Oleh pada 16 Jan 2018 kategori

Sumber foto: Agencies

Pelakon terkenal Bollywood, Salman Khan dilaporkan sedang berada dalam keadaan tidak selamat apabila menerima ancaman bunuh dari gengster Rajasthan, Lawrence Bishnoi di Jodhpur beberapa hari lalu.

“Salman akan dibunuh di sini (Jodhpur) dan baru dia akan tahu identiti kita yang sebenar,” begitulah amaran yang diberikan oleh gengster terbabit semasa dibawa ke mahkamah Jodhpur, sambil diawasi ketat oleh pihak polis.

Meskipun Salman telah kembali ke Mumbai bagi meneruskan baki tugasnya di lokasi penggambaran filem "Race 3" bersama Jacqueline Fernandez, beliau masih menerima ugutan bunuh tersebut.

Menerusi laporan Mumbai Mirror, pihak polis sendiri hadir ke lokasi penggambaran filem itu di Film City pada Rabu lalu. Salman kemudiannya diarah balik ke rumah dengan kadar segera, dimana penerbit Ramesh Taurani disuruh supaya menamatkan serta-merta penggambaran yang sedang dijalankan.

Aktor berkenaan juga disyorkan untuk tidak mengayuh basikal berhampiran kawasan bandar. Malah, beliau juga ditegah memberitahu tentang aktiviti hariannya menerusi media sosial.

Menurut seorang pegawai polis kanan Mumbai, mereka tidak memandang remeh ugutan yang diberikan Lawrence dan bakal menjaga keselamatan Salman secara optimum.

“Kami juga menyiasat motif Lawrence di sebalik ugutan itu,” ujarnya lagi.

Ugutan bunuh itu dikatakan berpunca dari suatu tuduhan terhadap Salman dan rakannya yang dikatakan terlibat dalam sebuah kes pembunuhan pada tahun 1998.

Para penyokong Lawrence meminta supaya Salman didakwa dan menggelarkannya sebagai penjenayah.

Menurut bapa Salman, Salim Khan, Salman telah pun beberapa kali menerima ugutan sebelum ini.

“Dalami industri hiburan ini, ramai yang mendapat ancaman seperti itu. Kami tidak akan mengambil tindakan undang-undang dan hanya akan pastikan keselamatan Salman.

“Dia akan bekerja seperti biasa,” tegas Salim yang juga merupakan seorang aktor dan penulis skrip terkemuka.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)