Oleh pada 31 Jan 2019 kategori

Sambal goreng merupakan sejenis makanan khas Indonesia yang diperbuat dari perasa seperti sambal ulek, lengkuas, daun bay, gula, garam, kicap dan sebagainya.

Sambal goreng lebih kepada kesemua perasa ini yang digoreng bersama bahan makanan lain seperti tempe, ikan, udang, kacang, hati, kentang, krecek dan sebagainya.

Bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan, sambal goreng diberi nama berdasarkan bahan tersebut contohnya seperti sambal goreng hati, sambal goreng buncis dan lain-lain.

Sambal goreng selalu disajikan sebagai lauk bagi nasi putih atau hidangan nasi yang lain. Sambal ini mempunyai rasa manis yang berlainan daripada jenis sambal yang lain.

Di Malaysia, ia turut mengandungi kacang, ikan bilis, kentang, tempe dan kepingan soya kering yang dimasak dengan kicap soya.

Makanan ini cukup popular di kalangan masyarakat Jawa.

 

Sambal Goreng Jawa

Kredit foto: Mariana Zainal & Siti Noraisyah (Gambar kedua bukan menggunakan resepi dibawah)

 

Bahan-bahan:

  • Tempe (2 paket) - dihiris dan digoreng garing
  • Tauhu (3-4 ketul) - dihiris dan digoreng garing
  • Kentang (3-4 biji) - dihiris dan digoreng garing
  • Sedikit hati ayam - dihiris dan digoreng (optional)

Tips: Anda juga boleh letak isi udang segar. Goreng sahaja sebentar.

  • Suhun (2 paket) - direndam dalam air
  • Fucuk (1 keping) - dipotong dan direndam dalam air (optional )
  • Sedikit kacang panjang - dihiris serong
  • Gula (1 sudu besar)
  • Sedikit perasa (jika perlu)
  • Garam (1/2 sudu teh)
  • Kicap manis secukupnya (pemilik resepi guna cap Kipas Udang)
  • Air asam jawa (1/2 cawan) - cair
  • Air (secawan)
  • Ikan bilis (3 sudu besar) - ditumbuk lumat
  • Minyak masak (2 senduk) - untuk menumis

 

Bahan tumis :

  • Bawang besar (2 biji) - dihiris nipis
  • Bawang putih (4 ulas) - dihiris nipis
  • Cili kering (10 tangkai) - dipotong nipis menyerong

Tips: Jika gemar pedas, boleh tambah cili padi yang dihiris serong.

 

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak. Masukkan ikan bilis yang telah ditumbuk lumat dan masukkan bahan tumis. Tumis sehingga agak garing.

2. Masukkan air asam jawa, gula, perasa dan sedikit garam.

3. Renjiskan kicap manis. Kacau sehingga naik minyak.

4. Masukkan suhun dan fucuk serta air.

5. Masukkan pula kacang panjang. Kacau sebentar.

6. Masukkan bahan-bahan lain yang telah siap digoreng tadi.

7. Gaul rata dan sesuaikan rasa. Tutup api. 

 

Resepi Bonus: Cucur Jawa

cucur jawa

Cucur jawa yang diletak atas kain berwarna merah jambu supaya ia lebih serap minyak

 

Bahan-bahan:

 

Air gula:

  • Air (5/6 cawan)
  • Gula merah (1 1/2 cawan)
  • Gula putih (1 cawan)

 

Cara: Masak air gula sehingga mendidih. Biarkan sejuk.

 

Tepung:

  • Tepung gandum (3 cawan)
  • Tepung beras (2 cawan)

 

Garam:

1/setengah sudu besar

 

Nota: Boleh gunakan mana-mana cawan yang terdapat di rumah anda.

 

Cara membuat:

1. Masukkan air gula tadi ke dalam tepung dan kacau sebati menggunakan senduk atau tangan. Masukkan air agak-agak jangan terlalu pekat atau cair.

2. Tuang dalam pengisar sedikit demi sedikit dan kisarkan. Jika pekat, tambah air sedikit demi sedikit.

 

Tips:

1. Jangan kisar lama, 2 kali sudah mencukupi.

2. Minyak seperti goreng telur pun sudah mencukupi.

3. Peram semalaman atau 5 jam.

4. Pemilik resepi gunakan kuali khas iaitu kuali kecil.

 

Nota: Untuk tujuan berniaga, pemilik resepi menjual dengan harga RM1 untuk 3 biji.

 

Sumber:

1. Mariana Zainal [1, 2]

2. Nurul SyifAa [1, 2]

3. Wikipedia [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)