Para saintis telah lama mengetahui bahawa ikan coelacanth sudah berenang di lautan ketika dinosaur berkeliaran, jadi mereka telah mengklasifikasikan haiwan ini sebagai pupus.

Ikan misteri ini hidup bersama-sama brontosaur dan tyrannosaur dan sepatutnya telah lenyap dari muka bumi sekitar 60 juta tahun yang lalu.

Namun pada satu pagi Disember 1938, seorang penjaga muzium Afrika Selatan membuat satu penemuan menakjubkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penemuan semula ikan purba coelacanth

ikan coelacanth dan marjorie courtenay latimer

(Marjorie Courtenay-Latimer dan ikan coelacanth pertama yang ditemui)

Marjorie Courtenay-Latimer baru sahaja berumur 24 tahun ketika dia membuat penemuan paling penting dalam sejarah hidupnya.

Salah satu perkara yang kurang glamor dalam tugasnya sebagai penjaga muzium East London di Afrika Selatan adalah untuk bertindak balas terhadap sebarang panggilan dari nelayan yang telah menangkap sesuatu yang mereka anggap tidak biasa, kemudian pergi ke dok dan membuat pemeriksaan.

Pada 22 Disember 1938, Marjorie menerima panggilan seperti itu dari Kapten Hendrik Goosen dan bergegas ke untuk memeriksa ikan tersebut.

Marjorie teringat bagaimana dia segera menyedari sirip ikan tersebut kelihatan seperti "hiasan cina yang cantik" dan menjadi ikan yang paling indah pernah dilihatnya.

fosil hidup

Sebagai tambahan kepada "kilauan perak berwarna biru-hijau", ikan itu mempunyai beberapa ciri lain yang luar biasa termasuk "empat sirip seperti anggota badan dan ekor aneh seperti anjing".

Marjorie dengan cepat menyedari bahawa spesimen pelik itu layak untuk dikaji dengan lebih lanjut.

Walau bagaimanapun, halangan pertama beliau adalah untuk meminta pemandu teksi membantunya membawa ikan yang berukuran hampir 1.5 meter panjang ke muzium.

Walaupun dia gagal menemui apa-apa padanan untuk ikan itu di dalam buku rujukan muzium, dan pengerusi muzium meremehkan penemuannya, Marjorie tetap yakin bahawa ada sesuatu yang istimewa tentang ikan yang ditemuinya.

lakaran ikan coelacanth oleh marjorie courtenay latimer

(Lakaran coelacanth oleh Marjorie Courtenay-Latimer)

Dia kemudiannya memutuskan untuk menghantar lakaran spesimen tersebut kepada rakannya James Smith, seorang pensyarah di Universiti Rhodes yang juga merupakan seorang saintis ikan.

Selepas James melihat lukisan tersebut, dia memberitahu bahawa otaknya seperti "meletup". 

Ikan misteri itu akhirnya telah dikenal pasti sebagai ikan coelacanth, makhluk prasejarah yang dianggap telah pupus 60 juta tahun yang lalu.

Keunikan ikan pra-sejarah coelacanth

ikan coelacanth 601

Sebagai tambahan kepada fakta bahawa ia dianggap telah pupus selama beribu tahun, coelacanth adalah unik kerana beberapa sebab lain.

Empat "sirip seperti anggota badan" yang dilihat oleh Marjorie Courtenay-Latimer sebenarnya adalah "sirip lobus" yang bertindak hampir seperti kaki untuk ikan dan menurut National Geographic, "bergerak dalam corak bergantian, seperti kuda berkaki."

Beberapa saintis percaya bahawa coelacanth sebenarnya merupakan hubungan penting antara ikan konvensional dan makhluk pertama yang berkembang menjadi amfibia berkaki empat, tanah dan laut.

Coelacanth juga mempunyai sendi yang tersendiri di kepalanya yang membolehkan ia melebarkan mulutnya yang mengagumkan untuk menelan mangsanya.

Daripada semua haiwan yang hidup, coelacanth adalah satu-satunya makhluk yang dikenali untuk memiliki sendi ini.

Sisik tebal pada ikan ini juga unik untuk haiwan marin pupus lain.

penemuan ikan coelacanth dianggap seperti penemuan dinosaur

Ikan aneh ini juga tinggal di kedalaman sehingga 2,300 kaki dan menggunakan elektrik yang dijana daripada organ rostral elektrosensori di dalam muncungnya untuk menavigasi dan memburu.

Coelacanth mampu membesar sehingga lebih daripada 2 meter panjang dan berat sehingga 90 kilogram. Lebih aneh, para saintis mengganggarkan bahawa ikan ini boleh hidup sehingga 60 tahun.

Spesis betina secara amnya lebih besar daripada jantan dan walaupun ia jinak dalam kumpulan yang lebih besar, coelacanth tidak gemarkan sentuhan fizikal.

Ia merupakan haiwan aktif waktu malam, tinggal di gua atau perairan dalam pada siang hari dan kemudian meneroka ke laut dalam untuk makan di dasar laut.

Fosil coelacanth pertama yang ditemui berusia sekitar 400 juta tahun yang lalu, dengan yang terakhir berusia sekitar 340 juta tahun.

fosil ikan coelacanth 2

Inilah sebabnya ikan ini telah lama dianggap sebagai spesis yang telah pupus.

Tidak hairanlah bahawa selepas penemuan pada tahun 1938 oleh Marjorie Courtenay-Latimer yang mengagumkan ini, ikan itu sering disebut sebagai "fosil hidup" dan peristiwa pengenalannya dianggap "peristiwa paling penting dalam kajian sejarah semula jadi pada abad ke-20."

Para saintis menggelarkan makhluk ini "Latimeria chalumnae" sebagai penghormatan kepada penjaga muzium yang telah menemuinya dan untuk sungai di mana ia telah ditemui.

Kajian dan penemuan lanjut

ikan coelacanth 2

Oleh kerana kekurangan kemudahan penyimpanan sejuk yang betul, Marjorie terpaksa melakukan proses taksidermi terhadap ikan tersebut, satu proses yang membuatkan ikan itu kehilangan organ dalamannya.

Ini membuatkan kajian selanjutnya hampir mustahil.

14 tahun kemudian pada tahun 1952, seekor ikan coelacanth lagi ditemui di Kepulauan Comoro.

Apabila mendengar berita itu, rakan sekerja lama Marjorie, Dr. James Smith terbang segera ke lokasi di mana dia "menangis gembira apabila dia mendapati harta karun biologi berukuran 1.5 meter itu masih dalam keadaan baik."

Dalam tempoh 23 tahun kemudian, 83 ekor telah coelacanth ditemui dan kebanyakannya adalah secara kebetulan.

Spesies ini sebenarnya tidak berguna kepada nelayan kerana sisiknya "merembeskan lendir" dan jumlah minyak, urea dan lilin yang tinggi dalam sisik tebalnya menyebabkan ikan ini tidak boleh dimakan.

Selama beberapa dekad, coelacanth hanya ditangkap di Lautan Hindi, membuatkan pada saintis mempercayai bahawa ia hanya tinggal di kawasan itu sehingga tahun 1997 apabila pakar ikan, Dr. Mark Erdmann membuat penemuan luar biasa ketika percutian bulan madunya.

Semasa bersiar-siar di pasar ikan di Indonesia bersama isterinya, Mark menyedari bahawa ikan yang aneh dan besar ini terdapat di sana.

Penduduk tempatan memanggilnya raja laut tetapi Erdmann dengan pantas mengenalpasti ikan tersebut sebagai coelacanth.

Tiada ikan coelacanth yang pernah ditemui di luar Lautan Hindi dan Mark melepaskan peluangnya sambil melihat spesimennya yang tidak ternilai dijual seharga RM48.

Mujurlah, tawaran ganjaran tunai untuk spesies coelacanth Indonesia memberikan Mark peluang kedua dan kali ini dengan spesimen hidup yang sebenar.

Ahli sains ini dan isterinya dapat mengambil "gambar pertama ikan coelacanth yang masih hidup", dengan itu memperoleh tempatnya sendiri dalam kisah aneh ikan coelacanth.

Walaupun coelacanth sering disebut sebagai "fosil hidup," ini adalah satu salah faham.

Sebenarnya, coelacanth berevolusi dan menyesuaikan diri.

Hari ini, coelacanth dianggap terancam pada tahap kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam atau IUCN.

Risiko terbesar kepupusan adalah disebabkan menjadi tangkapan sampingan oleh nelayan.

Namun, oleh kerana ia tidak boleh dimakan, diharapkan supaya ikan-ikan coelacanth yang ditangkap dilepaskan semula untuk membolehkan ikan ini terus hidup ke masa akan datang. 

Rujukan:

1. National Geographic

2. ATII

3. Ocean




Hakcipta iluminasi.com (2017)