Kredit foto: Astro Gempak

Pelawak Tauke Jambu, 41, mengakui tidak menyangka akan bernikah pada bulan yang sama dengan rakan seperjuangannya, Abam Bocey .

Namun katanya, dia bakal berkahwin dengan tunang, Nadia Mohd Affendi pada 9 Disember ini iaitu sehari selepas majlis Abam berlangsung.

Majlis pernikahan yang bakal diadakan di Ambersador Hall, Putrajaya pada sebelah pagi itu akan disusuli dengan acara bersanding di sebelah petang.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun di alam pertunangan saya dan Nadia ambil keputusan untuk mengakhiri ikatan tersebut hujung tahun ini.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan saya harap terus doakan semuanya berjalan lancar sehingga majlis selesai nanti.

“Kepada Abam, selamat pengantin baru juga,” katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Sementara itu, kongsi bintang kelahiran program realiti Raja Lawak ini, majlis pernikahan akan diadakan secara tertutup, serta dihadiri anggota keluarga terdekat sahaja.

Tambahnya, sehingga kini sudah 90% persiapan disempurnakan, di samping bersyukur majlis itu turut menerima tajaan.

“Rezeki orang nak kahwin...Terima kasih kepada penaja lokasi majlis resepsi dan perancang perkahwinan Afeer Kuala Lumpur kerana sudi menaja kami,” ucapnya.

Terdahulu, Tauke dan Nadia melangsungkan pertunangan di kediaman wanita itu di Terengganu pada 5 Disember 2015.

Pelawak ini pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali dan sehingga kini memperoleh enam orang cahaya mata.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)