Oleh pada 10 Aug 2018 kategori

Pada Perang Dunia Kedua, Nazi Jerman telah membunuh lebih 6 juta orang Yahudi. Selepas tamat perang, Perbicaraan Nuremberg, satu siri perbicaraan tribunal ketenteraan terhadap Nazi Jerman yang dilakukan oleh kuasa Allied.

Ia dilakukan di bawah undang-undang antarabangsa, namun gagal untuk membuatkan semua yang terlibat dalam kekejaman menerima hukuman setimpal.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kegagalan itu melihatkan ramai anggota Nazi Jerman terlepas daripada hukuman dan pulang ke negara mereka. Bagi kebanyakan orang Yahudi, berakhirnya Perang Dunia Kedua bukanlah penamat perang mereka dengan Nazi Jerman.

Misi membalas dendam Yahudi

Tak lama kemudian, sebuah kumpulan Yahudi ditubuhkan untuk mencari keadilan mereka sendiri. Setiap anggota Nazi yang ditemui dibawa ke hutan dan ditembak.

Yang lain-lain digantung di garaj mereka atau ditemui mati di tepi jalan akibat kemalangan langgar lari. Yahudi sangat nekad untuk membalas dendam terhadap kekejaman Nazi.

Namun, bagi seorang lelaki Yahudi yang bernama Abba Kovner, itu tidak mencukupi dan mempercayai pada pengadilan cara Perjanjian Lama (Old Testament).

abba kovner pemimpin militan yahudi nakam avengers

Seperti mana Nazi Jerman membunuh 6 juta orang Yahudi, maka begitulah juga  6 juta rakyat Jerman akan menderita nasib yang sama. Hutang darah dibayar dengan darah.

Abba menubuhkan satu kumpulan militan yang dikenali sebagai Nakam (atau Nokmim, diterjemahkan sebagai "Avengers"),

"Penubuhan kumpulan ini tersangat penting. Syurga melarang kita untuk kembali kepada rutin kehidupan selepas perang tanpa memikirkan untuk membalas dendam terhadap bajingan-bajingan Nazi itu. Sangatlah teruk jika tidak bertindak balas terhadap binatang-binatang itu," kata Yehuda Maimon, salah seorang anggota kumpulan Nakam pada tahun 2016.

Rancangan Nakam Avengers

Pelan Nakam, yang dikenali sebagai "Plan A", adalah dengan meracun sumber bekalan air di 5 bandar Jerman iaitu Nuremberg, Weimar, Hamburg, Frankfurt dan Munich.

Pelan alternatif iaitu Plan B, adalah jauh kurang berani berbanding Plan A iaitu dengan meracun tawanan-tawanan perang Nazi.

abba kovner bersama sama organisasi tentera yahudi haganah pada tahun 1948

Menjelang pertengahan tahun 1945, Abba Kovner telah berjaya merekrut kira-kira 50 orang anggota untuk membantu melaksanakan Plan A.

Menyamar sebagai jurutera dan pekerja buruh, anggota Nakam Avengers menyelinap masuk ke pusat penyeliaan bekalan air di setiap bandar sasaran.

Di situ mereka mempelajari bagaimana bekalan air dipam ke rumah-rumah di Jerman. 

Pada September 1945, Abba Kovner belayar ke Palestin untuk mendapatkan racun dan menyerahkan tugas mengendalikan Nakam Avengers kepada bakal isterinya, Vitka Kempner.

Operasi direstui pemimpin tertinggi Zionis

chaim weizmann pemimpin pertubuhan zionis dunia

Abba juga ingin mendapatkan restu daripada kepimpinan Yahudi di Palestin. Pemimpin yang paling mudah menerima dan bersetuju dengan rancangan Nakam Avengers adalah Chaim Weizmann, Presiden Pertubuhan Zionis Dunia.

Chaim Weizmann yang merupakan seorang ahli kimia terkenal, juga merupakan salah seorang daripada dua bakal Presiden Israel yang ditemui oleh Abba untuk mendapatkan racun.

Individu kedua adalah Ephraim Katzir yang bekerja untuk Chaim Weizmann. Dengan arahan Chaim, Ephraim memberikan racun yang mampu membunuh hanya dalam jumlah beberapa miligram kepada Abba.

Chaim meluluskan penggunaan racun tersebut untuk membunuh tawanan perang Nazi, namun tidak menyedari ia dirancang untuk membunuh 6 juta rakyat Jerman.

Abba Kovner ditangkap dalam perjalanan pulang

abba kovner ditangkap pihak british

Pada 14 Disember 1945, Abba Kovner bersenjatakan 2 bekas racun belayar dari Alexandria, Mesir ke Toulon, Perancis.

Ketika Toulon berada dalam pandangan Abba, pihak berkuasa British cuba memintas kapal yang dinaikinya.

Abba yang menyedari perkara itu berasa curiga dan telah mengosongkan satu daripada dua bekas mengandungi racun tersebut.

Dia kemudiannya memberikan satu lagi bekas racun kepada pengiringnya dan mengirimkan nota kepada isterinya. 

Abba Kovner ditangkap, kemungkinan besar disebabkan oleh pemimpin Yahudi yang menentang rancangannya itu dan menghubungi pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, nota tersebut sampai ke tangan isterinya yang mengarahkan supaya meneruskan dengan Plan B.

Kem tahanan perang Stalag 13-D jadi sasaran baru

kem tahanan perang sekutu allied

Di bawah kepimpinan baru iaitu Joseph Harmatz, sasaran baru adalah Stalag 13-D, kem tahanan perang sekutu Allied di Nuremberg yang dipenuhi dengan banduan Nazi. 

Di lokasi tersebut, Nakam Avengers berniat untuk membunuh 12,000 banduan Nazi. Mereka menukar pelan awal iaitu meracun bekalan air, kepada meracun bekalan roti banduan.

Nakam Avengers mempunyai seorang anggota yang bekerja di bakeri yang membekalkan roti setiap hari kepada Stalag 13-D.

Tak lama kemudian sejumlah besar arsenik diseludup ke Nuremberg dan disimpan di bawah papan lantai bakeri tersebut.

lokasi penyembunyian racun arsenik

Pada tengah malam 13 April 1946, sebanyak 3,000 buku roti diletakkan campuran gam dan arsenik. Dan menjelang waktu petang, beribu-ribu bekas tentera Nazi dimasukkan ke hospital.

New York Times melaporkan bahawa seramai 2,238 tentera Nazi keracunan. Namun tidak jelas berapa ramai anggota Nazi yang mati, atau mungkin tiada kematian berlaku.

Baru-baru ini dokumen yang dikemukakan menyatakan bahawa tiada seorang pun Nazi yang mati.

Ini adalah sangat aneh kerana Nakam Avengers menggunakan jumlah arsenik yang cukup untuk membunuh berpuluh-puluh ribu orang.

Namun, Nakam Avengers mungkin meletakkan racun untuk dalam jumlah yang sikit dalam setiap buku roti.

anggota nakam avengers

Selepas kegagalan itu, Nakam tidak lagi mencuba melancarkan operasi membalas dendam besar-besaran itu.

Ramai anggotannya beralih arah menumpukan perhatian mereka dalam membentuk dan mempertahankan Israel yang mana Abba Kovner memainkan peranan yang besar.

Akhirnya, tiada anggota Nakam Avengers yang didakwa dengan apa-apa jenayah yang berkaitan dengan rancangan tersebut. Beberapa dekad kemudian, pendakwa raya Jerman menyiasa perkara itu tetapi tidak memfailkan tuduhan disebabkan oleh "situasi yang luar biasa".

Rujukan:

1. AP News

2. Nakam

3. Caravan




Hakcipta iluminasi.com (2017)