Oleh pada 29 Oct 2021 kategori

Kredit: Instagram @shahrol_shiro 

 

Melalui sebuah temubual bersama TV Pertiwi, pelawak terkenal, Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro memberi pandangan lanjutnya tentang kontroversi lawak melibatkan isu rogol membabitkan beberapa artis terkemuka tanahair dalam sebuah program televisyen baru-baru ini.

 

Tidak menyebelahi mana-mana pihak, beliau berpendapat bahawa terdapat dua pihak yang melakukan kesalahan iaitu rakan artis yang terlibat dan juga pihak produksi rancangan itu sendiri.

 

"Pertama ialah para artis tersebut dimana kesalahan mereka cukup jelas iaitu berdiskusi tentang isu rogol dimana ianya sangat sensitif terutamanya terhadap kaum wanita. Sepertimana diketahui, ini juga melibatkan psikologi mereka yang pernah mengalaminya.

 

"Keduanya ialah pihak produksi dimana terdapat dua kesalahan iaitu tidak sensitif terhadap isu-isu yang dikeluarkan dan juga dari segi teknikal," ujarnya.  

 

Secara teknikal, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab seorang editor dan pengarah perlu diigalas sebaik mungkin supaya perkara seperti ini tidak terjadi.

 

"Jika program itu dirakam terlebih dahulu, ia suatu kesalahan besar kerana editor mempunyai masa yang cukup panjang untuk meneliti video tersebut dan menyunting keluar mana-mana adegan yang mampu mengundang rasa marah penonton.

 

"Jika ia disiarkan secara langsung pula, mereka mempunyai kuasa untuk menapis atau tidak mendengarkan mana-mana bahagian menggunakan butang 'bleep'.

 

"Jika pengacara mahu mengulas lebih lanjut tentang isu tersebut, terdapat 'earpiece' yang menyambungkan mereka dengan pengarah di bilik kawalan yang berhak untuk tidak memanjangkan lagi perkara ini," jelasnya.

 

Tambahnya, hal ini bukanlah perkara baru dimana beliau sendiri pernah mempunyai pengalaman tersebut perkataan 'rogol' dalam sebuah program komedi terkenal pada tahun 2012.

 

"Tetapi, saya tidak menyebut nama sesiapa dan butang 'censor' tidak ditekan sewaktu program tersebut disiarkan secara langsung.

 

"Seminggu kemudian, saya dan juga pasangan saya yang terlibat dipanggil oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan dan akhirnya kami disaman.

 

"Sejak itu, saya mula belajar sebab kami tidak dibenarkan menyebut perkataan-perkataan sensitif seperti ini," dedahnya.

 

Berasakan pihak produksi sepatutnya lebih peka dengan apa yang pernah terjadi kepada mereka, beliau kesal kerana kini ia berulang lagi.

 

"Saya sangkakan stesen televisyen tersebut telah belajar daripada kesalahan kami kerana ia merupakan antara bahan yang dijadikan contoh di kebanyakan kursus SKMM," luahnya.

 

Video Temubual Penuh

 

Komen Pilihan

shahrolss v1

 

"Lawak melibatkan isu rogol bukan sahaja sensitif, tetapi juga membabitkan isu halal dan haram," tulis seorang pengguna Facebook.

 

Sumber: Facebook TV Pertiwi 




Hakcipta iluminasi.com (2017)