Apabila terusan Suez terputus laluan akibat sebuah kapal gergasi milik syarikat Evergreen terkeluar daripada laluan asal dan tersekat di laluan tersebut. Kerana saiznya yang besar, proses mengalihkannya mengambil masa yang sangat lama dan mengakibatkan kerugian $400 juta setiap jam.
Peristiwa ini menyebabkan ratusan kapal yang melalui laluan perdagangan ini terpaksa menunggu beberapa hari sehingga kapal tersebut dialihkan atau menggunakan laluan alternatif menggunakan perairan Afrika Selatan yang akan menambahkan masa perjalanan selama beberapa hari.
BESARKAN TEKS A- A+
Daripada krisis ini juga, beberapa pihak mula mengutarakan pandangan mengenai keperluan mempunyai laluan alternatif lain kepada terusan Suez bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang pada masa hadapan. Sebenarnya idea sebegini bukanlah baru, malah sudah diutarakan sejak puluhan tahun lalu.
Dokumen sulit pendedahan rancangan
Bagi yang tidak tahu, sebuah dokumen sulit atau memorandum yang didedahkan kepada orang awam (declassified) telah mendedahkan rancangan kerajaan Amerika Syarikat untuk membina sebuah terusan alternatif kepada terusan Suez dengan membelah Israel. Idea ini muncul pada tahun 1963.
Lebih menarik, cadangan pembinaan terusan baru melintasi Israel ini bukanlah dilakukan dengan cara konvesional, sebaliknya dengan meletuskan bom nuklear di sepanjang laluan terusan itu. Benar, Amerika Syarikat bercadang menggunakan 520 bom nuklear bagi membuka laluan bagi terusan alternatif ini.
Menurut memorandum tahun 1963 yang dibongkar pada tahun 1996 itu, rancangan itu akan menggunakan 520 bom nuklear untuk membentuk jalan air. Memo tersebut dengan jelas menyatakan "penggunaan bahan peledak nuklear untuk penggalian terusan Laut Mati di seberang gurun Negev".
Penggunaan bom nuklear
Memorandum mengenai rancangan ini berasal dari Lawrence Livermore National Laboratory yang disokong oleh Jabatan Tenaga AS. Memorandum ini turut mencadangkan bahawa "aplikasi penggalian menggunakan nuklear akan membentuk terusan laut sepanjang 160 batu di seluruh Israel".
Memorandum itu antara lainnya turut menyatakan bahawa kaedah konvensional yakni dengan mengorek adalah terlalu mahal, menjadikannya tidak ekonomikal. Oleh itu, letupan nuklear dipercayai merupakan kaedah terbaik untuk pembinaan terusan ini dan akan lebih menguntungkan.
Selain itu, memorandum itu turut mendedahkan betapa pentingnya pembinaan laluan terusan ini sebagai alternatif utama kepada terusan Suez dan menyatakan ianya akan membantu perkembangan ekonomi global secara amnya dan meningkatkan ekonomi Israel secara khususnya.
Selain itu, turut dinyatakan dalam memorandum itu adalah anggaran penggunaan bahan peledak yang perlu digunakan. Untuk merealisasikan idea gila ini, dianggarkan 4 2-megatan bahan peledak untuk setiap 1 batu diperlukan. Secara mudahnya, 520 bom atom atau 1.04 megatan bahan peledak perlu digunakan untuk keseluruhan projek ini.
Satu kemungkinan laluan yang dicadangkan memorandum itu melintasi gurun Negev di Israel dan menghubungkan Laut Tengah ke Teluk Aqaba, membuka jalan masuk ke Laut Merah dan Lautan Hindi.
Pihak makmal ini turut menyatakan bahawa terdapat kawasan sepanjang 130 batu kawasan gurun yang hampir tidak berpenduduk, oleh itu kaedah menggunakan letupan bom nuklear ini dianggap selamat kerana tidak membahayakan penduduk setempat.
Seterusnya, memorandum ini turut memuatkan laporan "penyelidikan awal kasar" yang menunjukkan bahawa menggunakan bom untuk membuat terusan melalui Israel "berada dalam jangkauan teknologi" pada waktu itu. Jika dakwaan dan laporan ini benar, mengapakah rancangan ini tidak direalisasikan?
Halangan pembinaan
Apakah yang menghalang projek pembinaan terusan alternatif kepada terusan Suez ini daripada diteruskan?
Ketika diumumkan, projek ini tidak mengambil kira faktor kestabilan politik negara-negara berjiran dengan Israel. Mereka percaya bahawa negara-negara Arab di sekeliling Israel pastinya akan menentang keras cadangan ini kerana mereka turut akan mendapat tempias impak ekonomi akibat pembinaan terusan baru ini.
Idea penggunaan letupak bom nuklear atau peaceful nuclear explosions (PNE) bukanlah sesuatu yang pelik kerana idea sama pernah dicadangan untuk pembinaan terusan Panama satu ketika dahulu. Tetapi projek PNE masih berada pada tahap eksperimen dan AS mendapati 27 eksperimen dengan PNE tidak mendapat hasil yang dikehendaki mereka.
Idea gila penggunaan PNE ini adalah cetusan idea Atomic Energy Commission (AEC), sebuah agensi kerajaan yang diberikan kuasa melakukan apa sahaja eksperimen berkaitan tenaga nuklear atas persetujuan yang ditandatangani oleh Presiden Truman pada musim panas 1946.
AEC mempunyai pengaruh atau penguasaan langsung terhadap para saintis dan juruteknik untuk membuat bom serta kemudahan penyelidikan mereka. AEC akhirnya dibubarkan pada tahun 1974 setelah dituduh mencabul prosedur keselamatan yang tak terhitung jumlahnya.
Sementara itu, Lawrence Livermore National Laboratory masih wujud sehingga kini. Menurut laman webnya, ia dikhaskan untuk "memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan pencegah nuklear negara".
Kredit: