Secara amnya, kita tahu bahawa ujian IQ adalah sejenis ujian bagi menentukan tahap kecerdasan dan kepandaian seseorang. Namun, tahukah anda secara terperinci apakah yang dimaksudkan dengan ujian IQ?
Sebenarnya, ujian IQ adalah penilaian yang mengambil kira pelbagai kebolehan kognitif. Kemudian, markah akan dihasilkan sebagai ukuran kemampuan dan potensi intelektual seseorang itu. Ujian IQ juga merupakan ujian psikologi yang paling kerap dilakukan di dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Untuk lebih memahami ujian IQ, adalah penting untuk melihat dengan tepat bagaimana markah ujian diambil kira. Hari ini, kebanyakan ujian telah diseragamkan dan markah diperolehi dengan membandingkan prestasi dengan norma umur individu berkumpulan.
Terdapat pelbagai jenis ujian IQ yang telah diiktiraf di seluruh dunia. Antara ujian IQ yang popular adalah seperti Sistem Penilaian Kognitif, Skala Kecerdasan Stanford-Binet, Skala Kecerdasan Wechsler untuk Kanak-kanak dan banyak lagi. Namun, tahukah anda bagaimana ujian IQ ini dicipta?
Sejarah penciptaan ujian IQ
Pada akhir abad ke-19, para penyelidik telah membuat hipotesis bahawa kecerdasan umum dapat diukur oleh kemampuan kognitif seperti penilaian lisan, daya ingatan dan kemahiran visual.
Alfred Binet sedang melakukan ujian IQ terdahap seorang pelajar
Pada tahun 1905, dua ahli psikologi bernama Alfred Binet dan Theodore Simon merancang untuk mencipta satu ujian bagi menentukan kanak-kanak manakah yang memerlukan perhatian secara individu di Perancis. Kaedah ciptaan mereka inilah yang menjadi asas kepada ujian IQ yang ada pada hari ini.
Simon dan Binet membina satu set ujian untuk mengukur setiap kebolehan dan menggabungkannya menjadi satu pemarkahan. Markah seseorang itu kemudian akan dibahagikan dengan usia mereka dan didarabkan dengan 100. Ini akan menghasilkan Hasil Kecerdasan atau Intelligence Quotient (IQ).
Kemudian, berpuluh-puluh ujian kecerdasan dibangunkan di Eropah dan Amerika dan mereka mendakwa menawarkan cara yang tidak berat sebelah untuk mengukur kemampuan kognitif seseorang itu.
Hari ini, secara puratanya sekitar 68% daripada satu-satu populasi mempunyai tahap IQ antara 85 hingga 115. Ramai percaya bahawa penilaian ini mencerminkan kecerdasan umum tetapi tidak ada sebarang definisi khusus mengenai kecerdasan umum yang dipersetujui sehingga kini.
Ideologi Jahat
Namun, ujian IQ yang pada mulanya dibangunkan untuk kebaikan pelajar ini menjadi begitu berguna kepada banyak pihak. Ujian IQ juga sering kali terlibat dengan ideologi jahat sesetengah pihak.
Ujian IQ tentera Amerika ketika WWI
Salah satu perlaksanaan ujian IQ berskala besar di Amerika Syarikat berlaku buat pertama kalinya ketika Perang Dunia Pertama. Pihak tentera menggunakan ujian IQ bagi membuat saringan terhadap kira-kira 1.75 juta pelatih yang direkrut.
Tentera Amerika percaya bahawa kepandaian itu tidak hanya diperolehi dan diwarisi malah ia juga berkaitan dengan bangsa seseorang itu. Mereka juga percaya bahawa sifat genetik yang lebih baik harus dihasilkan melalui kawalan pembiakan manusia. Idea ini jelas menimbulkan banyak masalah.
Kemudian, saintis Amerika secara salah melabelkan kecerdasan mengikut kaum di mana ada bangsa yang lebih baik berbanding lain. Mereka tidak mengambil kira bahawa ramai pelatih tentera adalah pendatang baru di Amerika dan tidak mempunyai pendidikan rasmi atau pendedahan bahasa Inggeris.
Hasil yang memudaratkan
Tanggapan ini menjadi barah kepada keharmonian antara kaum. Seorang ahli psikologi dan pengasas awal psikometrik, Carl Brigham, mendakwa bahawa peningkatan imigrasi dan campuran kaum menjadi punca kepada kemerosotan kecerdasan di Amerika.
Penunjuk perasaan membantah akta pemandulan berdasarkan ujian IQ
Oleh itu, Brigham meminta agar diadakan satu polisi untuk menyekat pendatang asing dan mengharamkan perkahwinan campuran berdasarkan statistiknya yang tidak tepat.
Pada tahun 1927 pula, Mahkamah Agung Amerika telah meluluskan proses pemandulan ke atas mereka yang mempunyai markah ujian IQ yang rendah secara paksaan. Hasilnya, lebih 65,000 orang telah dimandulkan atas ideologi tidak berasas ini.
Lebih teruk lagi ketika pemerintahan Nazi di Jerman. Pihak berkuasa negara itu memberi kebenaran untuk membunuh kanak-kanak yang mendapat markah rendah dalam ujian IQ bagi membentuk bangsa Aryan yang agung.
Kesedaran awam terhadap ujian IQ
Berikutan banyak masalah yang berlaku, penggunaan ujian IQ untuk ideologi jahat ini telah dipersoalkan dari segi moral atau saintifik. Para saintis mula mengumpulkan bukti mengenai kesan persekitaran terhadap tahap IQ seseorang itu.
Sebagai contoh, generasi yang lebih muda didapati memperoleh markah yang lebih tinggi secara konsisten berbanding generasi sebelumnya bagi ujian lama yang sama.
Fenomena ini dikenali sebagai Flyll Effect. Kesan ini berlaku akibat pengaruh kepada perubahan persekitaran, peningkatan pendidikan, penjagaan kesihatan dan pemakanan yang lebih baik.
Pada pertengahan abad ke-20, ahli psikologi pula menggunakan ujian IQ untuk menilai tahap keadaan psikiatri bagi masalah skizofrenia, tekanan perasaan dan pelbagai masalah mental lain. Namun, ia dihentikan kerana tidak menghasilkan maklumat yang tepat secara klinikal.
Walaupun penggunaan ujian IQ semakin dipersoalkan tetapi ia sebenarnya masih berguna untuk mendiagnosis ketidakupayaan pembelajaran. Ahli psikologi di seluruh dunia masih lagi menggunakan ujian IQ untuk mengenal pasti kelemahan intelektual bagi menentukan sokongan pendidikan, latihan pekerjaan dan bantuan yang sesuai.
Walaupun sering disalah guna untuk ideologi jahat yang tidak berasas, ujian IQ masih releven untuk mengukur kebolehan seseorang itu menyelesaikan masalah dan bukannya potensi sebenar mereka. Kini, lebih ramai penyelidik bersetuju bahawa markah ujian IQ bukanlah alat untuk membezakan seseorang manusia itu.