Kredit foto: Instagram Rita Rudaini
Buat pertama kali aktres Rita Rudaini secara eksklusif menayangkan foto pernikahan dengan bekas suaminya, bintang bola sepak, Aidil Zafuan Abd Radzak kepada umum.
Menurut Rita, 42, foto itu merupakan momen sewaktu upacara akad nikah mereka yang berlangsung di sebuah gudang beras yang terletak di Thailand.
"Foto itu saya simpan baik-baik dalam sebuah cakera padat agar tidak tersebar, kini sampai masanya saya kongsi dengan orang yang nak tahu bagaimana perjalanan hidup saya.
"Kami bernikah di sebuah gudang beras kerana ketika itu imam tersebut rumahnya di atas gudang itu. Dia beri pilihan untuk bernikah di masjid tapi takut ada orang yang kenal," beritahunya kepada portal Mstar Online.
Kredit foto: Mstar
Rita membuat kenyataan tersebut sewaktu menghadiri majlis pelancaran buku Kerana Aku Seorang Perempuan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
Kisah kehidupan aktres ini diterjemahkan semula dalam bentuk penulisan oleh Pengarang Pancaindera, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.
Rita mendirikan rumah tangga dengan Aidil Zafuan pada 2008 sebelum bercerai pada 5 September 2013.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, yang kini berada di bawah jagaan Rita.
Dalam pada itu, Rita akui segala yang diceritakan dalam buku berkenaan adalah pengakuan jujurnya tanpa berselindung.
Katanya yang pernah mencipta nama menerusi filem Mami Jarum Junior, niat pendedahan itu dibuat demi memberi inspirasi kepada para wanita agar lebih cekal menjalani kehidupan.
Beliau turut menafikan sengaja managih simpati dan kononnya penerbitan buku itu bertujuan membuka aib pihak tertentu.
Kredit foto: Instagram Rita Rudaini
"Kisah ini dari mula sampai akhir sangat berat saya tanggung. Saya tahu ada orang lain yang berhadapan dengan kehidupan yang lebih teruk daripada saya.
"Kalau saya jujur orang marah dan kata saya raih simpati, saya tidak raih simpati sesiapa pun. Cuma saya kongsi rasa susah sangat bila ditinggalkan bertiga. Saya rasa sebelah sayap saya patah.
"Ramai yang tanya saya bagaimana nak jadi kuat, saya tidak mahu cerita banyak kali jadi saya luah semuanya dalam buku ini," jelasnya.
Sementara itu, penulisnya Tengku Khalidah pula berkata, perancangan untuk menghasilkan buku berkenaan sudah dibuat sejak tujuh tahun lalu.
Mengenali Rita selama 20 tahun, Khalidah mengagumi semangat yang ditonjolkan wanita itu dalam berdepan musibah hidup.
"Saya kenal dia sejak 20 tahun lalu dan ada bersamanya ketika dia berhadapan dengan pelbagai ujian.
"Dia boleh dikatakaan sebagai ikon wanita yang tabah dan semua saya tulis dari perspektif Rita sendiri. Tapi untuk mengelakkan mana-mana pihak terasa hati ada yang saya tidak kongsikan kepada pembaca," katanya.