Selepas kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua, wilayah-wilayah di Jerman dibahagikan kepada 4 zon yang dikawal oleh Pakatan Allies.
Zon-zon tersebut adalah di bahagian barat daya dikawal oleh Perancis, barat laut oleh Britain, selatan oleh Amerika Syarikat dan timur oleh Kesatuan Soviet.
BESARKAN TEKS A- A+
Menurut Persidangan Potsdam yang berlangsung pada tahun 1945, populasi Jerman di seluruh negara itu haruslah dilayan dengan sama rata dan jabatan-jabatan pentadbiran pusat penting tertentu hendaklah diwujudkan.
Pemulihan ekonomi Jerman menjadi tujuan utama
Apa yang dimahukan oleh pakatan ini adalah Jerman yang bersatu padu dari segi ekonomi kerana pemulihan ekonomi Jerman adalah prasyarat kepada kebangkitan perang Eropah. Namun apa yang dirancang tidak mengikut apa yang dipersetujui dalam persidangan tersebut.
Kuasa besar ini gagal untuk menuruti apa yang dirancangkan, dan masing-masing mula mengejar kepentingan masing-masing di zon pendudukan mereka. Di setiap zon, polisi yang berlainan dilaksanakan.
Ini menyebabkan kesepaduan ekonomi dan persetujuan antara zon tidak dapat dicapai. Di antara semua zon, perbezaan yang paling ketara adalah di antara zon Amerika Syarikat dan zon Kesatuan Soviet. Ini menimbulkan ketegangan di antara mereka.
Amerika Syarikat vs Kesatuan Soviet
Fokus pertikaian kedua-dua kuasa ini adalah masalah pampasan. Bagi Kesatuan Soviet, pengambilan pampasan sebanyak yang boleh menjadi keutamaan jadi segala peralatan dari kilang di Jerman dikeluarkan dan produk-produk dirampas. Bagi Kuasa Barat (Perancis, Britain dan Amerika Syarikat), pengstrukturan semulan ekonomi Jerman menjadi tujuan utama.
Jadi, segala keperluan yang dikehendaki oleh Kesatuan Soviet merencatkan rancangan ekonomi Kuasa Barat. Ia membuatkan Jeneral Clay, Komander zon pendudukan Amerika Syarikat berusaha mencapai persefahaman dengan Kesatuan Soviet berkenaan isu tersebut.
Namun ia gagal disebabkan ketidaktelusan pihak Kesatuan Soviet. Selepas hampir setahun hubungan mereka bergolak, akhirnya Amerika Syarikat menyedari kesukaran bekerjasama dengan Kesatuan Soviet, dan membuat keputusan untuk bergerak sendiri.
Bizonia dan Trizonia
Pada September 1946, Amerika Syarikat mengumumkan penggabungan zon mereka dengan zon British membentuk "Bizonia". Ini merupakan permulaan kepada pembahagian Jerman.
6 bulan kemudian iaitu pada Mac 1947, Doktrin Truman telah dikeluarkan yang dikatakan mengakhiri kebarangkalian kerjasama antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Ia juga menjadi pembunuh kepada penyatuan Jerman, dan dikatakan menjadi pencetus bibit-bibit Perang Dingin di antara Kuasa Barat dan Kesatuan Soviet.
Ketika inilah Perancis bersetuju untuk bergabung dengan Bizonia yang membentuk Trizonia. Penggabungan ketiga-tiga zon Barat ini selesai di pertengahan 1948.
Sebagai tindak balas kepada penggabungan itu, Kesatuan Soviet memperkenalkan unit wang asas iaitu Ostmark di zon pendudukan mereka dan seluruh Berlin. Tak cukup dengan itu, mereka juga menghalang lalu lintas darat dan udara untuk masuk ke Berlin yang dikenali sebagai "Sekatan Berlin".
Bagi menyediakan makanan dan bekalan lain kepada penduduk Berlin Barat, Kuasa Barat terpaksa menghantar pengangkutan udara besar-besaran. Namun Kesatuan Soviet akhirnya menghentikan sekatan itu kerana dirasakan tidak berbaloi.
Pembentukan Jerman Barat dan Jerman Timur
Walaupun begitu, perbezaan di antara Kesatuan Soviet dan Kuasa Barat tidak dapat lagi diselesaikan. Sekatan Berlin dilihatkan menjadi pemangkin kepada pembentukan kerajaan baru di zon Barat.
Dan pada tanggal 21 September 1949, Kuasa Barat telah menubuhkan sebuah kerajaan baru yang diberi nama Republik Persekutuan Jerman yang lebih dikenali sebagai Jerman Barat.
Sebulan kemudian pada 7 Oktober 1949, Kesatuan Soviet pula menubuhkan Republik Demokratik Jerman, atau Jerman Timur dengan Berlin Timur sebagai ibu kota.
Penghijrahan rakyat Jerman
Beratus-ratus ribu rakyat Jerman dari Berlin Timur telah menyeberangi ke Berlin Barat untuk bertemu semula dengan keluarga bermula 1950an sehingga awal 1960an. Tindakan itu juga adalah kerana ingin melarikan diri daripada penindasan komunis oleh Kesatuan Soviet.
Pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin mula bimbang dengan situasi ini cuba untuk berbuat sesuatu. Pada malam 12 Ogos 1961, kerajaan Jerman Timur menggunakan kawat berduri dan meletakkan pengawal di setiap jalan masuk ke Berlin Barat dari Berlin Timur bagi menghentikan pergerakan manusia besar-besaran itu.
Pembinaan Tembok Berlin
Pada keesokan harinya, pembinaan tembok kongkrit mula dijalankan, dengan menara pengawal dan kawasan periuk api di sekeliling kawasan itu. Tembok yang diberi nama Tembok Berlin sepanjang 155 kilometer itu telah berjaya memisahkan sepenuhnya kedua-dua bahagian Berlin itu.
Berang dengan tindakan itu, kerajaan Amerika Syarikat cuba merancang merobohkan tembok tersebut namun gagal kerana mendapat tentangan daripada Kesatuan Soviet.
Jerman Barat berang dengan Amerika Syarikat tidak berani bertindak, namun Presiden AS John Kennedy berkata tembok seperti neraka itu lebih baik daripada peperangan.
Untuk bertahun-tahun yang mendatang, tembok ini menjadi simbol kepada Perang Dingin. Di antara tahun 1961 sehingga 1989, tembok ini telah menghalang hampir setiap penghijrahan.
Lebih daripada 100,000 orang cuba menyeludup keluar dari Berlin Timur.
Perobohan Tembok Berlin menandakan berakhirnya Perang Dingin
Lebih daripada 5,000 cubaan berjaya, namun jumlah kematian disebabkan cubaan ini dianggarkan di antara 136 hingga 200 orang.
Pada penghujung tahun 1989 di mana jatuhnya kerajaan komunis Kesatuan Soviet di seluruh Eropah Timur, Tembok Berlin ini akhirnya berjaya dirobohkan.
Bagi banyak pemerhati, perobohan tembok neraka ini merupakan petanda besar bahawa Perang Dingin akan tiba ke penghujungnya.
Rujukan:
1. Britannica
2. History
3. SCMP