Racun merupakan salah satu bentuk senjata yang kuat dan sering digunakan oleh pembunuh upahan untuk menghapuskan sasaran mereka. Racun menjadi sangat berguna terutamanya apabila sasaran itu adalah seorang yang berkuasa dan dikelilingi oleh ramai pengawal peribadi.
Salah satu cara paling kerap racun digunakan ialah dengan diletakkan dalam makanan atau minuman. Dalam beberapa masyarakat purba, kekhuatiran terhadap racun telah menyebabkan ramai orang berpengaruh dan pemerintah telah menyewa dan mengupah "food taster" untuk bekerja dengan mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Percaya atau tidak, ketakutan terhadap racun ini masih lagi berterusan dalam dunia moden. Berikut adalah beberapa kisah mengenai penguji makanan atau food taster yang digunakan oleh orang berpengaruh dan berkuasa.
Halotus – Peracun yang disyaki
Patung Halotus
Seperti gelaran yang diberi, seorang penguji makanan itu ditugaskan untuk mencuba terlebih dahulu sesuatu makanan sebelum dimakan oleh tuannya. Hal ini dilakukan bagi memastikan makanan atau minuman itu tidak dicemari oleh racun dan selamat untuk dimakan.
Ramai penguji makanan atau food taster yang dicatatkan sepanjang sejarah manusia. Namun, salah seorang penguji makanan yang terkenal dalam sejarah adalah seorang sida-sida yang bernama Halotus.
Halotus telah diupah oleh Maharaja Rom bernama Claudius dan Halotus juga diingati dalam sejarah sebagai pembunuh atau penyebab kepada kematian tuannya sendiri.
Walaupun penyebab utama kematian Maharaja itu masih lagi menjadi subjek perdebatan antara para pengkaji, namun Halotus telah dipersetujui sebagai suspek utama kes itu.
Menurut beberapa penulis purba seperti Tacitus, Suetonius dan Pliny, Halotus adalah orang yang menghidangkan cendawan kepada Claudius (salah satu makanan kegemarannya) ketika satu jamuan pada tahun 54 Masihi.
Locusta - Pembuat racun terkenal Empayar Rom
Hidangan cendawan itu telah dicampurkan dengan racun yang dibuat oleh seorang pembuat racun terkenal di Empayar Rom pada abad pertama, iaitu Locusta. Plot pembunuhan itu pula telah dirancang oleh isteri Maharaja Claudius sendiri iaitu Agrippina the Younger.
Apa yang menariknya, walaupun Halotus menjadi suspek utama pembunuhan itu tetapi dia tidak dihukum atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya. Bahkan, dia telah dikekalkan tugasnya semasa pemerintahan Maharaja Nero yang menggantikan Claudius.
Selain itu, semasa pemerintahan Maharaja Galba (pengganti Nero), Halotus diberi kuasa dan jawatan yang penting dalam kerajaan oleh Maharaja baru itu. Maharaja Galba yang menaiki takhta selepas Nero membunuh diri akibat rampasan kuasa yang berlaku.
Maharaja Galba telah membunuh ramai hamba dan pekerja yang diupah sewaktu Nero berkuasa, tetapi Halotus adalah salah seorang daripada yang terselamat. Halotus akhirnya hilang daripada catitan sejarah, tetapi ada ahli sejarah yang berpendapat dia mati secara semula jadi.
Penguji makanan Mark Antony yang malang
Gambaran Mark Antony dan Cleopatra
Tidak semua penguji makanan zaman dahulu yang bernasib baik seperti Halotus. Salah satu contoh food taster yang 'melakukan tugasannya' dapat dilihat dalam kisah Mark Antony dan Cleopatra.
Walaupun kedua-duanya sering dirujuk sebagai pasangan kekasih paling terkenal semasa zaman kuno, namun mereka seperti tidak dapat mempercayai antara satu sama lain. Menurut catitan Pliny, semasa mengetuai Pertempuran Actium pada tahun 31 SM, Mark Antony sentiasa memastikan penguji makanannya berada bersamanya setiap masa.
Ini kerana Mark Antony tidak mempercayai Cleopatra dan khuatir bahawa kekasihnya itu akan meracuninya apabila dia tidak lagi berguna kepada wanita itu. Menurut Pliny lagi, Cleopatra mendapati hal ini agak melucukan dan memutuskan untuk menghiburkan dirinya sendiri.
Ketika jamuan makan, Cleopatra telah memakai kuntum bunga yang dicelup racun sebagai hiasan kepalanya. Cleopatra kemudian memasukkan bunga itu ke dalam wain dan mencabar kekasihnya Mark Antony untuk minum wain itu. Kekasihnya tidak dapat menolak cabaran itu dan hampir minum wain yang dicampurkan racun itu sebelum dihentikan oleh Cleopatra.
Cleopatra kemudian memanggil food taster Mark Antony untuk melakukan tugasnya. Sebaik sahaja minum wain itu, penguji makanan itu jatuh dan mati sejurus selepas itu. Cloepatra melakukan cuba memperlihatkan kepada Mark Antony bahawa tindakan terbaik untuk selamat adalah dengan mempercayai dirinya.
Penguji makanan Führer dan Presiden
Pekerjaan sebagai food taster ini sebenarnya masih wujud lagi dalam dunia moden. Semasa berlakunya Perang Dunia Kedua, sekumpulan wanita telah dipaksa menjadi penguji makanan untuk Hitler. Pada tahun 2014, seorang food taster terakhir kepada Führer yang masih hidup iaitu Margot Wölk telah berkongsi pengalamannya untuk pengetahuan umum.
Selain Hitler, beberapa presiden Amerika Syarikat juga diketahui mempunyai penguji makanan untuk memastikan bahawa makanan mereka itu tidak diracuni. Perkara ini telah mendapat perhatian pada tahun 2009, apabila Agence France Presse melaporkan bahawa keluarga Obama telah melawat Perancis sempena ulang tahun D-Day ke-65. Seorang food taster telah menguji makanan di sebuah restoran di mana Presiden dan keluarganya makan malam.
Dalam satu kejadian yang berlawanan pula, seorang pegawai rejimen King's Own Scottish Border memberitahu pada tahun 2016 bahawa Ratu Elizabeth II pernah melakukan ujian makanan tengah hari yang disediakan untuk pasukan tentera itu. Namun, Ratu itu bukanlah menguji sekiranya makanan itu diracun sebaliknya memeriksa kualiti makanan yang disediakan.
Rujukan:
1. Telegraph
3. Independent