Kredit foto: Malay Mail Online

Bekas pemain dram Search, Yazit Ahmad memaklumkan kehidupannya kini umpama 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

“Sejak saya sakit, saya tidak ada pendapatan tetap. Cuma sejak akhir-akhir inilah baru saya rasa kuat untuk bergerak sikit. Dengan kekuatan itulah saya mencari rezeki.

"Antaranya sekarang saya berniaga secara online. Ada jual barang-barangan kraftangan dan makanan. Bolehlah untuk cari rezeki sikit-sikit," katanya memetik portal Sinar Online.

Malah dia menyedari tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pertolongan pihak lain. 

Ekoran itu, beliau lebih selesa untuk tidak meminta walaupun tetap terbuka untuk mengambil sekiranya ada yang sudi memberi bantuan secara ikhlas.

"Orang dah tak boleh selalu tolong kita. Kena buat sendiri, kerja sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Yazid yang berusia 55 tahun ini memberitahu dia masih menjalani rawatan sakit buah pinggang selain mempunyai penyakit asma.

“Ya, saya masih teruskan rawatan dialisis dan tiga bulan sekali jumpa doktor. Dah jadi rutin harian hidup.

"Jadi kos untuk rawatan dan ubat-ubatan saya perlukan lebih kurang RM3000 sebulan. Saya juga ada dapat bantuan dari Baitulmal iaitu sebanyak RM250 sebulan,” jelasnya.

Yazit yang mengusahakan perniagaan online, turut mengharapkan keuntungan daripada jualan album Rampage Rempuh yang sudah mula dijual menerusi Facebook miliknya.

Rampage dianggotai dirinya selaku pemain dram, Moq (penyanyi), Zham (bass), Jemboo (gitar) dan Rithan (gitar) .

Dalam perkembangan lain, Yazit turut terlibat dalam perhimpunan Festival MyAqsa yang berlangsung dari 26 hingga 28 Januari ini.

Festival itu menyatukan lebih 100 ulama dari seluruh dunia bagi membincangkan isu Baitulmaqdis dan Palestin.

"Saya seru semua artis untuk turut serta dalam program ini. Ini adalah perjuangan kita sebagai umat Islam.

"Saya terlibat dalam program ini pun tidak ada bayaran, ikhlas untuk agama. Masanya sudah sampai," katanya lagi.

Sumber berita: Sinar Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)