Terung goreng berlada juga dipanggil sebagai terung masak berlada atau terung goreng bercili. Kelazatan masakan ini lebih terserlah jika terung Taiwan digunakan. Terasa manisnya apabila digoreng.
Selain itu, terung jenis ini juga boleh digoreng sahaja dan dicicah dengan sambal belacan.
Anda boleh tambahkan udang segar bagi menaikkan aromanya. Udang kering juga boleh ditambahkan dalam bahan kisar. Bagi mereka yang gemarkan belacan, ia boleh juga dimasukkan.
Untuk mengekalkan warna ungu terung yang dimasak, semasa menggoreng terung pastikan kulitnya yang berwarna ungu berada di atas dan biarkan bahagian bawahnya sahaja terkena minyak.
Terung Goreng Berlada
Kredit foto: Tengku RosElyza Raja Muhammad & Arieza Rieza (Gambar kedua bukan menggunakan resepi dibawah)
Bahan-bahan:
- Terung panjang (2/3 biji) - dipotong
- Bawang merah besar (2 biji) - ditumbuk/dikisar
- Bawang putih (3 biji) - ditumbuk/dikisar
- Ikan bilis (segenggam) - digoreng garing
- Cili merah dan cili hijau - ditumbuk/dikisar
- Cili padi (mengikut anggaran kepedasan yang anda mahu) - ditumbuk/dikisar
- Garam dan gula secukup rasa
Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak dan goreng terung. Angkat dan ketepikan.
2. Masukkan bawang putih dan bawang merah.
3. Apabila terbit bau wangi, masukkan cili yang telah dikisar.
4. Masak sehingga garing.
5. Masukkan garam dan gula.
6. Tambah anggaran 1/2 cawan air kerana supaya berkuah sedikit. Didihkan sebentar.
7. Masukkan terung dan gaul sebati.
8. Angkat dan taburkan ikan bilis goreng di atasnya.
Tips: Ikan bilis ditumbuk kasar sahaja seperti dalam gambar.
Nota: Hidangan ini lebih sedap jika dimakan dengan nasi panas dan ayam goreng.
Resepi Bonus: Sambal Berlada Ikan Bilis
Kredit foto: Amy Huszainie & Syara Fina (Gambar pertama bukan menggunakan resepi dibawah)
Bahan-bahan:
- Ikan bilis (+-300g)
Kisar...
- Cili padi merah (20 biji) + cili merah besar (6 batang)
- Bawang merah kecil (20 biji)
- Bawang putih (5 ulas)
- Sedikit halia
- Sedikit sos tiram
- Asam keping
Cara penyediaan:
1. Goreng garing ikan bilis.
2. Tumis bawang kisar dan cili merah kisar sehingga pecah minyak.
3. Masukkan sos tiram, garam dan gula perasa. Kemudian, masukkan asam keping.
4. Akhir sekali, masukkan ikan bilis. Gaul rata.
Nota: Menu ini tahan lama dan disimpan dalam chiller sahaja.
Sumber:
1. Tengku RosElyza Raja Muhammad [1, 2]
4. Tips Suri Bekerja Di Rumah (azhanaam.blogspot.com) [1, 2]