Pada awal musim bunga tahun 1991, dua angkasawan Kesatuan Soviet iaitu Sergei Krikalev dan Anatoli Artsebarski bersama-sama dengan angkasawan pertama Britain, Helen Sherman, telah berlepas ke angkasa lepas. Destinasi mereka adalah stesen angkasa Soviet yang dinamakan sebagai Mir.
Misi Sergei Krikalev dan Anatoli Artsebarski adalah untuk menggantikan kru yang sedia ada di stesen angkasa itu, sementara Helen Sherman pula berada di atas kapal itu sebagai sebahagian daripada program British Juno untuk melakukan eksperimen sains.
BESARKAN TEKS A- A+
Sherman kemudian kembali ke Bumi lapan hari kemudian bersama-sama dengan kru Soviet yang berada di sana dalam misi sebelumnya. Manakala Krikalev dan Artsebarski tinggal di Mir, mengelilingi Bumi sambil melakukan pembaikan di stesen angkasa itu.
Dari kiri : Anatoli Artsebarski, Helen Sherman dan Sergei Krikalev
Lima bulan kemudian, Anatoli Artsebarski juga pulang ke Bumi tetapi Krikalev masih lagi tinggal di sana kerana dia telah dilatih untuk misi penerbangan jangka panjang.
Dua tahun sebelum itu, Krikalev sudahpun menghabiskan masa 152 hari di atas Mir. Namun, dia tidak mengetahui bahawa misi yang dilakukannya kali ini akan menjadi misinya yang paling lama berada di ruang angkasa lepas.
Ketika Sergei Krikalev sedang sibuk menjalankan tugasnya 300 kilometer dari jarak Bumi, negaranya di darat telah mengalami kekacauan politik yang luar biasa.
Stesen Angkasa Mir
Pada bulan Ogos 1991, satu rampasan kuasa terhadap Presiden Mikhail Gorbachev gagal dan telah menggegarkan Kesatuan Soviet. Kejadian itu menjadi titik permulaan yang akan membawa kepada perpecahan Kesatuan Soviet.
Dalam beberapa bulan seterusnya, negara-negara Soviet mula memisahkan diri mereka daripada Kesatuan. Satu demi satu mengisytiharkan bahawa mereka sudah menjadi negara merdeka.
Pada 26 Disember 1991, Kesatuan Soviet akhirnya dibubarkan sepenuhnya. Mikhail Gorbachev telah meletak jawatan sebagai Presiden Kesatuan Soviet untuk memberi laluan kepada presiden sebuah negara baru yang dinamakan Rusia.
Mikhail Gorbachev
Pembubaran Kesatuan Soviet itu telah menjadikan masa hadapan program angkasa mereka berada dalam risiko. Baikonur Cosmodrome yang merupakan tapak Kesatuan Soviet melancarkan roket mereka kini menjadi milik Kazakhstan yang baru sahaja merdeka.
Kazakhstan mula menuntut bayaran yang tinggi daripada Moscow sekiranya ingin menggunakan tapak pelancaran itu. Keadaan lebih buruk apabila ekonomi Rusia ketika itu sedang merudum. Negara itu cuba mengumpul dana dengan menjual tiket untuk ke stesen angkasa lepas ke negara-negara luar.
Austria telah membayar USD 7 juta (RM 29.2 juta) untuk satu tempat duduk dalam kapal angkasa Soyuv. Manakala sebuah rangkaian TV Jepun pula membayar USD 12 juta (RM 50 juta) untuk menghantar salah seorang wartawannya menaiki kapal angkasa itu.
Baikonur Cosmodrome - Tapak pelancaran kapal angkasa yang pertama dunia
Setelah Moscow berunding dengan pihak Kazakhstan, mereka bersetuju untuk membawa bersama angkasawan pertama daripada Kazakhstan kerana membenarkan kapal angkasa mereka dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome.
Namun, angkasawan pertama dari Kazakh dan Austria hanya terbang dan melawat Mir tetapi tidak mempunyai kelayakan untuk menggantikan Krikalev yang sedang berada di stesen angkasa itu.
Dengan perasaan berat hati Krikalev bersetuju untuk terus tinggal dan mengendalikan stesen angkasa itu sementara angkasawan lain pulang semula ke Bumi.
Banyak akhbar Rusia yang bersimpati dengan nasib Sergei Krikalev. Akhbar Komsomolskaya Pravda menulis bahawa Krikalev dihantar ke angkasa lepas sebagai wakil untuk memenuhi tugasan yang sukar tetapi apabila tiba masa yang ditetapkan, dia tidak dihantar pulang.
Walaupun begitu, Krikalev masih terus berhubung dengan isterinya, Elena, yang merupakan salah seorang kakitangan yang bertugas dalam kawalan misi itu. Mereka berhubung seminggu sekali melalui radio.
Pada masa yang sama, kegawatan politik di negaranya telah menyebabkan nilai Ruble Soviet menurun secara drastik sekaligus menyebabkan harga barangan meningkat. Gaji bulanan Krikalev sebanyak 500 Rubel ketika itu tidak cukup untuk menampung kelangsungan hidup keluarganya.
Negara-negara baru pecahan Kesatuan Soviet
Agensi angkasa lepas juga berusaha sedaya upaya untuk menghantar bekalan penting kepada angkasawan yang terkandas itu. Pada satu ketika, Rusia hampir menjual stesen angkasa Mir kepada Amerika tetapi NASA tidak begitu berminat untuk membelinya.
Akhirnya pada 25 Mac 1992, Krikalev kembali ke Bumi setelah menghabiskan masa selama 311 hari di orbit. Dia kembali ke negara yang berbeza sama sekali daripada negara ketika dia berlepas ke angkasa.
Kesatuan yang merupakan kuasa besar komunis itu kini terbahagi kepada 15 negara. Bukan sahaja presiden negaranya telah bertukar, malah kampung halamannya Leningrad juga telah berubah nama menjadi St. Petersburg.
Ketika mendarat di Bumi, Krikalev terpaksa dibantu untuk keluar daripada kapsul Soyuz. Majalah Discover menulis bahawa angkasawan itu kelihatan pucat dan berpeluh serta tidak bermaya.
Dia kemudian diselimuti dengan kot bulu haiwan dan diletakkan atas sebuah kerusi. Dia diberikan sup panas untuk diminum. Beberapa tahun kemudian, Krikalev mengimbau semula kejadian pendaratan itu. Dia berkata walaupun pertukaran graviti itu adalah sesuatu yang sukar baginya, namun secara psikologinya kepulangannya ke Bumi rasa seperti satu beban yang diangkat.
Krikalev tidak berehat lama. Dua tahun kemudian, angkawasan itu kembali semula ke angkasa lepas tetapi kali ini dia mendarat di Stesen Angkasa Amerika, Discovery. Ia merupakan kali pertama angkasawan Rusia terbang bersama-sama angkasawan Amerika dengan menggunakan kapal angkasa Amerika.
Krikalev akhirnya bersara daripada penerbangan angkasa lepas pada tahun 2007. Dia mempunyai rekod berada di orbit selama 800 hari, menjadikannya orang ketiga paling lama menghabiskan masa di angkasa lepas.
Misinya berada di ruang angkasa selama 311 hari tanpa dirancang itu merupakan misi penerbangan angkasa lepas keenam paling lama dalam sejarah.
Rujukan :
2. STSTW Media
3. The Guardian