Oleh pada 23 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Facebook Damian Mikhail & Instagram Aiman Tino

Penyanyi remaja, Aiman Tino, mengakui tidak ambil kisah dengan kecaman anggota kumpulan VE, Damian Mikhail terhadap percubaannya menyanyi rap menerusi single terbaharu 'Terasa Cinta', duet bersama kakaknya, Fara Hezel.

Katanya, dia juga mempunyai asas nyanyian lagu rap berdasarkan pengalaman menjayakan persembahan 'underground'.

Aiman, 19, yang turut dikenali sebagai usahawan muda berkata, sebagai 'senior' dalam industri hiburan, Damien sepatutnya melontarkan kritikan dengan lebih berhemah.

“Saya pendatang baru, hanya mahu mencuba. Sepatutnya sebagai orang lama, Damian ada cara lebih baik untuk mengkritik.

“Kalau cara saya tidak sesuai, boleh sahaja hubungi pengurus atau saya sendiri.

“Saya tidaklah bodoh sangat tak pandai rap, asas itu memang ada. Saya juga pernah menjayakan persembahan 'underground' menyanyikan lagu rap sebelum ini,” katanya memetik portal Harian Metro.

Aiman dihentam Damian yang menyifatkan tindakannya menyanyi rap sebagai satu pencemaran dan penghinaan bagi industri muzik hip hop.

saya tidaklah bodoh sangat aiman jawab kecaman damian ve 2

Kredit foto: Facebook Damian Mikhail

Dalam kecaman yang ditulis di Facebook itu, Damian berkata, kalau Aiman menyanyi di hadapannya, dia akan ‘boo’.

Sementara itu, pemilik nama sebenar Mohammad Aiman Yusri ini menganggap cara Damian mengkritik dirinya tidak profesional kerana membuka ruang kepada orang ramai untuk menghinanya di laman sosial.

Aiman menjelaskan, dia tidak berniat hendak memonopoli semua genre lagu memandangkan setiap penyanyi mempunyai peminat tersendiri.

“Saya harap mereka yang suka mengecam melihat isu ini dari sudut lebih positif.

“Mungkin ada peminat generasi saya tidak pernah mendengar genre muzik dimaksudkan sebelum ini.

“Tidak mustahil penyanyi baru seperti saya boleh membuka pintu kepada peminat untuk lebih mengenali muzik rap yang pernah popular suatu ketika dulu,” katanya.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)