Kredit foto: utaranews.com

Telefilem Pok Ya Cong Codei menjadi tular selepas ditayangkan di kaca televisyen pada 20 Januari lalu.

Ia mengisahkan tentang seorang samsung berusia dari Kelantan yang diberi tugasan untuk mencari anak ahli perniagaan di ibu kota.

Bagaimanapun, pelbagai situasi melucukan terjadi apabila kisah pencarian itu bermula.

Ia termasuk nama 'Cong Codei' yang sebenarnya merujuk kepada nama sebuah hotel di Kuala Lumpur iaitu 'Concorde'.

saya lebih popular daripada fattah amin sabri yunus 2

Kredit foto: Instagram Sabri Yunus

"Sebenarnya Cong Codei ini asalnya terjadi pada tahun 70-an, ada yang tersalah cakap dan dah tersebar.

"Jadi bila adik ipar saya ceritakan balik saya rasa boleh gunakan dan jadikan ia satu cerita," kata Sabri memetik laporan Sinar Harian.

Bagaimanapun, menurut Sabri, watak Pok Ya hanyalah rekaan semata-mata meskipun sifat-sifatnya diinspirasikan daripada beberapa watak sebenar.

"Pok Ya ini 'gedebe' iaitu seorang yang garang, tidak boleh ditegur namun turut mempunyai hati yang baik, seorang yang bijak dan boleh menyelesaikan masalah. Orang hormat dengan dia. Atau orang sekarang cakap istilahnya 'hati kering'," tutur Sabri.

Dalam pada itu, pelakon berusia 57 tahun ini mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih untuk membintangi sendiri telefilem itu.

"Saya lebih dekat dengan watak Pok Ya ini. Jadi saya mahu penonton yang merasai 'kegedeberan' itu dan bukannya pelakon lain yang turut berlakon.

"Pelakon lain tak perlu rasa lucu dan gelak, biar penonton sendiri yang merasai," katanya yang turut bertindak sebagai penulis skrip dan pengarah telefilem berkenaan.

Mengenai perancangan akan datang, Sabri berhasrat menjadikan telefilem ini dalam versi bersiri.

"Ada perancangan namun masih lagi di peringkat awal perbincangan. Insya-ALLAH.

"Malah, anak saya pun ada juga bergurau dengan saya, katanya kini saya lebih popular daripada Fattah Amin. Gurau anak beranak," katanya sambil memecahkan ketawa.

Sumber berita: Sinar Harian 




Hakcipta iluminasi.com (2017)