Kredit foto: Instagram Yusuf Iskandar

Meskipun populariti diraih Yusuf Iskandar umpama selebriti, aktres Hanis Zalikha tidak mempunyai perancangan untuk membawa anaknya itu terjun ke bidang lakonan atau model.

“Sewaktu Yusuf bayi, ada produksi menawarkan dia watak sampingan untuk filem. Bagaimanapun, Hairul tidak bersetuju kerana anak masih kecil untuk bekerja.

“Buat masa ini, kami tiada perancangan untuk Yusuf berlakon atau menjadi model kanak-kanak,” kata Hanis kepada Harian Metro.

Anak Hanis bersama Hairul Azreen ini bakal muncul bersama kucing kesayangannya, Bujibu Chempel menerusi program realiti baharu, My Little Heroes - Yusuf & Bujibu.

Hanis bagaimanapun berkata, dia tidak mempunyai masalah jika anaknya itu muncul dalam program realiti kerana tidak melibatkan babak.

“Program realiti itu cuma merakamkan aktiviti Yusuf dan Bujibu. Kami bersetuju Yusuf mempunyai program realiti sendiri selepas pihak Astro bersetuju dengan beberapa syarat.

“Hairul mahu anak selesa dan kami menetapkan penggambaran selama lima jam sehari iaitu ketika dia bermain atau ke luar rumah.

“Aktiviti Yusuf dan Bujibu adalah bersahaja dan tiada paksaan,” katanya.

Tambah Hanis, penonton berpeluang melihat beberapa aktiviti Yusuf seperti melawat taman haiwan dan berenang.

“Episod pertama memperkenalkan keluarga kami. Yusuf juga selalu mengikut saya ke pejabat dan penonton boleh melihat gelagatnya di sana.

“Sememangnya membuat program realiti ini ada sedikit cabaran kerana kanak-kanak kecil ada angin dan kadang-kadang menjadi kurang selesa apabila ramai orang di rumah,” katanya.

Tentang kemunculan Bujibu dalam program realiti berkenaan, Hanis akui hubungan anaknya dan kucing popular itu sudah rapat sejak bayi lagi.

program realiti yusuf iskandar dan bujibu temui penonton 2

Kredit foto: Instagram Bujibu

“Ikatan mereka sangat kuat dan penonton yang mempunyai anak kecil berkawan baik dengan haiwan peliharaan pasti memahami momen itu,” katanya.

Kritikan netizen terhadap kiriman aktiviti keluarga di laman sosial pula diterima Hanis dengan hati yang terbuka.

“Saya dan suami perlu berlapang dada menerima kritikan netizen. Kami tidak mahu terlalu sensitif kerana kadang-kadang netizen sekadar berkongsi pengalaman mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hanis mendedahkan dia kini sedang mempertimbangkan untuk mengupah pembantu rumah.

“Saya ada terfikir mengenai perkara itu selepas setahun lebih menguruskan sendiri anak. Hairul tidak kisah kalau ibu dan bapa menjaga anak, tetapi bukan kepada orang tidak dikenali.

“Suami selalu melihat saya penat menguruskan anak setiap hari dan mencadangkan sudah tiba masanya kami mendapatkan pembantu,” katanya.

Selain itu, Hanis mengatakan dia belum merancang untuk anak kedua buat masa ini serta menafikan dakwaan kononnya dia hamil.

Program realiti My Little Heroes - Yusuf & Bujibu bakal bersiaran mulai 31 Januari ini, setiap hari Rabu, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)