Sebagai pemimpin Nazi, Adolf Hitler sememangnya seorang individu yang bercita-cita besar. Dengan kekuasaan dan kekayaan yang dimiliki ketika itu, Hitler dan pasukannya telah mencipta pelbagai projek mega seperti penciptaa Landkreuzer P. 1000 Ratte, kereta kebal terbesar dunia dan juga Hotel Prora, pusat peranginan terbesar di dunia pada ketika itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun kedua-dua projek mega ini gagal kerana pelbagai masalah, ianya menunjukkan Hitler pada ketika itu sangat berkuasa dan bercita-cita besar. Selain kereta kebal terbesar, tahukah Hitler dan pasukannya suatu ketika dahulu telah berjaya mencipta sebuah meriam yang dianggap terbesar di dunia?
Usaha menghancurkan Maginot Line
Pada tahun 1930-an, negara Perancis telah membina sebuah benteng kebal yang dikenali sebagai Maginot Line. Maginot merupakan sebuah tembok yang dibina bagi menangkis serangan pihak musuh daripada arah timur.
Bahan yang digunakan untuk membina tembok ini juga dikatakan bahan yang terkuat yang wujud pada waktu itu. Ianya juga lengkap dengan sistem bunker bawah tanah, menara peninjau, tempat perlindungan infantri, meriam dan juga penembak anti-kereta kebal.
Bagi Hitler, tembok ini merupakan halangan utamanya untuk menakluk Perancis dan Eropah. Malah, pada ketika itu belum ada teknologi yang lebih hebat dapat menghancurkan tembok Maginot Line ini. Hitler sedar sesuatu yang luar biasa perlu dilakukan untuk menghancurkan tembok hebat ini.
Idea menghasilkan meriam terbesar dunia
Bagi mengatasi masalah ini, Hitler telah mendapatkan cadangan daripada pakar dan jurutera pembuat senjatanya, Alfried Krupp. Menurut juruteranya ini, untuk menembusi binaan konkrit setebal 7 meter dan 1 meter plat perisai keluli, mereka memerlukan sebuah meriam gergasi yang mempunyai impak yang sangat besar.
Menurut beliau, meriam tersebut mestilah mempunyai diameter bahagian dalam berukuran lebih daripada 80 sentimeter dan panjang melebihi 30 meter. Sementara itu, peluru yang digunakan pula mempunyai berat sektitar 7 tan setiap satunya. Untuk keselamatan juga, ianya juga mestilah boleh menembak daripada jarak 40 kilometer, iaitu jarak selamat di luar jarak tembakan artileri Perancis.
Berat meriam itu sahaja dianggarkan sekitar 1300 tan dan mempunyai roda khas bagi memudahkannya digerakkan menggunakan trek kereta api. Apabila data-data ini dipersembahkan kepada Hitler, beliau terus bersetuju dan mengarahkan pembinaannya dimulakan pada tahun 1937.
Kira-kira 2 tahun kemudiannya, meriam ini akhirnya siap. Setelah siap, beberapa orang pegawai dan jurutera telah membawa Hitler melihat dan memeriksa sendiri kehebatan meriam ini. Alfried Krupp kemudiannya menamakan senjata ini sebagai Schwerer Gustav, dimana perkataan Gustav diambil daripada nama bapanya, Gustav Krupp sementara "Schwerer" pula membawa maksud "besar".
Walaupun dilihat hebat, meriam gergasi ini tidak mempunyai sistem pertahanan sendiri. Oleh itu, beberapa orang askar telah ditugaskan untuk mengawal meriam ini dengan senjata anti-pesawat.
Kesukaran memindahkan Gustav Krupp
Apabila siap dibina, Schwerer Gustav merupakan senjata yang sangat besar dan yang pertama seumpamanya. Kerana saiznya yang sangat besar, memindahkannya ke sesuatu kawasan bukanlah tugas yang mudah. Sebaliknya, ia perlu diasingkan kepada beberapa bahagian dan dipindahkan menggunakan 25 gerabak kereta api.
Apabila sampai ke lokasi yang sesuai melancarkan tembakan, sekitar 250 orang diperlukan untuk memasang kembali senjata ini. Proses pemasangannya pula mengambil masa 3 hari.
Untuk tujuan pemindahan juga, satu trek khas juga telah dibina daripada lokasi asal pembinaannya ke lokasi untuk melancarkan tembakan. Usaha pembinaan trek ini juga mengambil masa berbulan-bulan lamanya dimana sekitar 2500 hingga 4000 orang tenaga kerja telah dikerah untuk menyiapkannya.
Berjaya menawan Perancis sebelum pembinaannya siap
Walaupun tujuan pembinaan meriam ini adalah bagi meruntuhkan tembok pertahanan Perancis, ianya dianggap sia-sia kerana pihak Jerman sudahpun berjaya memasuki Perancis pada tahun 1940, iaitu sebelum senjata ini benar-benar sedia untuk digunakan di medan tempur.
Pihak Jerman akhirnya berjaya menceroboh Perancis dengan membuat beberapa strategi mengelirukan pasukan pertahanan Perancis. Menyedari khidmatnya tidak lagi diperlukan untuk menyerang Perancis, senjata gergasi ini telah dihantar pula ke kawasan Sevastopol di Russia pada tahun 1942.
Bagi tujuan pemindahan ini, 4000 orang telah dikerah untuk membina trek baru bagi membolehkannya dipindahkan. Di Sevastopol, 48 tembakan telah dilakukan dan berjaya menghancurkan sistem pertahanan pihak musuh.
Tidak lama kemudian, Alfried Krupp membina sebuah lagi meriam gergasi menggunakan dimensi yang sama. Ianya diberi nama Dora, sempena nama isterinya. Walau bagaimanapun, ianya tidak sempat disiapkan kerana pihak Jerman pada waktu itu mula mengalami kejatuhan.
Walaupun selepas itu wujud beberapa penembak gergasi seperti Mallet (British) dan Little David (Amerika Syarikat), namun hanya Schwerer Gustav yang benar-benar pernah digunakan di medan peperangan. Ini menjadikannya meriam atau penembak terbesar dunia yang pernah digunakan dalam peperangan.
Kredit: