Kuih cara berlauk adalah sejenis kuih tradisional yang dibuat daripada tepung gandum dengan inti daging.
Cara menghasilkannya menyamai kuih cara namun terdapat tambahan inti atau lauk daging di atasnya.
Tambahan daging dan rempah membuatkannya agak pedas namun sedap dimakan.
Namun begitu, inti daging pada bahagian atas ini membuatkannya tidak tahan lama dan hendaklah dimakan pada hari yang sama.
Kuih cara berlauk tidak tahan disimpan pada suhu bilik dan hanya bertahan dua hari jika disimpan dalam peti ais.
Kuih ini dipanggil sebegitu disebabkan ia menyerupai kuih cara namun mempunyai inti daging atau lauk.
Kuih cara berlauk banyak dihasilkan dan dijual di Malaysia. Ia lazimnya banyak dijual secara harian dan tidak perlu ditempah lebih awal.
Ia sangat disukai sebagai menu minum petang.
Kuih Cara Berlauk
Kredit foto: Juliah Abidin‎ (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)
Inti
Bahan-bahan:
- Daging cincang (200gm) - 1/2 paket
- Serbuk kari daging (2 sudu makan)
- Cili kisar (1 sudu makan)
- Bawang putih (2 ulas)
- Bawang merah (2 ulas)
- Air (1 cawan)
- Minyak - untuk menumis
- Garam dan gula (secukup rasa )
- Cili merah - untuk hiasan
- Daun sup - untuk hiasan
- Daun bawang - untuk hiasan
Cara penyediaan:
1. Potong bawang merah dan putih kecil-kecil atau cincang.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang merah dan putih sehingga naik bau.
3. Satukan serbuk kari dan cili kisar. Tambah sedikit air untuk menjadikan pes.
4. Masukkan pes ke dalam kuali. Kacau sehingga rempah tadi masak atau pecah minyak.
5. Masukkan air dan daging cincang.
Nota: Cuci dahulu daging tersebut dengan meletakkan daging dalam penapis dan lalukan bawah air paip.
6. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kacau sehingga daging tadi menjadi kering.
Kuih
Bahan-bahan:
- Tepung gandum (2 cawan)
- Santan pekat (1/2 cawan) - pemilik resepi guna santan kotak
- Air (2 1/2 cawan)
- Telur (1 biji)
- Garam (1 sudu teh)
- Pewarna kuning (1 sudu teh)
Cara penyediaan:
1. Campurkan semua bahan-bahan dan kisar sehingga sebati.
2. Potong cili merah, daun sup dan daun bawang halus2-halus.
3. Panaskan acuan dan sapu sedikit minyak pada acuan.
4. Apabila telah panas, sudukan adunan tadi 3/4 acuan sahaja, jangan terlalu penuh. Masukkan inti daging dan letak cili potong, daun sup dan daun bawang. Tutup dengan tudung periuk. Masak dengan api perlahan selama 5-10 minit.
Sumber: