Jika ketika ini Malaysia mempunyai banyak taman rekreasi dan taman tema di serata Malaysia, namun satu ketika dahulu Mimaland adalah yang paling popular di negara kita.
Taman tema Mimaland ini terletak di Gombak, Selangor dan dibuka buat pertama kalinya kepada orang awam pada tahun 1975.
Malangnya taman tema ini telah ditutup selepas 19 tahun beroperasi disebabkan oleh kejadian tanah runtuh yang membahayakan pengunjung.
BESARKAN TEKS A- A+
Pasti ramai yang tidak mengetahui tentang taman tema ini terutamanya mereka yang tinggal di luar Lembah Kelang, dan bagi generasi kini sudah tentu tidak berpeluang untuk mengunjungi taman menaraik ini.
iluminasi.com kongsikan serba sedikit mengenai sejarah Mimaland.
Sejarah pembinaan dan pembukaan Mimaland
Kredit gambar: Realiti Abadi
Mula dibina menjelang tahun 1971, nama taman tema ini adalah singkatan kepada "Malaysia In Miniature Land". Ia dibina di atas sebuah tanah berkeluasan 300 ekar yang berbukit di Ulu Gombak, kurang 30 kilometer dari Kuala Lumpur.
Mimaland dibina secara berfasa, oleh itu ia juga dibuka secara berperingkat. Sebanyak 24 buah motel dan 5 buah chalet dilengkapi dengan kolam renang siap dalam fasa pertama.
Pada peringkat awal, tarikan utama Mimaland adalah taman haiwan prasejarah. Terdapat pelbagai binaan dan patung-patung dinosaur yang sangat besar dari segi saiz yang mana telah menjadi tumpuan orang ramai.
(Kredit gambar: Fazemy)
(Kredit gambar: Pau Kacang)
Ia mendapat perhatian sehinggakan digunakan sebagai lokasi penggabaran beberapa buah filem tempatan termasuklah Filem Mekanik (1983), Gila-Gila Remaja (1986), Tempo 88 (1987), Dendang Perantau (1979) dan Suara Kekasih (1983).
Antara dialog popular yang menyebut nama Mimaland adalah dalam satu babak Gila-Gila Remaja di mana pelakon Faizal Hussein berkata, "Esok jangan lupa, Mimaland!".
Harga yang dikenakan untuk memasuki Mimaland adalah RM2 bagi dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak.
(Kredit gambar : Malaya Tickets)
Selepas 9 tahun beroperasi, Mimaland telah membuka satu kolam renang baru untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Mimaland. Kolam renang tersebut dikatakan yang terbesar di Asia Tenggara pada ketika itu.
Bukan itu sahaja, ia juga menawarkan papan luncur air gergasi membuatkan tarikan baru ini menjadi kegemaran para pengunjung. Lokasi ini digunakan sebagai latar belakang adegan dalam filem Tempo '88.
(Kredit gambar: FMT)
(Kredit gambar: Realiti Abadi)
(Kredit gambar: Media Popular)
Antara bahagian-bahagian lain di Mimaland termasuklah sebuah tasik yang menawarkan aktiviti bersampan dan memancing, "giant maze" dan juga merentas rimba.
Tragedi maut di Mimaland
Pada Januari 1993, satu kejadian tidak diingini telah berlaku yang memberikan reputasi buruk kepada Mimaland. Seorang pengunjung warganegara Singapura berusia 27 tahun maut dalam satu kemalangan di kawasan papan luncur air gergasi.
Insiden ini telah mengejutkan orang ramai membuatkan pihak Mimaland menutup lokasi yang terlibat untuk tujuan penambahbaikan.
Selepas pengubahsuaian dilakukan, ia kembali dibuka kepada orang ramai. Akan tetapi pembukaan semula ini tidak kekal lama.
Pada Mei 1994, satu lagi insiden telah berlaku di mana kejadian tanah runtuh telah menyebabkan dinding kolam renang yang sama telah mengalami kerosakan.
Tanah runtuh tersebut membuatkan air lumpur memenuhi ruangan kolam renang, yang menjadi penyebab kepada ia ditutup kepada pengunjung.
Berikutan kejadian-kejadian ini, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan mengheret pihak pengurusan Mimaland ke muka pengadilan di atas beberapa dakwaan.
Antaranya termasuklah kelemahan kawalan keselamatan yang menjadi punca kepada pelbagai masalah. Pihak mahkamah mengarahkan Mimaland agar tidak meneruskan operasi ketika kes dibicarakan.
Mimaland yang tidak beroperasi tidak mampu bertahan dan akhirnya terpaksa ditutup secara kekal pada tahun 1994. Sejak itu, tapak lokasi taman tema ini menjadi terbiar dan menjadi seperti hutan yang menyeramkan.
Kerana terbiar untuk tempoh yang begitu lama, lokasi ini dikatakan berhantu dan menjadi antara tempat yang paling menyeramkan di Malaysia.