Kredit foto: Instagram Amyra Rosli

Awalnya enggan mengambil tawaran berlakon drama bersiri popular Nur, siapa sangka aktres Amyra Rosli hampir melepaskan peluang membintangi karya yang ditayangkan sepanjang Ramadan itu.

Amyra berkata, dia yang ditawarkan peranan watak Nur, menganggap belum bersedia kerana baharu sahaja menimang anak sulung, Aqeef Anaqi.

"Sudah setahun lebih saya tidak berlakon kerana hamil dan melahirkan anak jadi apabila mendapat tawaran itu saya sebenarnya belum bersedia.

"Bukan apa Aqeef ketika itu baru sahaja berusia lima bulan jadi saya ingin beri tumpuan kepada anak terlebih dahulu.

"Tetapi Alhamdulillah saya bersyukur kerana bersetuju menerima tawaran itu dan ia mendapat sambutan sangat baik daripada penonton," katanya kepada Mstar.

Katanya, secara peribadi beliau mengagumi sinopsis dan jalan cerita yang disajikan kerana ketika membacanya sahaja, dirinya ingin mengetahui dengan lebih mendalam.

ramai tak tahu ada kisah di sebalik drama nur ini pendedahan amyra rosli 2

Kredit foto: Instagram Amyra Rosli

"Sejak bersalin banyak tawaran berlakon tetapi semuanya saya tolak tetapi Nur ada tarikan dan aura yang membuatkan saya bersetuju.

"Tambahan pula selepas saya baca sinopsis yang diberikan oleh pengarah dan saya jadi ingin lebih tahu tentang jalan cerita seterusnya," katanya.

Faktor lain, drama siaran slot Samarinda di TV3 itu menyandarkan nama-nama yang dihormati Amyra bakat lakonan mereka.

"Siapa yang tidak mahu berlakon disamping Norkhiriah, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Azhan Rani dan Syafiq Kyle?

"Melihat kepada barisan pelakonnya sahaja sudah membuatkan saya cukup teruja dan enggan melepaskan peluang keemasan ini," katanya.

Dalam pada itu, isteri aktor Amar Baharin ini enggan meletakkan harapan tinggi untuk meraih sebarang kemenangan bagi trofi pelakon terbaik biarpun menyedari harapan tinggi para peminat.

Melunaskan tanggungjawab hingga watak itu memberi impak kepada netizen sudah dikira pencapaian membanggakan buatnya.

"Sejujurnya saya harus beri penghargaan kepada pengarah, Shahrulezad kerana dia banyak membantu bagi membolehkan saya menyerlahkan lagi watak sebagai Nur.

"Sebelum ini saya banyak pegang watak anak orang kaya tetapi dalam Nur dia berjaya mengubah saya seratus peratus sehinggakan peranan saya itu secalit bedak pun saya tidak pakai.

"Jika tidak kerana dia, saya sendiri pun mungkin tidak berani untuk melakukannya tetapi dia nampak keupayaan saya dalam menzahirkan watak Nur," katanya.

Nur melakar fenomena tersendiri dengan 11 juta tontonan keseluruhannya menerusi 19 episod yang ditayangkan, selain 500,000 tontonan secara atas talian.




Hakcipta iluminasi.com (2017)