Oleh pada 16 Feb 2019 kategori

Nugget ayam merupakan antara makanan yang diproses daripada daging ayam yang mempunyai rasa tertentu, lazimnya berwarna kuning keemasan. Kini, nugget ayam adalah antara produk daging ayam yang berkembang pesat.

Bahan mentah untuk nugget merupakan potongan daging ayam, tepung dan rempah ratus. Menerusi pemprosesan dalam industri, nugget ayam melalui beberapa peringkat. Pertama sekali, daging ayam digiling sehingga halus.

Kemudian, gilingan tersebut dicampur dengan pengemulsi, tepung, perasa dan air sehingga menjadi emulsi.

Kemudian, emulsi tersebut diberikan lapisan basah dan kering. Seterusnya, emulsi yang telah diberikan lapisan ini digoreng sehingga dimasak.

Selepas itu, nugget ayam dibekukan pada suhu yang amat rendah sehingga beku. Proses pembungkusan produk akhir kemudiannya dilakukan.

Dalam penyimpanan, makanan ini memerlukan pemprosesan khas iaitu sentiasa disimpan dalam keadaan beku (frozen). Ini disebabkan nugget ayam adalah hasil produk haiwan yang diproses dan tergolong dalam kategori senang rosak akibat mikroorganisma.

 

Nugget Ayam Homemade

 

Bahan-bahan:

  • Dada ayam (500gm ) - dibuang kulit, tulang (jika ada), dibersihkan dan dipotong kecil-kecil (sekecil mungkin).

Tips: Oleh kerana ketiadaan food processor untuk hancurkan isi ayam, pemilik resepi gunakan alatan secara manual sahaja. Beliau cincang sehingga lumat dan halus menggunakan pisau atau parang pendek.

  • Agen pelekat  

➡ roti putih (5 keping) - dipotong kecil-kecil atau dikoyak-koyak

➡ susu segar (1 gelas) - gunakan susu lembu, tidak perlu susu kambing atau susu unta

 

Cara-cara:

1. Tuangkan susu ke atas roti. Biarkan sebentar supaya mesra dan kembang.

2. Kemudian, hancur-hancurkan bancuhan roti dan susu tadi sehingga lumat.

 

Bahan-bahan perasa:

  • Bawang putih (3 ulas) - dicincang
  • Bawang merah (1 biji) - dicincang
  • Serbuk lada putih (1 sudu teh)
  • Serbuk penaik (1 sudu teh)
  • Garam (1 sudu teh) - pemilik resepi guna garam bukit
  • Oregano kering (1/2 sudu teh)
  • Thyme kering (1/2 sudu teh)

 

Nota: Tidak perlu letak bahan pengawet, serbuk perasa tiruan, MSG, ajinomoto, masako atau lain-lain yang berkaitan.

 

Cara penyediaan:

1. Campurkan sekali ayam, bancuhan roti dan bahan perasa.

2. Uli atau gaul. Boleh juga menggunakan apa juga cara atau teknik, asalkan hasilnya sebati.

3. Kemudian, ambil loyang atau periuk yang boleh digunakan untuk mengukus. Sapukan minyak masak sedkit untuk elakkan melekat. 

4. Sediakan pengukus dan kukus selama 25-30 minit. Matikan api dan biarkan sejuk.

5. Setelah sejuk, keluarkan dan sedia untuk dipotong.

6. Potong mengikut citarasa anda.

Tips: Untuk mudah, ikut cara potongan pemilik resepi seperti dalam gambar.

 

Bahan salutan:

  • Campuran tepung: tepung gandum (2 sudu makan) dan tepung beras (1 sudu makan)
  • Telur ayam
  • Serbuk roti (bread crumb)

Nota: Ini bukan versi tempura.

 

Cara penyediaan:

1. Kacau telur dan masukkan potongan ayam yang dikukus tadi dalam telur.

2. Kemudian, masukkan dalam tepung.

3. Masukkan ayam tersebut dalam telur sekali lagi.

4. Masukkan dalam serbuk roti dan golek-golek sehingga semua serbuk roti menyaluti penuh ayam tersebut. Tepuk-tepuk manja supaya padat.

5. Simpan dalam bekas berpenutup dan susun rapat-rapat.

6. Sedia untuk disimpan dan dimasukkan dalam peti ais di bahagian beku semalaman.

7. Goreng menggunakan api perlahan. Biar warnanya keemas-emasan. 

8. Siap dan sedia untuk dihidangkan.

nugget ayam homemade 1

 

Sumber:

1. El Musliha Katiman [12]

2. Wikipedia Nugget Ayam




Hakcipta iluminasi.com (2017)