Kredit foto: Instagram Rita Rudaini
Aktres Rita Rudaini akui dia sangat selektif dalam bab pemilihan gandingan pelakon dalam drama.
Ini kerana Rita tidak mahu berhadapan dengan persepsi liar penonton yang sekaligus memberi impak kepada kerjaya lakonannya.
"Saya memang perlu cerewet untuk memilih pelakon lelaki yang akan digandingkan bersama saya jika ditawarkan untuk melakonkan watak utama sesebuah drama atau filem.
"Perbezaan usia yang ketara mesti akan membuatkan keserasian kami terganggu. Rasa kekok pula," katanya menurut laporan portal Astro Gempak.
Rita membuat kenyataan tersebut di majlis pelancaran produk Safi Rania Gold Beetox yang berlangsung baru-baru ini.
Tambah pelakon berusia 41 tahun itu, dia agak tertekan jika berganding dengan aktor yang jauh lebih muda.
Beliau berpendapat pemilihan pelakon lelaki amat penting demi mengelak daripada menjadi mangsa ejekan penonton.
Kredit foto: Instagram Rita Rudaini
"Sebab itulah, kadang-kala saya sendiri yang akan memberikan cadangan pelakon lelaki yang sesuai untuk saya agar dipertimbangkan.
"Saya tidak mahu perkara ini dipandang lewa sebab nanti penonton akan mengkritik dan menjadi bahan ejekan atau ketawa, mungkin tidak logik watak ibu dan anak dilihat sebaya misalnya.
"Kalau seseorang pelakon lelaki itu kurang sesuai dengan saya, tawaran itu terpaksalah saya tolak dengan baik," dedahnya.
Mengenai perkembangan terkini, aktres itu bakal muncul menerusi watak antagonis dalam sebuah drama rantaian televisyen bersama Fasha Sandha.
Sumber berita: Astro GempakĀ