Oleh pada 02 Oct 2019 kategori

Jepun memang mempunyai banyak budaya yang sangat unik dan layak dikatakan asli, sehinggakan kami sendiri banyak mengeluarkan artikel berkenaan topik tersebut.

Budaya-budaya yang hanya berlaku di Jepun ini kerap kali mempengaruhi corak pemikiran masyarakat dunia lain, khasnya di negara-negara Asia lain dan tak dapat penulis nafikan - masyarakat kita pun turut sama gemar mencedok budaya mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu budaya atau kegemaran paling aneh masyarakat Jepun, adalah berkait dengan penerimaan mereka terhadap kelompok lelaki-lelaki cantik yang mempunyai sifat keperempuanan. Digelarkan sebagai 'bishonen' dalam masyarakat mereka, budaya ini sebenarnya mempunyai sejarah panjang yang membentuk pemikiran mereka.

Apa itu 'bishonen'?

budak lelaki disolekkan

'Bishonen' adalah perkataan Jepun yang digunakan bagi menggambarkan 'seorang remaja lelaki yang cantik', mempunyai sifat-sifat kewanitaan pada tubuh dan wajah.

Asal-usul bagaimana ketaksuban masyarakat Jepun terhadap kelompok 'bishonen' dipercayai bermula dengan pengeluaran buku-buku kesusasteraan rakyat mereka yang ditulis sekitar era abad ke 14 sehinggalah abad ke 16, semasa era pemerintahan Muromachi Jepun.

Apa yang akan memeranjatkan anda, buku-buku ini yang dinamakan sebagai 'chigo monogatari' ditulis oleh individu-individu berpangkat Sami Buddha, yang biasanya akan membawakan satu tema yang serupa dalam tiap-tiap kisah - hubungan di antara seorang sami dengan pembantunya, seorang remaja atau budak lelaki yang akan berakhir dengan tragedi.

Bukan semua 'chigo monogatari' mempunyai elemen-elemen erotik di dalamnya, malahan ada yang cuba membawakan kesedaran kepada pembacanya. Namun setiap kisah pasti akan menggambarkan kanak-kanak atau remaja lelaki itu mempunyai ciri-ciri yang 'cantik' dan senantiasa kekal muda.

Aktiviti penulisan yang didalangi nafsu songsang

nanshoku spring pastimes

'Chigo' merupakan gelaran yang diberikan kepada remaja lelaki berusia 7 hingga 14 tahun, yang tinggal di kawasan-kawasan tokong bagi menuntut ilmu. Tokong ini pula biasanya terletak agak jauh di kawasan pedalaman selalunya kawasan pergunungan tinggi, bagi membolehkan sami-sami yang menyelia tokong menjauhkan diri daripada godaan dunia, khasnya wanita.

'Chigo' biasanya dihantar semasa muda bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan awal serta diasuh sejak muda, namun akhirnya mendapati diri mereka pula menjadi ganti dalam 'membantu' sami-sami ini melawan gejolak nafsu serakah mereka.

Seorang pengkaji sejarah Jepun bernama Araki Yoshio mempercayai bahawa aktiviti penulisan 'chigo monogatari' yang dipelopori oleh golongan sami, adalah bertujuan untuk memberikan justifikasi kepada perbuatan mereka; cuba merasionalkan perbuatan songsang mereka pada ketika itu.

Contoh karya klasik 'chigo monogatari'

antara lakaran porngrafi

Araki mengkritik penulisan-penulisan 'chigo monogatari' sebagai satu cubaan menggunakan agama bagi membenarkan perbuatan songsang. Ini kerana kebanyakan hasil kisah yang diterbitkan seolah-olah cuba menghalalkan apa yang berlaku di antara seorang sami dengan pembantunya, sebagai godaan yang perlu ditempuhi mereka berdua dalam mencari kesedaran tentang agama.

Karya klasik 'chigo monogatari' yang kerap kali disebutkan masyarakat Jepun sebagai contoh utama karya zaman tersebut, berjudul 'Aki no Yo no Naga Monogatari'. Kisah ini ditulis pada tahun 1377, mengisahkan tentang seorang sami Buddha bernama Keikai yang kecewa dirinya gagal mengikuti ajaran agamanya dengan baik. Keikai melawat sebuah tokong di pergunungan Hiei, menyukai seorang remaja lelaki bernama Umekawa. Namun hubungan mereka tidak lama selepas remaja itu diculik makhluk jahat.

Keikai dipersalahkan dan dikatakan penyebab kejadian itu berlaku. Mempertahankan dirinya, pergaduhan di antara sami tokong Hiei dengan Keikai mengakibatkan bangunan tokong itu terbakar.

Umekawa yang berjaya melepaskan diri, kembali ke tokongnya melihat semuanya sudah musnah, menganggap apa yang berlaku adalah disebabkan kesilapannya - membunuh diri mengakibatkan Keikai tersedar dan insaf, membolehkan dia menumpukan fokus pada amalannya selepas itu.

Hubungan istimewa 'chigo' dengan ketuanya

kitagawa utamaro lukisan bishonen chigo

Berdasarkan kepada kajian-kajian, rekod serta koleksi lukisan yang masih disimpan sejak zaman tersebut, individu yang bergelar 'chigo' mempunyai beberapa keistimewaan yang lebih berbanding dengan remaja lain yang sama belajar di tokong.

'Chigo' masih lagi perlu menjalani kesemua upacara-upacara formal yang perlu dilakukan selaras dengan jadual harian penyelia tokong, termasuklah bekerja sebagai pelayan atau penghidang makanan tatkala ada majlis keraian. Apa yang membezakan mereka dengan remaja lain - disebabkan oleh hubungan mereka yang lebih rapat dengan guru-guru, seorang 'chigo' dibenarkan mempunyai beberapa keistimewaan hanya untuk mereka.

'Chigo' dibenarkan menyimpan rambut lebih panjang daripada biasa, dibenarkan memakai bedak di muka serta memakai pakaian yang lebih menarik berbanding pelatih lain. 'Chigo' juga kerap kali menjadi tumpuan semasa majlis keraian, dibenarkan duduk bersama tetamu sehingga ada yang dibenarkan minum menggunakan cawan yang sudah digunakan tetamu itu sendiri. Mereka diberikan tanggungjawab untuk menyanyi dan menghiburkan tetamu yang hadir - meletakkan mereka sebagai fokus utama semasa majlis sedang berjalan.

Bukti pornografi atau bahan sejarah masyarakat?

hubungan homoseksual samurai lelaki

Jadi adakah ada bukti yang menunjukkan wujudnya hubungan homoseksual di antara seorang 'chigo' dengan guru-guru mereka? Ada. Selain karya-karya 'chigo monogatari', karya yang paling terkenal adalah 'Chigo no Soshi', sebuah koleksi cerita lengkap dengan lukisan yang dihasilkan pada tahun 1321.

Memaparkan kisah 5 orang 'chigo' berbeza siap dengan ilustrasi yang sangat grafik, kisah di dalam karya tersebut membawa satu tema khas untuk setiap satu cerita tentang pengalaman serta perasaan yang dilalui individu-individu yang tinggal di dalam tokong, pada zaman tersebut.

Setakat ini, koleksi 'chigo no soshi' menjadi rekod paling tua dalam sejarah Jepun yang secara grafik cuba menggambarkan hubungan homoseksual dalam bentuk visual. Ada pihak meletakkannya sebagai catatan sejarah yang penting dan ada juga yang menganggapnya hanya sebagai satu bentuk pornografi zaman dahulu.

Tetapi era inilah yang dipersetujui sebagai detik permulaan bagaimana masyarakat Jepun sehingga kini, gemar menseksualkan lelaki-lelaki muda dalam hasil karya seni mereka - sebelum wujudnya trend 'bishonen' yang lebih moden. Kami akan bincangkan tentang fenomena ini dalam artikel lain pula.

Rujukan

Chigo in the Medieval Japanese Imagination

Chigo Monogatari




Hakcipta iluminasi.com (2017)