Oleh pada 04 Jan 2020 kategori

Leonarda Cianciulli adalah (1894-1970) adalah seorang pembunuh bersiri yang pernah menggemparkan Itali. Dia yang juga dikenali sebagai "Pembuat Sabun Correggio" telah membunuh tiga orang wanita di kota Correggio di wilayah Reggio Emilia, Itali, antara 1939 dan 1940.

Adalah penting untuk mengetahui bahawa Leonarda Cianciulli adalah seorang ibu yang sangat melindungi anak-anaknya. Ini kerana 13 daripada 17 orang anaknya telah meninggal dunia sebelum mereka berusia 10 tahun. Maka, tidak hairanlah mengapa empat orang anaknya yang masih hidup dilayan dengan penuh kasih sayang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sumpahan atau nasib malang

Cianciulli sebenarnya bukanlah seorang yang kejam tetapi dia telah melalui kehidupan yang sukar sejak remaja lagi. Ketika muda, dia juga telah cuba untuk membunuh diri sebanyak dua kali.

Dia kemudiannya telah berkahwin dengan seorang kerani pejabat pendaftaran di kotanya. Namun, kedua-dua orang tuanya tidak bersetuju dengan pilihannya kerana mereka mempunyai calon yang lebih baik.

Setelah berkahwin, Cianciulli mendakwa bahawa ibunya telah mengenakan sumpahan ke atas dirinya supaya dia mengalami nasib malang dan berada dalam keadaan sengsara seumur hidupnya.

leonarda cianciulli young and older

(kiri) Leonarda Cianciulli semasa muda

Walaupun tiada bukti bahawa sumpahan ibunya itu memberi kesan ke atas kehidupannya tetapi beberapa siri nasib malang telah menimpa wanita itu. Baru beberapa tahun berkahwin, Cianciulli telah dipenjarakan atas tuduhan menipu. Tiga tahun kemudian, rumahnya pula musnah dalam satu bencana gempa bumi.

Dia juga telah kehilangan seramai 13 orang anak sepanjang perkahwinannya, sama ada disebabkan keguguran atau penyakit maut ketika mereka masih muda.

Terlalu percaya dengan tahyul

Percaya yang dirinya terkena sumpahan, dia telah menemui seorang penilik nasib berbangsa Gipsi Romania. Pertemuannya dengan wanita itu ternyata tidak membuatkan keadaan bertambah baik.

Penilik nasib itu memberitahu bahawa dia mendapat bayangan penjara pada tangan kanan Cianciulli, manakala di tangan kirinya pula dia melihat bayangan rumah sakit mental.

leonarda cianciulli pembunuh sabun biskut

Terpengaruh dengan sumpahan ibunya dan tilikan wanita Gipsi itu, Leonarda Cianciulli mencadi seorang yang sangat percayakan tahyul. 

Apabila anak lelakinya, Giuseppe, memberitahu ibunya bahawa dia ingin menyertai Angkatan Tentera Itali pada penghujung tahun 1939, Cianciulli begitu sedih dan takut jika anaknya itu terkorban semasa bertugas.

Cianciulli yang begitu percayakan perkara tahyul merancang untuk melakukan sihir bagi memastikan anaknya selamat. Lebih mengejutkan lagi, sihir yang ingin dilakukannya itu memerlukan korban manusia.

Dia mula memilih calon yang sesuai untuk dijadikan korban. Mangsa pertama Cianciulli adalah seorang andartu (wanita berusia yang belum berkahwin) bernama Faustina Setti yang disangkakan tiada siapa akan perasan kehilangannya.

Sabun mandi dan biskut

pembunuh bersiri itali si tukang buat sabun

Cianciulli menjemput Setti datang ke rumahnya. Dia kemudian menghidangkan wain bercampur dadah kepada Setti sebelum membunuh wanita itu menggunakan kapak. Cianciulli juga telah menulis surat kepada keluarga Setti dengan menipu bahawa Setti ingin ke luar negara bertemu dengan seorang lelaki.

Setelah dibunuh, Setti telah dipotong menjadi sembilan bahagian dan darahnya dikumpulkan dalam sebuah baldi. Dalam pengakuan rasminya, Cianciulli mendakwa dia memasukkan bahagian tubuh Setti ke dalam sebuah periuk besar.

Dia kemudian menambak tujuh kilo soda kaustik yang digunakannya untuk membuat sabun mandi. Dia mengacau adunan itu sehingga semuanya terungkai menjadi potongan-potongan hitam dan tebal sebelum menuangnya dalam beberapa baldi berasingan.

Darah Setti pula dibiarkannya sehingga menjadi bergumpal-gumpal. Cianciulli kemudian mengeringkan gumpalan darah itu dalam ketuhar sebelum mencampurkannya dengan tepung, gula, coklat, susu, telur dan majerin untuk dijadikan biskut.

Dia telah memberikan biskut-biskut itu kepada rakan-rakannya yang datang melawat. Malah, dia sendiri memakan biskut itu dan menghidangkannya kepada Giuseppe tanpa pengetahuan anaknya itu. 

Tidak cukup dengan seorang korban

mangsa leonarda cianciulli

Mangsa-mangsa Cianciulli

Tidak lama selepas membunuh Setti, Cianciulli mencari lagi seorang mangsa baru. Wanita malang yang menjadi mangsa keduanya bernama Francesca@Clementina Soavi yang tinggal berseorangan.

Cianciulli meyakinkan Soavi bahawa dia ingin menawarkan tugas untuk mengajar di luar negara. Sama seperti Setti, Cianciulli menulis surat kepada rakan-rakan dan saudara mara Soavi tentang perjalanannya ke luar negara.

Dia juga memberikan Soavi wain bercampur racun dan membunuhnya dengan kapak. Mayat Soavi dipotong kepada beberapa bahagian dan  digunakan oleh Cianciulli untuk membuat sabun dan biskut.

Pembunuh bersiri ini meneruskan dengan mangsa ketiganya bernama Virginia Cacioppo, seorang penyanyi soprano. Dia menjanjikan Cacioppo dengan tawaran membuat persembahan di Florence, Itali.

Cacioppo yang malang juga melalui proses yang sama dengan dua orang mangsa Cianciulli terdahulu. Namun, Cianciulli mendakwa bahawa Cacioppo sedikit berbeza. Tubuhnya lebih berlemak dan berwarna putih. Apabila dijadikan sebagai biskut, rasanya juga lebih baik berbanding sebelum ini.

Sepandai-pandai tupai melompat

cianciulli ketika dibicarakan

Cianciulli ketika dibicarakan

Cianciulli menyangka, dia berjaya menutup jejaknya dengan baik tetapi mangsa ketiganya sedikit berbeza. Dua mangsa pertamanya mempunyai keluarga terdekat tinggal bersama tetapi Cacioppo mempunyai seorang kakak ipar yang suka mengambil tahu hal adik iparnya.

Kakak iparnya juga tidak percaya apabila membaca surat pemergian Cacioppo ke Florence dengan tergesa-gesa. Perkara paling penting, kakak iparnya terlihat Cacioppo memasuki rumah Cianciulli pada malam sebelum dia "pergi" ke Florence. Curiga dengan apa yang berlaku, kakak iparnya membuat laporan polis.

Pada mulanya, Cianciulli menafikan semua tuduhan. Apabila polis mula mengesyaki anaknya, Giuseppe, sebagai suspek utama, barulah dia mengaku dan menafikan penglibatan anaknya.

Perbicaraan Leonarda Cianciulli berlangsung selama beberapa hari sahaja sebelum dia didapati bersalah. DIa telah dijatuhkan hukuman penjara selama 33 tahun. Apa yang mengejutkan, ramalan wanita Gipsi Romania itu menjadi kenyataan apabila Cianciulli menghabiskan masa selama 30 tahun di penjara dan 3 tahun lagi di pusat pemulihan mental.

Pada tahun terakhirnya di pusat mental, Leonarda Cianciulli telah meninggal dunia akibat apopleksi serebrum iaitu kerosakan pembuluh darah di otak. Dia meninggal dunia pada tahun 1970 ketika berusia 79 tahun.

Mayatnya diberikan kepada keluarganya untuk dikebumikan. Manakala senjata dan peralatan membunuh yang digunakannya telah disumbangkan kepada Muzium Jenayah di Rom, Itali, termasuk periuk yang digunakan untuk merebus mangsa.

Rujukan:

1. Pembunuh bersiri Itali aka Pembuat Sabun Correggio 

2. Penjenayah yang menukar mangsanya kepada sabun dan biskut

3. Pembunuh bersiri yang menggemparkan Itali




Hakcipta iluminasi.com (2017)