Oleh pada 18 Apr 2022 kategori

Dalam dunia lakonan, paras rupa bukanlah perkara utama untuk menjadikan seseorang itu sebagai pelakon yang hebat. Mereka perlu mengasah bakat lakonan supaya dapat menjiwai dan membawa watak dengan baik.

Para pelakon yang hebat biasanya akan membuat penyelidikan terlebih dahulu tentang watak dan filem yang akan mereka bawakan. Mereka perlu mempelajari cara bercakap, berjalan atau berkelakuan seperti yang dituntut oleh pengarah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, terdapat satu kaedah yang dipanggil sebagai Method Acting yang digunakan oleh pelakon untuk menjiwai watak mereka. Segelintir pelakon bahkan sanggup untuk melakukan perkara di luar dugaan demi menjayakan watak lakonan mereka. Berikut adalah beberapa pelakon yang menggunakan kaedah gila untuk watak mereka.

1. Jared Leto

jared leto 487

Jared Leto adalah seorang pelakon yang terkenal dengan kaedah lakonannya yang gila. Ketika penggambaran filem Morbius (2022), Jared Leto berpura-pura tidak boleh berjalan seperti wataknya di dalam filem. Dia juga menggunakan topang (tongkat) untuk berjalan walaupun tidak menjalani penggambaran.

Pihak produksi terpaksa menyediakan kerusi roda untuknya kerana Leto akan mengambil masa yang lama untuk ke tandas dengan menggunakan topang. 

Dalam filem Suicide Squad (2016) pula, Jared Leto yang melakonkan watak Joker hanya akan memberikan respon jika dipanggil dengan nama 'Mistah J' sahaja. Bahkan, dia turut menghadiahkan rakan-rakan pelakon lain dengan bangkai haiwan.

Menurut Leto, watak Joker adalah seorang yang tidak menghormati orang lain dan dia perlu menjiwai watak itu dengan sebaik mungkin.

2. Jamie Foxx

jamie foxx

Dalam filem Ray (2004), Jamie Foxx membawa watak sebagai Ray Charles iaitu seorang pemuzik legenda yang buta. Demi menjiwai wataknya, Foxx memakai kelopak mata palsu supaya matanya terpejam selama 14 jam sehari ketika penggambaran dilakukan.

Jamie Foxx turut mengalami serangan panik selama dua minggu pertama penggambaran sebelum dia terbiasa dengan keadaan menjadi buta itu.

Foxx turut berkongsi bahawa dia pernah ditinggalkan oleh krew penggambaran di tempat makan kerana mereka terlupa bahawa dia tidak boleh melihat sama sekali.

3. Ashton Kutcher

ashton kutcher

Dalam filem drama biografi Jobs (2013), pelakon Ashton Kutcher telah diberi kepercayaan untuk membawakan watak mendiang pengasas Apple iaitu Steve Jobs.

Steve Jobs terkenal sebagai seorang "fruitarian" yang hidup dengan diet buah-buahan. Demi menjiwai watak Steve Jobs, Kutcher turut menjadi "fruitarian". Namun, diet itu menyebabkan dia dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali.

Menurut isterinya Mila Kunis, ada suatu masa di mana Kutcher hanya memakan anggur sahaja sebagai dietnya. Dia akhirnya dimasukkan ke hospital kerana menghidapi pankreatitis atau keradangan pankreas.

4. Leonardo DiCaprio

the revenant

Ketika penggambaran filem The Revenant (2015), pelakon Leonardo DiCaprio melakonkan watak seorang pemburu pada kurun ke-19. Demi menjiwai wataknya itu, DiCaprio tidur di dalam bangkai haiwan dan sering kesejukan sehingga hampir diserang hipotermia.

Leonardo DiCaprio adalah seorang vegetarian yang mengamalkan diet sayuran yang ketat dalam kehidupan sebenar. Namun, dia sanggup memakan daging lembu mentah supaya dapat membawakan watak Hugh Glass dengan sebaik mungkin.

5. Tom Hanks

cast away

Dalam filem Cast Away (2000), Tom Hanks melakonkan watak seorang lelaki yang terkandas di sebuah pulau dan terpaksa berusaha untuk meneruskan hidup sebelum diselamatkan.

Demi mempersiapkan dirinya untuk watak itu, Hanks menurutkan berat badannya secara mendadak sebanyak 25kg. Malah, dia turut tidak mahu mandi sepanjang penggambaran dilakukan.

Malah, penggambaran filem itu terpaksa ditangguhkan selama tiga minggu kerana Hanks dimasukkan ke hospital akibat jangkitan pada luka di kakinya. Jangkitan itu menjadi bertambah buruk kerana keadaan Hanks yang kotor akibat tidak mandi.

6. Shia LaBeouf

shia labeouf fury

Dalam filem perang Fury (2014) yang berlatarbelakangkan Perang Dunia Kedua, Shia LaBeouf dilaporkan melakukan perkara ekstrem untuk menjiwai wataknya. 

Sepanjang penggambaran, LaBeouf tidak mahu mandi kerana ingin menyelami keadaan sebenar tentera yang berperang ketika itu. Dia turut melukakan mukanya sendiri menggunakan pisau dan sentiasa memastikan luka itu tidak sembuh sepanjang penggambaran.

Lebih teruk lagi, dia turut mencabut sebatang giginya sendiri. Method acting yang digunakan oleh LaBeouf agak keterlaluan sehingga pelakon Brad Pitt yang turut membintangi filem itu terpaksa menasihatinya.

7. Robert De Niro

robert de niro cape fear

Dalam filem thriller Cape Fear (1991), pelakon Robert De Niro membawakan watak seorang psiko bernama Max Cady. Dia didakwa telah membayar seorang doktor gigi sebanyak USD 5,000 untuk merosakkan dan menajamkan giginya bagi watak itu.

Setelah selesai penggambaran Cape Fear, De Niro didakwa berbelanja sebanyak USD 20,000 untuk membaik pulih semula giginya sepenuhnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)