Siapa yang ingin menjadi jutawan? Soalan yang lebih tepat ialah siapa yang tidak mahu menjadi jutawan? Sebenarnya, jika berpeluang menjadi jutawan pasti tiada siapa yang akan menolaknya.
Namun, semua orang sedar bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk bergelar jutawan atau mempunyai wang simpanan lebih daripada RM 1 juta. Terdapat pelbagai cara untuk menjadi jutawan sama ada anda bergaji besar, memiliki perniagaan yang berjaya atau mewarisi harta yang banyak.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi seorang lelaki ini, dia berjaya menjadi jutawan dalam sekelip mata dengan begitu mudah dan tidak disangka-sangka sama sekali. Lelaki yang berasal dari Amerika Syarikat bernama Gary Ross Dahl ini berjaya bergelar jutawan dengan hanya menjual batu sahaja. Berikut adalah kisah bagaimana dia melakukannya.
Jutawan batu peliharaan
Gary dilahirkan di Bottineau, Dakota Utara, pada 18 Disember 1936 dan dibesarkan di Spokane, Washington. Ibunya bekerja sebagai seorang pelayan restoran dan bapanya pula bekerja dalam bidang pembalakan.
Gary melanjutkan pengajiannya di Washington State University dan kemudian bekerja sebagai seorang editor bebas. Dia adalah seorang pencinta haiwan dan memelihara pelbagai jenis haiwan seperti kucing, anjing, arnab, ayam, kambing dan banyak lagi.
Sebagai seorang yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, Gary terdesak untuk memperolehi wang dengan cepat bagi menampung kos hidup nya dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan.
Tambahan pula, hobinya sememangnya memerlukan kos yang tinggi bagi membeli makanan, merawat dan menyediakan tempat tinggal untuk haiwan-haiwan peliharaannya itu.
Idea pelik
Suatu hari pada tahun 1975, Gary bersama rakan-rakannya keluar untuk bertemu dan minum bersama-sama. Mereka berbual tentang banyak perkara tetapi Gary kelihatan sedikit diam, mungkin kerana memikirkan cara bagaimana untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapinya.
Topik perbualan mereka kemudian tertumpu pada haiwan peliharaan. Rakan-rakannya mengeluh kerana perlu mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk dibelanjakan bagi keperluan haiwan-haiwan peliharaan mereka.
Ketika itu Gary mencelah perbualan dengan berjenaka bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah kerana dia membela "batu" sebagai haiwan peliharaannya dan tidak perlu mengeluarkan wang untuk membeli makanan atau merawatnya.
Mereka kemudian ketawa terbahak-bahak dengan jenaka itu. Tiada siapa yang mengambil serius jenaka itu kecuali Gary sendiri. Dia terfikir, alangkah bagusnya jika ada haiwan peliharaan yang mudah dijaga seperti itu.
Pet Rock
Gary cuba menjadikan konsep batu peliharaannya itu sebagai kenyataan. Dia membeli batu sungai dari Mexico dengan harga satu sen sebiji. Namun, dia mempunyai satu lagi masalah untuk menjayakan ideanya itu.
Dia terfikir mengapa orang mahu membeli sebiji batu yang boleh mereka temui dengan mudah di belakang rumah sendiri? Apa bezanya batu yang dijualnya berbanding batu-batu lain?
Setelah penat memikirkan caranya, Gary akhirnya muncul dengan produk "Pet Rock". Ia bukan sekadar batu sungai yang berbentuk bulat dan licin sahaja tetapi lebih daripada itu. Ciri-ciri menarik mengenai Pet Rock ialah pembungkusannya.
Pet Rock dijual dalam kotak kertas, siap dengan lubang-lubang kecil seperti ruang untuk haiwan bernafas. Batunya diletakkan di atas jerami kering seperti sarang burung.
Setiap kotak Pet Rock disertakan juga dengan manual yang menceritakan secara terperinci bagaimana untuk menjaganya. Manual itu juga menceritakan tentang baka batu peliharaan itu seolah-olah ia adalah seperti seekor kucing atau anjing. Satu set Pet Rock dijual pada harga USD 3.95.
Jutawan sekelip mata
Gary mula memasarkan Pet Rock tidak lama sebelum sambutan Tahun Baru Krismas. Pada mulanya, dia agak risau apakah respon yang akan ditunjukkan masyarakat terhadap Pet Rock tetapi terkejut apabila produk gimiknya itu mendapat sambutan hangat.
Tidak lama selepas itu, Pet Rock sudah mula dijual di kedai-kedai permainan dan cenderamana di seluruh negara. Dalam hanya beberapa bulan sahaja, 1.5 juta Pet Rock telah terjual. Ini menjadikan Gary seorang jutawan segera.
Pet Rock menjadi fenomena popular Amerika pada tahun 1975. Gary telah dijemput untuk menghadiri rancangan terkenal "The Tonight Show with Johnny Carson". Malah, ada lagu bertajuk "I'm in Love with My Pet Rock" dicipta dan dimainkan di corong-corong radio.
Walau bagaimanapun, populariti Pet Rock tidak bertahan lama. Selepas kejayaannya itu Gary membuka sebuah bar dan cuba menjual beberapa produk baru seperti "Red China Dirt" dan "Sand Kittens" tetapi tidak begitu berjaya seperti Pet Rock.
Gary berkata, kejayaan Pet Rock mungkin disebabkan beberapa faktor. Rakyat Amerika tidak pernah melihat produk seperti itu sebelum ini. Ketika itu juga, Perang Vietnam baru sahaja berakhir ditambah pula dengan Skandal Watergate yang melanda negara.
Orang ramai mungkin perlu sesuatu yang menghiburkan hati dan Pet Rock adalah produk lucu yang berjaya menambat hati mereka. Gary Ross Dahl telah meninggal dunia pada 23 Mac 2015 ketika berusia 78 tahun.
Rujukan:
1. Kisah jutawan yang hanya menjual batu