Cara membuat puding buih adalah sama seperti puding buih tembikai kecuali ia tidak perlu diwarnakan seperti tembikai. Selain itu, puding buih tembikai mempunyai rasa yang lebih manis dan kebiasaannya tidak memerlukan kuah.
Menurut pemilik resepi, telur kuning tidak dimasukkan ke dalam kuah kerana hanyir. Bagi mendapatkan rasa masam-masam manis, boleh letakkan buah-buahan campuran dalam kuah.
Puding Buih
Bahan-bahan:
- Agar-agar tali (30 gram)
- Gula (1 1/2 cawan)
- Air (1 liter) - jangan lebih, kurang tidak mengapa
- Daun pandan
Bahan-bahan di atas dimasak sehingga likat sedikit. Masukkan warna kesukaan anda.
- Telur gred B (6 biji) - dicuci dengan bersih dan lap sehingga kering
- Esen vanila
Telur diasingkan putih dan kuning. Tidak boleh ada campur walau sedikit pun. Buang pusat-pusat telur yang berwarna putih kerana hanyir. Tiada pembaziran kerana telur putih dan semua telur kuning digunakan.
Cara-cara membuat:
1. Adunkan putih telur sehingga kental atau meringue. Apabila angkat pengadun (mixer), adunan bertanduk tidak jatuh berlepek.
2. Apabila sudah betul-betul yakin, masukkan telur kuning satu persatu sambil adun tanpa henti. Putar lagi sehingga kelihatan seperti pekat (agak lama).
3. Kemudian, masukkan agar-agar yang telah dimasak tadi (agar-agar yang masih panas) dalam telur buih tersebut. Masukkan esen vanila setutup botol dan putar lagi.
Tips: Perlu sehingga adunan tersebut suam. Jika panas, ia akan tidak menjadi. Jika mahu cepat, ambil besen dan letakkan air di dalamnya. Kemudian, letakkan bekas adunan di dalamnya sambil putar lagi.
4. Apabila telah suam-suam kuku, tuangkan dalam bekas kegemaran anda dan masukkan dalam peti ais.
Kuah Kastard Vanila Berlemak Manis
Bahan-bahan:
- Susu cair (1 tin) - sebarang jenama
- Air (2 tin) - disukat menggunakan tin susu
- Susu pekat (1/2 tin atau kurang) - mengikut kemanisan yang dimahukan
- Garam (secubit)
- Cengkih (6-7 kuntum)
- Tepung kastard (1 sudu besar) - dikacau dalam air sedikit
- Esen vanila (setutup)
- Daun pandan
Cara-cara membuat:
1. Masak kesemuanya di atas dapur. Masukkan langkah demi langkah.
2. Biarkan menggelegak dan sejukkan. Kemudian, masukkan dalam peti ais.
Resepi ini diambil dengan kebenaran dari 'group' masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.