Kebanyakan negara di dunia menggunapakai sistem atau polisi bekerja 40 jam seminggu. Jika jumlah 40 jam ini dibahagi kepada 5 hari daripada hari Isnin hingga Jumaat, maka setiap pekerja dikehendaki bekerja sekurang-kurangnya 8 jam sehari.

Namun, ada juga negara atau majikan yang mewajibkan tempoh bekerja lebih panjang kepada setiap pekerjanya. Tahukah, daripada manakah asal-usulnya tempoh 40 jam waktu bekerja yang digunapakai oleh banyak negara dan majikan ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tempoh bekerja yang terlalu lama

sistem jadual kerja oleh henry ford 40 jam seminggu

Polisi bekerja 40 jam seminggu ini dikatakan bermula di Amerika Syarikat sekitar tahun 1940. Pada tahu 1890, kerajaan Amerika Syarikat telah menjalankan satu bancian atau kaji selidik untuk mengetahui purata masa bekerja yang diwajibkan kepada pekerja oleh setiap majikan.

Dalam kajian ini, kerajaan dapati secara puratanya pekerja diwajibkan bekerja sekurang-kurangnya 100 jam seminggu. Ini bermakna, pekerja dikehendaki bekerja sehingga 10 ke 12 jam sehari terutamanya mereka yang bekerja dalam industri pembuatan.

Walaupun ketika itu terdapat beberapa negeri seperti Illinois yang memperkenalkan polisi bekerja 8 jam sehari, penguatkuasaan undang-undang tersebut terlalu lemah sehingga ramai majikan mengambil kesempatan untuk memaksa pekerja lebih lama.

Desakan daripada kesatuan pekerja

haymarket square

Haymarket Square, tempat terjadinya peristiwa rusuhan pekerja terbesar pada 4 Mei 1886

Menjelang hujung abad ke 19, tempoh masa bekerja yang terlalu panjang semakin hangat diperkatakan dan menjadi topik utama perjuangan kumpulan atau kesatuan pekerja di kebanyakan tempat.

Pada 20 Ogos 1866, sebuah organisasi baru yang dinamakan National Labor Union (Persatuan Buruh Kebangsaan) meminta Kongres untuk meluluskan undang-undang yang memerintahkan 8 jam tempoh bekerja sehari. Walaupun secara teknikalnya usaha mereka gagal, mereka berjaya memberi inspirasi kepada rakyat Amerika di seluruh negara untuk menyokong perubahan di tempat kerja dalam beberapa dekad akan datang.

Pada 19 Mei 1869, Presiden Ulysses S. Grant mengeluarkan perisytiharan yang menjamin gaji yang stabil dan hari kerja lapan jam tetapi ianya hanya untuk pekerja kerajaan. Keputusan Grant menggalakkan pekerja sektor swasta untuk menuntut hak yang sama.

Usaha terbesar oleh kesatuan pekerja ini berlaku pada tahu 1884 bagi mendesak majikan menurunkan tempoh bekerja kepada hanya 8 jam sehari bermula 1 Mei 1886. Tuntutan ini diabaikan sehingga menyebabkan kesatuan pekerja mula merancang mengadakan demonstrasi bagi memastikan tuntutan ini diambil serius.

Demonstrasi yang dijalankan dengan aman ini ada kalanya bertukar menjadi ganas seperti letupan di Haymarket Square di Chicago pada 4 Mei 1886 yang menyebabkan beberapa orang terbunuh. Walaupun demonstrasi-demonstrasi yang diadakan mendapat perhatian ramai, tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan.

Tindakan drastik oleh Henry Ford

henry ford

Pada tahun 1914, Henry Ford membuat pengumuman bahawa beliau menaikkan gaji semua pekerja lelakinya dari $2.34 ke $5 per jam, lebih 2 kali ganda daripada gaji sebelumnya. Selain itu, beliau turut mengubah tempoh masa pekerjanya kepada hanya 40 jam seminggu daripada 48 jam seminggu yang digunapakai sebelum itu.

Henry Ford percaya bahawa tempoh masa bekerja yang terlalu panjang tidak bagus untuk produktiviti pekerjanya dan memberi mereka lebih banyak masa tanpa menjejaskan kestabilan kewangan mereka akan membantu meningkatkan kesetiaan dan komitmen pekerja kepada Ford Motor Company.

Syarikat-syarikat lain mula mengikut dasar Ford tentang tempoh masa bekerja apabila mereka melihat keuntungan Ford Motor Company meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh dua tahun berikutnya.

Kepentingan masa lapang buat pekerja

kereta terawal ford

Antara model terawal Ford Model T

Walau bagaimanapun, alasan Ford untuk membuat perubahan itu bukan hanya sekadar meningkatkan motivasi pekerja semata-mata. Dalam temuramah pada tahun 1926 dengan World’s Work, beliau mengatakan perubahan itu juga didorong dengan motivasinya sendiri untuk meningkatkan keuntungan syarikat.

Dalam temu bual itu, Ford menyatakan bahawa masa lapang yang diberikan kepada pekerja tidak boleh dianggap sebagai "masa yang hilang" dan tidak hanya diberikan kepada golongan berpangkat tinggi dan bergaji besar.

Beliau percaya bahawa pekerja memerlukan masa lapang agar dapat menjadi pembeli dan menggunakan lebih banyak produk yang dijual, seterusnya akan meningkatkan perniagaan.

Anak lelaki Henry Ford, Edsel, kemudian memberitahu New York Times bahawa "Setiap orang memerlukan lebih daripada satu hari seminggu untuk istirehat dan rekreasi. Syarikat Ford sentiasa berusaha untuk mempromosikan kehidupan ideal untuk para pekerja. Kami percaya bahawa untuk hidup dengan betul, setiap orang perlu mempunyai lebih banyak masa untuk berbelanja bersama keluarganya."

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)