Dengan berakhirnya tahun 2019, negara kita Malaysia bakal melangkah ke sebuah dekad baru dalam dunia yang semakin mencabar, daripada aspek ekonomi, sosial dan hubungan antarabangsa.

Bagi generasi lama, tahun 2020 pernah diangkat detik matlamat jangka masa panjang di mana Malaysia akan meletakkan diri sebagai sebuah negara maju. Bagaimanapun, usaha serta matlamat itu terpaksa dianjakkan dan diolah semula, selepas beberapa kekangan yang ada dalam pelbagai aspek - menyukarkan visi besar itu gagal dipenuhi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Generasi muda mungkin kurang mengenali dan mengetahui berkenaan hasrat sebenar Wawasan 2020 atau 'Vision 2020' yang pernah menjadi satu simbol harapan negara kita. Kami harap artikel ini akan membuatkan anda mempelajari sesuatu dan bagi generasi lebih tua, mengenang kembali kenapa wawasan besar tersebut - gagal terlaksana.

Wawasan 2020 - matlamat jangka panjang Malaysia

perarakan wawasan 2020

Semenjak pengenalan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1969 yang dilaksanakan pada tahun 1970, negara kita telahpun melalui beberapa peringkat pembangunan yang berbeza, dengan setiap era diberikan matlamat atau fokus tertentu.

Selepas mengambil alih kerajaan pada tahun 1981, Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) memperkenalkan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada tahun 1990 - dengan pengenalan satu rancangan masa panjang yang digelarkan sebagai Wawasan 2020 yang menjadi tunjang kepada semua perancangan masa depan Malaysia.

Berbeza dengan Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai matlamat mengurangkan kadar kemiskinan serta merapatkan perbezaan jurang pendapatan di antara kaum di Malaysia, DPN merangka hala tuju pembangunan ekonomi Malaysia dengan sasaran mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Perangkaan model ekonomi DPN dibentuk pada awalnya selama 20 tahun dengan tahun 1990 menjadi titik tolak DPN dan berakhir pada tahun 2010. Malaysia akan mengalami transformasi kepada sebuah negara yang mengutamakan sumber ekonomi berdasarkan eksport dan produktiviti dalam negara.

DPN juga menjadi titik tolak permulaan bagaimana pelaburan asing ke dalam negara kita akan dipertingkatkan, agar pemindahan teknologi dapat dilakukan bagi mengubah industri negara kita yang pada ketika itu masih mengekalkan pertanian sebagai sektor utama - kepada sektor pembuatan yang lebih sofistikated.

Halangan utama Wawasan 2020

petronas klcc twin tower vision 2020

Di atas kertas pelan pembangunan yang dibentangkan kerajaan Malaysia tampak cantik dan diyakini dapat dicapai, namun banyak pihak berpendapat model ekonomi yang terlalu bergantung kepada hasil eksport saja tidak memadai bagi mencapai sasaran itu.

Kebergantungan ekonomi negara kita kepada sistem kapitalis yang mencorakkan hala tuju pembangunan negara juga, menjadi salah satu faktor terbesar dalam menentukan keberjayaan wawasan ini dan tempoh 20 tahun yang diberikan, memungkinkan pelbagai perkara boleh berubah.

Krisis ekonomi yang melanda pada tahun 1997 serta 2008 memaksa pindaan ke atas perancangan asal diperkenalkan, seterusnya menyebabkan beberapa sasaran gagal dicapai. Dasar awal pembangunan negara kita juga perlu meramal perubahan politik antarabangsa yang bakal berlaku, seperti kebangkitan China yang sangat pesat sebagai pusat ekonomi dunia.

Banyak pihak turut bersetuju bahawa perubahan hala tuju ekonomi yang terlalu pesat, didokong oleh penubuhan beberapa agensi khas bagi menjalinkan kerjasama antara kerajaan dan swasta - membentuk dasar perlindungan istimewa kerajaan dalam melindungi kepentingan pelaburan yang ada.

Pengenalan dasar perlindungan ini seperti contoh melalui pembentukan 'Heavy Industries Corporation of Malaysia' atau HICOM; dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan kerjasama syarikat antarabangsa dengan kerajaan Malaysia dalam pelbagai industri, membantu mempercepatkan pembukaan industri-industri baru di Malaysia.

Namun sistem kerjasama ekonomi separa liberal yang diamalkan negara kita, kerap dikritik kerana mengutamakan kepentingan sesuatu pihak tertentu semata-mata dan menjadi halangan utama menggalakkan kemasukan syarikat luar ke negara kita, seperti yang diharapkan.

Kesan buruk dasar perindustrian yang terlalu pesat

putrajaya pusat pentadbiran malaysia

Dalam mengejar matlamat Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, kerajaan Malaysia tetap tidak dapat menjangkakan beberapa perkara yang timbul - sehingga memberikan kesan pada kita sehingga ke hari ini.

Walaupun berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju, belanjawan negara kita masih lagi dipengaruhi oleh keperluan dalam membasmi kemiskinan. Ini menyebabkan sebahagian besar peruntukan yang diperolehi kerajaan, perlu disalurkan hanya untuk tujuan itu sehingga mengabaikan pembangunan yang perlu dilakukan.

Diibarat di luah mati emak, ditelan mati bapa - kerajaan Malaysia memilih untuk terus menjalankan hasrat menjadi negara maju tetapi dalam masa yang sama meneruskan intipati Dasar Ekonomi Baru, dengan peruntukan besar ke dalam segmen sosial, pembangunan luar bandar dan pembangunan pertanian. Ini sebenarnya menjadi salah satu faktor kenapa Wawasan 2020 gagal dicapai dengan sempurna.

Selain itu, kepesatan ekonomi juga memperbesarkan kemasukan pendatang asing ke dalam negara kita yang dilihat menarik untuk dijadikan lokasi bekerja. Kemasukan pekerja asing ke negara kita mengalami lonjakan ketara dalam tempoh DPN berlangsung, sehingga mengganggu gugat kestabilan sistem sosial asal masyarakat kita.

Pada tahun 2016, jumlah pekerja asing berdaftar di negara kita dianggarkan berada pada tahap 2.1 juta dengan tambahan 1 juta lagi, yang masuk secara haram. Dalam tempoh dua dekad sejak 1990, masalah ini berlanjutan walaupun Malaysia dikatakan mempunyai sistem tapisan pekerja asing yang efektif.

Sistem birokrasi yang ketat serta syarat-syarat pendaftaran pekerja asing yang memerlukan kos besar menjadi penyumbang utama kepada kebanjiran orang luar di Malaysia, yang melihat potensi untuk mereka mendapat pendapatan lebih lumayan - biarpun masuk secara haram.

Penamat kepada Wawasan 2020

wawasan kemakmuran bersama 2030

Berdasarkan kepada beberapa faktor yang menyekat kejayaan ini, kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak meminda matlamat asal untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju - sebaliknya meletakkan tahun 2020 sebagai detik di mana kita layak dikategorikan sebagai negara berpendapatan tinggi.

Sasaran untuk mencapai purata pendapatan RM50,250 setahun (lebih kurang RM4,180 sebulan) yang telah ditetapkan oleh Bank Dunia dijadikan matlamat baru, seterusnya mengeluarkan masyarakat kita daripada jerat pendapatan pertengahan atau 'middle income trap' yang menghantui kita.

Kita semua tahu pada tahun 2018, kerajaan negara bertukar tangan dan ironinya, kembali semula pada pencetus utama Wawasan 2020, iaitu Tun Mahathir Mohamad sendiri sebagai ketuanya.

Pada bulan Oktober 2019, Tun Mahathir mengumumkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, mengekalkan banyak perkara yang menjadi teras kepada Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Negara, serta meneruskan usaha kerajaan terdahulu mempertingkatkan pendapatan bagi merapatkan jurang besar yang ada.

Beberapa hari selepas melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dalam satu temuramah bersama pihak media - Tun Mahathir Mohamad secara tidak rasmi mengisytiharkan berakhirnya Wawasan 2020, mengakui visi asal beliau telahpun gagal dicapai sehingga memerlukan pelan baru dibentuk.

Beban kesalahan kegagalan itu menurut beliau, jatuh kepada penggantinya, Perdana Menteri Malaysia yang ke 5 dan Perdana Menteri Malaysia ke 6 yang gagal meneruskan usaha beliau sebelum itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)