Di sebuah gerai yang terletak di Tel Kaif, Iraq - seorang peniaga bernama Zaid Imad Khalaf berumur 24 tahun menyara diri menjual ayam hidup untuk sembelihan.

Di kiri dan kanannya, dua lagi peniaga berniaga menjual bawang secara timbang dan pelbagai jenis tepung, menyertai puluhan gerai lain yang menjual bermacam jenis produk serta bahan dapur.

Zaid sedang sibuk melayan pelanggan yang hadir sebelum gerainya didatangi seorang tentera Islamic State (ISIS) yang ditugaskan mengawal selia kawasan tersebut. Askar itu melihat ayam yang dijual , menuding jarinya pada seekor ayam yang bersaiz besar dan meminta Zaid menyediakan ayam tersebut untuk dibeli.

BESARKAN TEKS     A-  A+

gambar pasar di wilayah kawal isis iraq

Dengan pisau tajam serta doa sembelihan, Zaid menyembelih ayam itu lalu direbus untuk dicabut bulunya. Ayam itu ditimbang beratnya sebelum Zaid menyerahkan ayam yang telah siap untuk dimasak kepada askar tersebut.

"8,000 dinar," kata Zaid, hampir RM28 ringgit harga ayam tersebut sekiranya dinilai dalam matawang kita. Askar itu menyeluk saku mengeluarkan 4,000 dinar, tidak cukup untuk membayar harga yang diminta Zaid.

"Esok saya akan bayar selebihnya," kata askar tersebut.

Zaid terpaksa mengalah menerima separuh bayaran dahulu. Keesokannya, askar itu tidak muncul-muncul menunaikan janji. Hari berganti hari sehinggalah cukup seminggu hutangnya bertangguh.

Bagi kita, mungkin kita akan menghalalkan sahaja hutang askar tersebut berikutan nilainya yang kecil serta reputasi askar ISIS yang diketahui tindak tanduk mereka. Namun bagi peniaga seperti Zaid - solusi kepada masalah kecil seperti ini ada dalam sistem masyarakat mereka, walaupun mereka sedang dikawal gerakan ISIS.

Selesai urusan beliau di gerai selepas seminggu menunggu kedatangan askar itu, Zaid ke balai polis kelolaan ISIS yang terletak di tengah-tengah pekan, bagi membuat laporan berkenaan hutang yang masih belum dibayar askar itu.

Sehari selepas laporan dibuat, askar itu melunaskan janjinya.

Penubuhan polis yang mengawal selia masyarakat

papan tanda balai polis isis di tel kaif

Salah satu fokus paling penting ISIS selepas berjaya menakluki mana-mana wilayah adalah untuk mendapatkan kepercayaan dan kerjasama daripada orang ramai. ISIS sedar kepentingan peranan dan sumbangan masyarakat kepada sistem sosial kawasan tersebut perlu diteruskan. Bagi mendapatkan kepercayaan, ISIS akan memperkenalkan sistem hukuman jenayah yang sangat efisien serta tidak berat sebelah.

Walaupun pada mulanya orang ramai skeptikal terhadap tindakan yang diperkenalkan ISIS, lama kelamaan aduan demi aduan semakin banyak diterima polis ISIS termasuklah aduan berkenaan kes yang berlaku sebelum ISIS berkuasa. Jenis-jenis kes yang mereka terima untuk siasatan pula tidak ada syarat. Semua jenis kes tak kiralah sekecil mana sekalipun akan diberikan perhatian serupa tanpa prejudis.

Antara kes yang tertera dalam rekod mereka yang dapat didedahkan selepas berjaya dirampas kembali, seperti kes pelanggan yang gagal membayar harga sepaket gula atau kes seorang tuan rumah yang meminta pampasan selepas kerja mengecat rumahnya tidak dilakukan dengan baik. Ada juga kes seorang lelaki yang mengadu dibaling dengan kasut oleh seorang individu lain. Semuanya menemui jalan penyelesaian.

dokumen rekod polis isis

Rekod-rekod itu disimpan di sebuah bangunan yang terletak di utara Tel Kaif semasa masih dikawal ISIS, menempatkan pasukan petugas polis lantikan ISIS yang dinamakan kumpulan Shorta Islamiya.

Selain daripada kes-kes jenayah yang biasa kita dengar, Shorta Islamiya turut sama menyiasat kes-kes yang kebiasaannya akan ditolak ke tepi di seluruh dunia. Rekod yang ditemui selepas kejatuhan pasukan ISIS di kawasan itu mendapati masalah buli di kalangan kanak-kanak atau ejekan dengan nama yang tidak baik turut diselesaikan Shorta Islamiya.

Siasatan, perbicaraan serta hukuman dilakukan dengan cepat oleh pasukan militan yang dilantik, membuatkan ramai yang takut untuk melakukan sebarang kesalahan walau sekecil mana sekalipun.

Yang lebih membanggakan, penduduk di Tel Kaif ketika dikuasai ISIS berpendapat tindakan ISIS dalam menguatkuasakan keadilan adalah jauh lebih baik berbanding kerajaan Iraq sebelum ini. Mereka tidak takut hendak melakukan laporan sekiranya kesalahan dilakukan oleh askar ISIS sendiri kerana Shorta Islamiya tidak mengamalkan dasar berat sebelah, walaupun melibatkan anggota sendiri.

Hukuman yang dijalankan dirasakan lebih adil oleh warga Tel Khaif dan lebih penting, pihak polis melayan semua jenis kes yang dilaporkan walaupun pada masyarakat dunia lain akan menganggapnya kes bodoh atau kecil.

"Sekiranya dinilai dari segi perspektif keadilan, keadilan yang dibawa oleh ISIS adalah jauh lebih baik berbanding kerajaan Iraq dahulu," kata Alosh Imad, adik kepada Zaid.

"Dulu, seseorang perlu kenal seseorang yang berpangkat dalam mendapatkan keadilan atau nak dapatkan bantuan pihak polis. Kes abang saya yang hanya tuntutan berjumlah 4,000 dinar (RM14), mendapat perhatian sepatutnya mereka," ujar beliau. "Yang penting, mereka benar-benar berfungsi."

Penyelesaian berjaya dicapai untuk Zaid

dokumen penyelesaian kes jenayah di tel kaif

Zaid selesai meniaga pada hari itu lalu mengemas gerainya.

Gerainya dikunci kemas. Dia pulang ke rumah lalu mandi, bersiap memakai pakaian baru agar kelihatan lebih bersih selepas seharian bergelumang dengan ayam sembelihan. Dia melangkah ke jalan Al Bareed, lokasi di mana ibu pejabat Shorta Islamiya terletak. Pejabat itu tidak besar, hanya bersaiz 20 kaki lebar, 20 kaki panjang. Suasanya yang panas diredakan sedikit dengan kipas angin meja yang dipasang di beberapa sudut. Pegawai yang bertugas menjemput Zaid duduk dan mendengar kisahnya.

Selesai penerangan, beliau mengangguk memahami apa yang diadukan Zaid. Pegawai itu mengeluarkan beberapa helai borang bercetak logo rasmi ISIS dan mula menulis nombor laporan Zaid yang diterima : 'kes 329'. Dengan menggunakan pen, nama Zaid dicatatkan ke dalam borang dan diambil keterangan terhadap apa yang telah berlaku.

Sehelai lagi borang dikeluarkan namun borang itu bukan untuk Zaid.

Bakal penerimanya adalah askar tersebut yang melarikan diri daripada membayar hutang. Dicatatkan arahan dalam borang tersebut agar askar tersebut melaporkan diri di pejabat pada waktu yang telah dinyatakan keesokannya. Amaran tegas tertera di borang tersebut yang berbunyi; "Sekiranya anda gagal menghadirkan diri pada waktu dan masa yang telah ditetapkan, tindakan tegas akan diambil pada anda."

zaid peniaga ayam di tel kaif iraq

Saman itu dihantar seorang pegawai lain pada hari tersebut. Zaid diminta pulang dahulu sebelum dipanggil semula esoknya untuk hadir ke balai. Menanti beliau di sana - askar tersebut dengan wang 4,000 dinar bagi melunaskan hutang ayamnya.

Disaksikan pegawai polis yang menerima laporannya sehari sebelum itu, Zaid serta askar itu yang bernama Bariq Sibhan Younis bersetuju untuk menganggap tuntutan Zaid selesai dan Bariq tidak lagi berhutang dengan Zaid.

Sehelai borang yang bercetak "Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani" diisi dengan nama pengadu serta suspek ditulis dan cop jari kedua-dua pihak dimeterai. Kedua-duanya diminta menandatangani borang tersebut bagi menutup kes tuntutan bayaran ayam oleh Zaid.

Zaid pulang ke rumah dengan wang hasil jualan ayamnya dalam kocek berjumlah 4,000 dinar, yang sepatutnya sudah diperoleh seminggu lalu.


Artikel ini adalah olahan semula "The Case of the Purloined Poultry: How ISIS Prosecuted Petty Crime" terbitan NYTimes pada 1 Julai 2018.




Hakcipta iluminasi.com (2017)