Seorang lelaki berusia 71 tahun di United Kingdom dilaporkan telah membelanjakan sebanyak ratusan ribu ringgit untuk menentang kes saman had laju yang hanya berjumlah £100 (RM 521). Setelah beberapa tahun perbicaraan, lelaki malang itu tetap kalah akhirnya.

Masalah jurutera bersara bernama Richard Keedwell itu bermula pada November 2016 ketika dia memandu ke Worcester. Dia telah disaman polis kerana dikatakan memandu selaju 35 batu sejam (56km) di zon had laju maksimum 30 batu sejam (48km).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bukan sahaja tidak bersetuju tetapi Keedwell juga berang apabila menerima notis saman itu yang dihantar kepadanya beberapa hari kemudian. Yakin tidak bersalah, Keedwell menulis "tiada kes untuk dijawab" pada dokumen yang sepatutnya dia memberi maklum balas atas tuduhannya.

Daripada membayar denda dan ditolak merit lesen memandunya, Keedwell tekad untuk melawan kesnya itu di mahkamah kerana merasakan ada "penipuan besar" berlaku melibatkan saman had laju.

surat maklum balas saman had laju richard keedwell

Surat maklum balas saman had laju yang diterima Keedwell

Keedwell berkeras bahawa dia tidak memandu melebihi had laju kerana dia adalah seorang yang sangat obses dengan penjimatan minyak. Dia akan memandu mengikut peraturan untuk mendapatkan nilai paling maksimum bagi bahan bakarnya itu.

Menurutnya lagi, kebanyakan orang mungkin akan akur dan membayar saman itu tetapi dia tidak tahan melihat ketidakadilan yang dilakukan kerajaan dan polis terhadap rakyat.

Selain itu, Keedwell telah mengupah pakar video dan elektronik untuk membuktikan bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dengan kamera had laju polis. Dia tidak mengetahui bahawa ia adalah permulaan bagi pertarungan undang-undang yang lama dan mahal.

richard keedwell saman had laju 201

Sepanjang tiga tahun dalam mempertikaikan denda saman memandunya, Keedwell telah menghabiskan hampir £30,000 (RM 156,525). Dia membelanjakan sebanyak £21,000 (RM 109,550) untuk yuran guaman dan £7,000 (RM 36,516) untuk kos mahkamah. Itu tidak termasuk perbelanjaan perjalanannya.

Pada mulanya, dia menyangka kes itu akan berakhir dengan cepat tetapi ia berlangsung lebih perlahan berbanding jangkaannya. Sebagai contoh, Keedwell telah berulang alik sebanyak empat kali ke Mahkamah Majistret Worcester sebelum rayuannya didengari.

Pakar video yang diupahnya cuba meyakinkan mahkamah bahawa kamera had laju polis ketika itu mungkin mengalami masalah atau had laju yang dirakam itu berpunca dari kenderaan lain di lorong bersebelahan tetapi hakim tidak menerimanya.

kamera had laju

Jurucakap Perkhidmatan Pendakwa Mahkamah memberitahu BBC, isu-isu yang dibangkitkan pihak pembelaan (Keedwell) agak memakan kos kerana memerlukan perbicaraan tambahan dan bukti daripada pakar.

Keedwell menyatakan dia menyesal dengan jumlah wang yang telah dibelanjakannya untuk kes ini. Dia hanya mahukan keadilan sahaja. Apa yang lebih menyedihkan ialah, wang yang digunakannya itu sepatutnya ditinggalkan sebagai pusaka kepada anak-anaknya. Kini dia masih mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan rayuan lain di mahkamah yang lebih tinggi.

Menurut Keedwell, tindakannya untuk melawan kes itu diilhamkan oleh seorang pemandu bernama Thomas Baird. Pada tahun 2016, Baird yang merupakan sorang pemandu penghantaran telah memenangi kes saman had laju di mahkamah.

had laju 30 batu sejam

Baird dikatakan telah memandu selaju 85 batu sejam (136km) di zon 30 batu sejam (48km). Sama seperti keadaan Keedwell, Baird juga telah direkod oleh peranti yang dikenali sebagai Gatso, peranti kotak had laju berwarna kuning yang banyak digunakan di sana.

Baird yang berasal dari Leicester berjaya membuktikan dirinya hanya memandu selaju 29 batu sejam dan pendakwaan telah digugurkan. Baird juga menerima £ 2,000 (RM 10,430) bagi menampung kos guamannya.

Pengarah syarikat guaman yang mewakili Baird berkata, pelanggannya itu mungkin tidak akan melawan kes itu sekiranya bacaan kamera itu tidak terlalu tinggi. Kes Baird itu ternyata membuktikan bahawa peranti Gatso itu tidak sempurna dan mungkin melakukan kesilapan. 

kamera aes

Kamera AES yang digunakan di Malaysia

Superintendant Simon Tweats dari Staffordshire mengatakan bahawa kejadian seumpama itu adalah kesilapan yang amat jarang berlaku. Namun, sesetengah pakar mempunyai pandangan yang berbeza.

Kamera had laju Gatso menggunakan teknologi radar untuk mengambil dua gambar secara berturut-turut. Pakar kamera video, Tim Farrow, memberitahu mahkamah bahawa dalam kes Keedwell, kamera itu mungkin dicetuskan oleh sebuah kereta lain di lorong bersebelahan.

Menurut Farrow, pendapatnya itu hanyalah kemungkinan sahaja. Radar dari Gatso mungkin mengesan kenderaan pertama sebelum ia melantun kepada kenderaan lain dan kembali kepada peranti dengan bacaan kelajuan yang salah. Keadaan ini merupakan fenomena yang memang wujud dan dikenali sebagai "double doppler".

kamera had laju di uk

Biasanya, kamera polis mempunyai toleransi 10 peratus ditambah dengan kelajuan dua batu sejam sebelum kamera mengeluarkan 'flash'. Bagi jalan yang mempunyai had laju 30 batu sejam, mereka yang memandu pada 35 batu dan ke atas sahaja yang akan dikesan. 

Namun, setiap kenderaan mempunyai bacaan meter yang berbeza, menjadikannya sukar untuk mengetahui dengan tepat jika sesuatu kenderaan itu berada pada kelajuan yang ditetapkan.

Tahun lepas, Ketua Majlis Polis Negara dalam keselamatan jalan raya, Anthony Bangham, menyeru agar toleransi 10 peratus kelajuan itu dimansuhkan. Beliau mendakwa ia dapat meningkatkan kesedaran kepada pemandu agar lebih berhati-hati. Bangham juga merupakan Ketua Polis di West Mercia di mana perbicaraan Keedwell berlangsung.

anthony bangham

Anthony Bangham

Jurucakap Polis West Mercia berkata, semua kamera had laju mereka diselenggara dengan kerap dan diluluskan Kementerian Dalam Negeri. Kes Keedwell ini diuruskan oleh mahkamah dan selepas mendengar semua bukti dan hujah, defendan didapati bersalah. 

Sekiranya Keedwell mengaku bersalah dan membayar denda dari awal, ia mungkin akan menyelamatkan masa, wang dan maruah dirinya sekali gus.

Rujukan:

1. Habis ratusan ribu hanya kerana satu saman had laju

2. Lelaki gunakan semua wang simpanan untuk melawan kes saman kenderaan

3. Guna tabung amanah anak-anak untuk lawan kes saman had laju di mahkamah




Hakcipta iluminasi.com (2017)