Dalam dunia haiwan, mekanisma untuk mempertahankan diri adalah tersangat penting bagi memastikan sesuatu spesis itu terus hidup dan wujud.
Tanpanya, sesuatu spesis haiwan itu akan kelihatan lemah dan lebih mudah untuk menjadi mangsa haiwan lain.
Namun, terdapat sejenis serangga yang bukan sahaja mampu menakutkan haiwan pemangsa, tetapi juga menyeramkan bagi manusia.
BESARKAN TEKS A- A+
Serangga yang mempunyai mekanisme pertahanan yang sangat pelik dan unik ini adalah larva kepada kupu-kupu "pink underwing".
Apa itu kupu-kupu "pink underwing"
Spesimen luar biasa ini merupakan serangga yang sangat jarang ditemui dan terancam yang hidup di kawasan subtropika New South Wales sehingga ke Queensland di Australia dan New Guinea.
Pemakanan biasa bagi serangga ini adalah buah-buahan yang busuk.
Walaupun ia merupakan serangga yang aktif pada waktu malam, kupu-kupu ini tidak begitu tertarik dengan cahaya.
Nama serangga ini diinspirasikan daripada warna merah jambu terang yang tersembunyi di bahagian bawah sayap belakangnya.
Para pakar mempercayai bahawa kelebihan warna terang ini bertindak sebagai mekanisme pertahanan.
Teorinya adalah bahawa paparan warna ini dapat mengejutkan pemangsa dalam tempoh yang cukup bagi kupu-kupu ini melarikan diri.
Walaupun begitu, strategi pertahanan diri oleh kupu-kupu ini tidak dapat dibandingkan dengan apa yang digunakan ketika ia masih dalam bentuk larva atau ulat beluncas.
Selepas menetas, larva ini memiliki warna coklat cair yang mana membantu ia lebih "menyatu" dengan persekitaran bagi mengelakkan dikesan oleh pemangsa.
Apabila ia semakin membesar, 2 bintik gelap yang besar terbentuk dan dikelilingi oleh garis kuning yang terang.
Corak ini mungkin kelihatan seperti tiada apa-apa makna, namun ia merupakan teknik pertahanan yang tersangat berkesan.
Apabila berasa terganggu atau terancam, ulat beluncas ini akan melengkungkan bahagian belakangnya yang membuatkan corak-corak pada badannya kelihatan seperti sepasang mata besar dan 2 baris gigi yang sangat menakutkan seperti yang kita lihat dalam filem seram.
Ilusi ini kelihatan menyerupai topeng kerangka yang mampu menakutkan pemangsa.
Dan apa yang menarik dan pelik adalah corak ini terletak di bahagian belakang ulat ini dan jika tidak ditunjukkan, ia hanya akan tersembunyi pada bahagian perut ulat ini.
Malah, satu-satunya topeng menakutkan ini dapat dilihat adalah ketika ia meregangkan kulitnya.
Ulat ini juga dipanggil sebagai "Ulat beluncas berkepala besar", yang merujuk kepada kepala palsu besar yang muncul ketika ia melakukan postur pertahanannya itu.
Ilusi ini membantu melindungi ulat beluncas yang lemah ini dengan membuatkan ia kelihatan seperti memberi ancaman dan bukannya mangsa.