Bayangkan satu senario di mana anda mempunyai kerja tetap, namun pada malam hari dan hujung minggu anda meluangkan masa melakukan projek sampingan. Projek tersebut adalah sesuatu yang anda sangat minat dan tidak kisah untuk kerahkan usaha dan tenaga terhadapnya.
Sekarang, bayangkan anda melawati diri anda 5 tahun di masa hadpaan, dan melihat bahawa projek sampingan ini telah berubah menjadi salah sebuah teknologi komunikasi terbesar sejak 100 tahun lalu. Jadi, inilah kisah Twitter!
BESARKAN TEKS A- A+
Sejarah Awal Penciptaan Twitter
Twitter hanyalah sebuah idea yang mana pengasasnya, Jack Dorsey fikirkan pada tahun 2006. Jack pada asalnya membayangkan Twitter sebagai sebuah platform komunikasi yang berasaskan SMS. Sekumpulan rakan boleh mengetahui tentang apa yang rakanya yang lain sedang lakukan berdasarkan muat naik status mereka. Seperti menghantar mesej, tetapi tidak.
Ketika dalam sebuah sesi brainstorming di syarikat podcasting Odeo, Jack mencadangkan platform berasaskan SMS ini kepada pengasas bersama Odeo, iaitu Evan Williams. Evan, bersama seorang lagi pengasas Odeo, Biz Stone, memberi kelulusan kepada Jack untuk meluangkan lebih masa dengan projek tersebut dan seterusnya membangunkannya.
Ketika permulaanya, Twitter dirujuk sebagai twttr. Pada masa itu, satu trend popular, kadangkala untuk mendapatkan kelebihan nama domain, adalah dengan mengabaikan huruf vokal di dalam nama syarikat dan perkhidmatannya. Seorang pemaju perisian bernama Noah Glass diberikan kredit atas nama twttr, dan juga nama rasmi platform Twitter.
Tweet Pertama Dan Cabaran Awal Twitter
Jack menghantar mesej pertama di Twitter pada 21 Mac 2006, pada pukul 9.50 malam. Beliau menyebut, "baru sahaja menyiapkan twttr saya". Ketika Twitter sedang dibangunkan, ahli kumpulan mereka kerap kali dikenakan ratusan dollar untuk caj SMS ke bil telefon mereka.
Ketika konsep awal Twitter sedang dalam percubaan di Odeo, syarikat tersebut terpaksa melalui cabaran yang sangat getir. Pada waktu itu, Apple telah melancarkan platform podcasting mereka sendiri, yang secara tidak langsung 'membunuh' model perniagaan Odeo. Pengasas Odeo pada waktu itu membuat keputusan untuk membeli semula syarikat mereka daripada para pelabur.
Jack Dorsey, Biz Stone, Evan Williams dan lain-lain pekerja Odeo membantu pembelian semula syarikat berkenaan. Dengan cara ini, mereka mendapat semula hak penuh untuk platform Twitter. Terdapat beberapa kontroversi tentang hal berkaitan pembelian semula Odeo dan hak cipta Twitter. Tidak diketahui sama ada pelabur-pelabur Odeo mengetahui tentang skop penuh Twitter yang sebenar.
Yang mengejutkan, beberapa orang ahli awal yang memainkan peranan penting dalam membangunkan Twitter tidak dibawa bersama menyertai syarikat yang dibeli semula itu, dan salah seorangnya termasuklah Noah Glass. Sebagai formaliti, Obvious Corporation telah dibentuk selepas pembelian semula Odeo daripada para pelabur bagi melindungi kepentingan Twitter.
Twitter Mencapai Pertumbuhan Yang Pesat
Tidak lama selepas itu, Twitter mula bertumbuh dengan pantas. Persidangan interaktif South By Southwest (SXSW) pada tahun 2007 telah memperlihatkan peningkatan penggunaan Twitter secara drastik. Lebih daripada 60,000 tweet telah dihantar setiap hari di acara tersebut.
Pasukan Twitter mempunyai kehadiran yang ramai di acara tersebut, dan mereka mengambil peluang keemasan untuk menviralkan Twitter dalam kalangan pengunjung di persidangan berkenaan.
Perjalanan Twitter tidaklah mudah dan lancar seperti yang kita bayangkan, mereka terpaksa melalui banyak cabaran untuk sampai ke tahap hari ini. Hari demi hari sejak persidangan tersebut, pangkalan data Twitter semakin berkembang dan kerap kali juga perkhidmatan platform tersebut akan mengalami kapasiti berlebihan, dan tergendala.
Apabila server tergendala, sebuah ilustrasi oleh artis Yiying Lu akan muncul pada skrin. Ilustrasi ini memaparkan seekor ikan paus diangkat keluar dari air oleh 8 ekor burung.
Pasukan Twitter menggunakan imej ini kerana mereka rasakan ianya memberi isyarat kepada pengguna bahawa mereka mengetahui tentang masalah tersebut dan sedang dalam usaha untuk menyelesaikannya. Imej error tersebut kemudiannya menjadi viral dalam komuniti Twitter dan kemudiannya digelar sebagai 'Fail Whale'.
Berapa Had Karakter di Twitter? 140 atau 280?
Sebab utama mengapa Twitter mengenakan had karakter untuk setiap tweet adalah kerana platform ini pada awalnya dihasilkan sebagai platform yang berasaskan SMS. Ketika itu, 140 karakter adalah had yang dikenakan oleh pembekal line telefon dengan standard protokol SMS, dan Twitter menggunakan kekangan yang sama buat penggunanya.
Dan pada ketika Twitter mula berkembang menjadi sebuah sesawang platform yang lebih inklusif, had 140 karakter itu kekal sebagai modal penjenamaan. Walaubagaimanapun, pada tahun 2017, Twitter membuat keputusan bahawa had 140 karakter tidak lagi relevan, dan menaikkan had tersebut kepada 280 karakter.
Menurut Twitter, kebanyakan tweet ditaip sekitar 50 karakter sahaja, dan apabila pengguna inginkan karakter yang lebih, mereka sekadar menghantar lebih banyak tweet. Kenaikan jumlah karakter adalah bertujuan untuk membantu penggunanya untuk meluangkan masa yang sedikit sahaja untuk meringkaskan buah fikiran mereka, dan lebih masa meluahkannya.
Inovasi Pengguna Terhadap Twitter
Ketika pengguna Twitter mula bertambah, sesuatu yang kelakar berlaku. Para pengguna telah menghasilkan istilah-istilah baru dan cara berbeza untuk menggunakan perkhidmatan tersebut. Ianya adalah inovasi yang terhasil daripada pengalaman keperluan pengguna.
Pada awalnya, para pengguna tidak mempunyai cara untuk membalas tweet secara terus antara satu sama lain. Sesetengah pengguna menggunakan simbol @ sebelum username bagi mengenalpasti pengguna lain dalam satu-satu tweet.
Cara ini kemudiannya menjadi cara yang lazim untuk seseorang pengguna mengakui atau mengiktiraf pengguna lain. Pasukan Twitter menyedari tindakan tersebut, dan mereka menambah fungsi simbol tersebut ke platform mereka. Begitu juga dengan penggunaan hashtags (#), yang kini menjadi sebahagian daripada ekosistem Twitter.
Fungsi ini juga menjadi sumber inspirasi kepada penghasilan fungsi retweet (RT). Pengguna mahukan suatu cara untuk berkongsi semula mesej daripada seseorang pengguna Twitter, dan dalam masa yang sama memberikan kredit kepada individu terbabit.
Para pengguna mula menambah perkataan RT sebelum menghantar mesej, memberi isyarat kepada pengikut mereka bahawa tweet yang berikutnya menjadi rujukan. Pada Ogos 2010, fungsi ini secara rasminya ditambah ke Twitter.
Kesimpulan
Twitter yang kita lihat hari ini amat berbeza berbanding pada awalnya. Twitter berkembang daripada sebuah idea seorang yang bercita-cita tinggi, menjadi sebuah platform komunikasi yang digunakan oleh kebanyakan daripada kita. Ianya menjadi sebuah alat komunikasi penting dalam dunia hari ini.
Kisah penciptaan laman Twitter ini mengajar kita untuk sentiasa mengejar cita-cita kita, walaupun mungkin dilihat sukar pada awalnya. Ada usaha pasti berjaya.
Rujukan & Bacaan Tambahan: