Oleh pada 17 Jun 2019 kategori

Sotong merupakan sebuah makanan laut yang cukup digemari ramai. Terdapat beberapa cara potongan daging sotong yang sangat terkenal iaitu hirisan membulat atau bergelung, hirisan memanjang dan masakan seekor. 

Hirisan daging sotong secara membulat atau bergelung merupakan teknik hirisan daging yang lazim ditemui di kedai-kedai makan. Terdapat sebuah lagi hirisan jenis ini iaitu hirisan membulat bersambung (tidak putus) yang lazim dipakai semasa menyediakan sotong goreng celup tepung. 

Hirisan memanjang pula kebiasaannya diaplikasi pada daging sotong yang besar dan tebal. Sotong mabang dan sotong katak sering disediakan menggunakan teknik hirisan ini.

Sementara itu, kaedah masakan seekor melibatkan sotong dibersihkan dan dimasak seekor-seekor samada bersama kepala atau tanpa kepala. Di Terengganu, teknik ini dipakai sewaktu membuat ketupat sotong.

Terdapat juga beberapa jenis teknik hirisan daging sotong yang lazim dipakai di luar negara. Bagi memperolehi hasil potongan yang bagus, sebaiknya pakailah pisau yang tajam. Untuk kali ini, kami kongsikan sebuah lagi resepi sotong yang istimewa.

Sotong Cili Udang Kering

sotong cili udang kering 857

Bahan-bahan:

  • Sotong (3 ekor) - saiz besar
  • Serbuk kunyit
  • Tepung jagung (1 sudu kecil)
  • Bawang merah (3 biji)
  • Bawang putih (3 ulas)
  • CIli padi (8 biji)
  • Cili merah (1 biji)
  • Udang kering (1 sudu besar) - direndam dalam air panas
  • Belacan (1/2 inci)
  • Bawang Holland (1/2 biji) - dihiris
  • Asam keping (1)
  • Sos ikan (sedikit)
  • Cuka (sedikit)
  • Daun bawang
  • Tomato ceri

Cara-cara penyediaan:

  1. Gaulkan sotong bersama sedikit garam, serbuk kunyit dan jagung sehingga rata. Kemudian, goreng sebentar dan ketepikan.
  2. Kisar bawang merah, bawang putih, cili padi, cili merah, udang kering dan belacan.
  3. Panaskan minyak secukupnya, tumis bahan-bahan yang dikisar tadi sehingga naik bau.
  4. Masukkan 1 sudu gula, sedikit garam dan asam keping. Kemudian, masukkan sedikit air agar tidak terlalu kering.
  5. Masukkan sedikit cuka dan sos ikan, gaul sehingga cili masak. Kemudian, masukkan tomato ceri, daun bawang dan hirisan bawang holland.
  6. Akhir sekali, masukkan sotong. Masak sebentar sahaja dan siap untuk dihidang.

Tips tambahan masakan sotong:

tips sotong 1

Untuk sotong cepat masak , buang mata sotong. (Sumber: Fizah Azli)

tips sotong 2

Untuk masak sotong tidak kecut, masak sotong tanpa minyak sehingga air kering dan barulah boleh tumis. (Sumber: 'Az Shafiqah Ira)

Resepi ini diambil dengan kebenaran dari buku Koleksi 100 Resepi Pilihan terbitan group masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.

Sumber:

1. Ryna Kharysta [1, 2]

2. Abe Din (sotonglaut.blogspot.com) [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)