Siapa menyangka kini sepasang selipar boleh "menyusun" diri sendiri secara automatik di hadapan pintu masuk hotel sebelum digunakan tetamu.
Dalam satu kolaborasi bersama Nissan, sebuah hotel di Jepun menawarkan selipar "susun sendiri" yang beroperasi dengan hanya menekan satu butang. Selipar yang disediakan di ProPilot Park Ryokan Inn itu menggunakan teknologi ProPilot Park oleh Nissan yang dipasangkan dua roda kecil, satu motor dan juga sensor.
BESARKAN TEKS A- A+
Teknologi yang digunakan untuk selipar tersebut adalah yang sama digunakan dengan versi terkini kenderaan Leaf keluaran jenama kereta Jepun terkenal itu. Kereta elektrik Leaf itu menggunakan sensor berteknologi tinggi dan kamera untuk membolehkan kenderaan mengesan tempat letak kereta dan meletak sendiri kereta walaupun tanpa kehadiran pemandu.
Jadi, bagaimana teknologi ProPilot ini berfungsi? Menurut Daily Mail, ia menggunakan empat kamera dengan resolusi tinggi yang boleh memproses imej secara masa nyata dan juga sebanyak 12 sensor sonar diletakkan di sekeliling kenderaan untuk menilai keadaan persekitaran.
Para pemandu akan mengaktifkan teknologi dengan menekan satu butang yang mesti ditekan sepanjang masa, tidak seperti Tesla Model S yang bebas tangan. Jika pemandu melepaskan jari dari butang tersebut, kenderaan akan berhenti serta-merta. Sekiranya perlu, pemandu juga boleh menekan brek. Namun, ProPilot Park mengendalikan input pemecut, brek serta kawalan stereng apabila sedang meletakkan kenderaan.
Selipar yang boleh menyusun diri sendiri itu pula direka untuk mengurangkan beban kerja kakitangan hotel di samping mempromosikan kenderaan pandu sendiri.
Ia dijangka boleh mula digunakan oleh tetamu hotel terpilih bermula bulan Mac ini.
Selain selipar, teknologi itu digabungkan juga bersama meja rendah tradisional Jepun dan juga kusyen lantai supaya barang-barang ini boleh bergerak sendiri ke tempat asal.
Hotel ProPilot Park Ryokan Inn terletak lebih kurang 76 km barat daya dari Tokyo dan mempunyai pemandangan Gunung Fuji yang sangat indah.
Menurut jurucakap Nissan, Nick Maxfield, selipar yang boleh menyusun diri sendiri itu dibuat untuk meningkatkan kesedaran tentang teknologi pemanduan automatik dan potensi aplikasi pandu sendirinya. Pada tahun 2016, pihak Nissan sebelum ini telah menghasilkan kerusi pejabat pandu sendiri. Kini, mereka merancang untuk mengeluarkan kereta pandu sendiri sebelum 2020.
Tonton video menarik ini untuk menyaksikan teknologi selipar "berhantu" yang boleh bergerak sendiri:
Sumber: Daily Mail