bukan lagi satu kelebihan, tetapi hanya satu kebolehan asas.
Dianggarkan 1.8 billion manusia mampu berbahasa Inggeris, dan ramai lagi yang berkemahiran dalam bahasa asing seperti bahasa Jepun, Cina, Jerman, Perancis, Korea dan sebagainya yang selain dari bahasa Inggeris.
Lebih mengecewakan, terdapat pendapat adalah tidak realistik bagi pelajar tempatan untuk menguasai lebih daripada satu bahasa. Ini membuatkan mereka beranggapan bahasa kebangasaan perlu didahulukan. Pendapat seperti ini sebenarnya melengahkan masa, yang mana tidak sedar bahawa kualiti yang ada pada graduan kita semakin merosot dan berada di tahap kritikal.
Korea dan Jepun tak perlukan Bahasa Inggeris untuk maju
Ya, Korea Selatan dan Jepun mampu menjadi negara maju, walaupun tidak menguasai Bahasa Inggeris. Tapi itu ketika zaman dahulu kala dimana dunia dan ekonomi global pesat seperti sekarang. Jika dibincangkan mengenai sikap orang tempatan dengan rakyat Jepun atau Korea, sangatlah berbeza.
Pada tahun 2014, bekas Menteri Keadilan Jepun, Midori Matsushima, meletakkan jawatan dan meminta maaf sambil menundukkan kepala ketika sidang media, kerana didakwa pihak pembangkang melanggar undang-undang pilihan raya dan penggunaan dana politik.
Kesalahannya? Beliau dituduh membeli hati pengundi, dengan memberikan kipas tangan bernilai RM3.00 secara percuma ketika kempen pilihan raya. Hanya dituduh, dan belum lagi didapati bersalah sudah meletakkan jawatan, hanya kerana malu. Rakyat Jepun tersangat sensitif dengan rasa malu. Kita pula? Fikirkan sendiri.
Begitu juga dengan budaya Korea. Rasa bertanggungjawab yang melampau memupuk jati diri mereka. Tragedi feri MV Sewol karam pada tahun 2014 yang mengorbankan 295 nyawa, yang kebanyakannya pelajar Danwon High School. 9 hari kemudian, Perdana Menteri Korea Selatan, Jung Hong Won telah meletakkan jawatan kerana insiden itu. Penolong pengetua sekolah itu pula, Kang Min-kyu yang diselamatkan dalam tragedi itu, membunuh diri beberapa hari kemudian.
Jadi, daripada kisah ini, adakah kita masih boleh katakan, "Jepun dan Korea tak guna bahasa Inggeris pun boleh berjaya"?. Kita langsung tak boleh nak samakan diri kita dengan orang Jepun dan Korea. Terlalu jauh beza kita dan mereka.
Seperti satu pepatah yang diberikan, "Jepun kalau bisu pun boleh berjaya". Begitu juga dengan Korea.
Menurut saudara Hans lagi, yang berpengalaman dalam bidang otomotif, beliau sangat tak faham dari mana datangnya pendapat industri automotif Jepun maju, tanpa Bahasa Inggeris. Sehingga kini beliau belum pernah mengenali seorang pun tokoh automotif Jepun yang tak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Ketika saudara Hans menemuramah ketua jurutera termuda di Honda, Ryo Mukumoto, ada bantuan daripada penterjemah. Namun ketika berborak dengan Ryo kemudiannya, langsung tak ada masalah dalam berbahasa Inggeris. Mereka menggunakan khidmat penterjemah bukan kerana tak tahu Bahasa Inggeris tetapi kerana kurang yakin di khalayak ramai, dan risaukan menyinggung perasaan tetamu jika tersalah kata.
Mungkin operator kilang, atau pegawai bawahan kurang dalam berbahasa Inggeris, namun jika mahu naik pangkat, Bahasa Inggeris wajib bagi mereka.
Malah, Bahasa Inggeris akan dijadikan bahasa rasmi di Honda menjelang tahun 2020. Staf-staf di Jepun digalakkan menghadiri kelas bahasa Inggeris, kerena Honda kini sudah ke tahap di mana mereka bukan lagi sebuah syarikat Jepun.
Bahasa Inggeris penting bagi Jepun
Cara dan budaya bekerja yang "terlalu Jepun" sudah tidak relevan. Malah, ketua prokej kereta paling handal Honda- NSX, bukanlah warga Jepun, tetapi warga Amerika syarkat, yang hanya boleh berbahasa Inggeris. Beliau adalah ketua projek pertama di Honda dari bangsa asing.
Kini kerja-kerja R&D Honda, seperti syarikat automotif yang lain, dijalankan di luar Jepun seperti Amerika Syarikat, China, Thailand, Indonesia, UK, India, Jerman dan juga Brazil. Jadi jika mereka tak boleh berbahasa Inggeris, ini akan membantutkan proses.
Bukan bagi Honda sahaja, malah begitu juga dengan Nissan dan Renault. Seperti yang dikatakan oleh CEO Renault-Nissan Alliance, Carlos Ghosn yang berbunyi:
"Saya tak ada kecenderungan budaya untuk memihak atau menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi kami memilih Bahasa Inggeris kerana kami mengaku apabila orang Cina duduk bersama orang Jerman, Perancis, Amerika dan Jepun, hampir tiada kemungkinan untuk mereka bertutur dalam bahasa Perancis atau bahasa Cina. Mereka akan hanya menggunakan bahasa Inggeris," - Carlos Ghosn
Malah, antara salah satu faktor Nissan berjaya di bumi Amerika Syarikat, adalah disebabkan penguasaan bahasa Inggeris fasih oleh pengasas Nissan USA, Yutaka Katayama. Di Amerika Syarikat, beliau digelar "Father of the Z" atau "Mr.K", kerana jasa beliau menaikkan nama kereta sport pertama Nissan di pasaran eksport, iaitu 240Z.
Sebelum ini, kereta sport tersebut diberi nama Datsun Fairlady, dan kerana fasih dengan bahasa Inggeris dan budaya di Amerika, Yutaka bertengkar dengan ibu pejabat Nissan di Jepun kerana ingin menukarkan namanya. Beliau tahu nama Fairlady akan dijadikan bahan jenaka di Amerika Syarikat, yang menukarkannya kepada Datsun 240Z.
Bagi Presiden Toyota pula, Akio Toyoda, beliau fasih berbahasa Inggeris. Beliau bertutur dalam bahasa Jepun dengan media Jepun, dan berbahasa Inggeris di luar Jepun. Toyota merupakan syarikat ke-5 dengan perolehan tahunan paling tinggi di dunia iaitu sebanyak RMRM1.112 trilion. Lihat video Akio Toyoda memberi ucapan.
Itu cerita Jepun. Bagaimana pula dengan Korea Selatan? Ini akan menyangkal pendapat anda bahawa industri automotif Korea Selatan maju tanpa perlu Bahasa Inggeris. Pengasas Hyundai, Chung Ju Yung, sangat mementingkan Bahasa Inggeris.
Menurut sumber dari Made in Korea: Chung Ju Yung and the Rise of Hyundai Hyundai bermula sebagai sebuah syarikat pembinaan. Mereka mendapat kontrak membina kem tentera darat Amerikat Syarikat di Busan. Kontrak tersebut ditawarkan kepada Hyundai kerana Hyundai adalah satu-satunya syarikat tempatan yang mampu berkomunikasi dengan tentera Amerika Syarikat.
Ia merupakan usaha adik kepada pengasas Hyundai, iaitu Chung In Yung fasih dalam berbahasa Inggeris, yang bekerja sebagai penterjemah kepada Hank MacAlister, tentera Amerika Syarikat.
Seterusnya Hyundai meluaskan projek pembinaan ke luar negara seperti negara Arab dan Thailand. Projek ini dijalankan oleh In Yung yang fasih berbahasa Inggeris. Penguasaan Bahasa Inggeris In Yung merupakan faktor terkuat kejayaan Hyundai di luar bumi Korea Selatan.
Dan apabila Hyundai mula menceburi dalam industri automotif, mereka mula mengeskport kereta ke Amerika Syarikat dan menjadi syarikat pembuat kereta Korea pertama bertapak di Amerika Syarikat.
Penubuhan Hyundai Motor America digalas oleh seorang lagi adik Ju Yung, iaitu Chung Se Yung. Se Yung yakin untuk menggalas tanggungjawab itu di Amerika Syarikat, kerana beliau juga tahu dan fasih berbahasa Inggeris. Hyundai juga merupakan syarikat Korea pertama yang mewajibkan kelulusan Bahasa Inggeris dalam peperiksaan temuduga.
Chung Ju Yung kemudiannya menjadi antara orang terkaya di Korea Selatan, namun masih ke pejabat beliau dengan berjalan kaki sejauh 4 kilometer, bersama anak-anaknya yang juga merupakan pekerja di Hyundai.
Kredit gambar : Carlist.my
Dan bagi syarikat Kia pula, daripada hanya menjadi jaguh kampung di Korea, kini menjadi syarikat global. Ia adalah merupakan usaha seorang warga Jerman, Peter Schreyer. Dan bahasa apa yang beliau gunakan? Bahasa Inggeris.
Memang benar dahulunya Jepun dan Korea tidak menggunakan Bahasa Inggeris dan mampu menjadi antara kuasa-kuasa besar dunia dalam industri automotif. Itu adalah disebabkan ketekunan, kegigihan dan budaya mereka yang terlalu sukar untuk kita contohi.
Dan ketika waktunya telah sampai untuk mereka menggunakan Bahasa Inggeris bagi mengembangkan syarikat mereka ke peringkat global, mereka tidak berkata "Kami tidak perlu bahasa Inggeris untuk maju" atau "Kami pentingkan bahasa Ibunda lebih daripada bahasa asing", sebaliknya mempelajari dan menggunakannya serta-merta.
Jadi diharapkan supaya mereka yang mempunyai mentaliti bahawa Bahasa Inggeris itu tidak penting, dan anda boleh berjaya tanpanya, supaya segera membuka minda dengan lebih luas, agar kita sama-sama maju.
Rujukan : Carlist